Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22

Seniman buat pementasan rentas budaya

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Seniman buat pementasan rentas budaya

Jan 13, 2018 | 05:30 AM



PALUAN rebana bergema dalam auditorium Pusat Budaya Cina Singapura malam semalam, pada hari pertama konsert Percussion Fusion.



Alat muzik tradisional Melayu itu, yang dimainkan pengasas bersama dan pengarah artistik Nadi Singapura, Encik Riduan Zalani, diiringi Orkestra Cina Singapura (SCO) dalam lagu berjudul Within and Beyond.



Namun rebana bukan satu-satunya alat muzik yang dimainkan Encik Riduan, 32 tahun, dalam lagu sepanjang 12 minit itu.



Beliau secara keseluruhan memainkan tujuh dram berbingkai atau frame drum iaitu rebana asli, rebana ibu, tar, daf, riq, pandeiro dan ocean drum atau dram laut yang dapat menghasilkan bunyi ombak menghempas pantai.



Walaupun ini bukan kali pertama Encik Riduan bermain alat genderang bersama kumpulan muzik bukan Melayu, ia adalah pengalaman pertamanya bersama SCO.



"Ia adalah satu pengalaman yang berbeza bagi saya.



"Lagu ini ditulis komposer Taiwan tapi saya cuba terapkan rentak gendang Melayu dalam muzik ini.



"Penonton dapat mendengar muzik rebana asli dan rebana ibu, rentak zapin dan inang," kata Encik Riduan yang antara lain pernah bermain dengan kumpulan etnik lain seperti Persatuan Seni Halus India Singapura.



Persembahan seni rentas budaya kian dilihat kini dengan penglibatan pemuzik, penari dan pelakon teater dalam persembahan atau konsert kumpulan budaya lain.



Hujung minggu lalu, pengarah artistik Era Dance Theatre (EDT), Encik Osman Hamid, pula mempersembahkan tarian drama India dan Jawa dalam konvensyen Asean India Pravasi Bharatiya Divas (PBD) di Marina Bay Sands.



"Menyertai persembahan budaya lain memberi saya peluang memahami rentak tarian kaum lain.



"Saya dapat membentuk diri, tubuh, minda dan penjiwaan sebagai seorang penari.



"Dan sebagai pereka tari juga, apabila diberi peranan mereka tari yang menggabungkan elemen budaya lain, saya dapat menghasilkan sesuatu yang berbeza kerana saya lebih memahami setelah mengalaminya sendiri," terang Encik Osman.



Awal bulan ini juga, penari kontemporari Cina, Cik Li Ruimin, terlibat dalam teater tari Wujud - Rimas Bersepi yang diterbitkan EDT, di mana beliau antara lain berpeluang menari zapin.



Cik Li dalam laporan awal berkata selain mempelajari banyak perkara baru tentang ciri seni tari dan gerak kontemporari Melayu, beliau turut berpeluang meluaskan pengetahuan mengenai budaya dan masyarakat Melayu Singapura.



Dalam konsert Percussion Fusion, yang akan diadakan sekali lagi malam ini, Encik Riduan tidak sahaja bermain diiringi SCO, bahkan turut berpeluang bermain rebana secara solo.



Ini satu pengalaman berbeza baginya kerana walaupun merupakan anggota Orkestra Melayu Singapura, beliau jarang dapat bermain solo bersama orkestra itu.



Rebana juga jarang dimainkan secara solo dan selalu berada 'di belakang', tambahnya yang berpeluang duduk di depan SCO bagi persembahan lagu Within and Beyond.



"Saya melihat konsert ini sebagai cara baik mendedahkan budaya lain kepada alat muzik Melayu.



"Kebanyakan mereka dalam SCO adalah pemuzik klasikal. Mereka akan didedahkan kepada bunyian yang alat muzik kami boleh hasilkan.



"Selain itu, saya juga mendapat ilham daripada SCO yang mempunyai lebih 80 pemuzik sepenuh masa.



"Hari pertama saya berlatih dengan meraka iaitu minggu lalu, saya terpukau dengan ketepatan dan kesan permainan mereka serta cara mereka membawa diri mereka sebagai sebuah orkestra Cina.



"Saya berharap satu hari kami akan dapat bangunkan Orkestra Melayu Singapura ke tahap itu," kata Encik Riduan, penerima Anugerah Seniman Muda 2015.



Percussion Fusion, konsert dua jam yang akan turut memaparkan pemain tabla Encik Nawaz Mirajkar, Nadi Singapura dan Singapore Temple of Fine Arts, bukan persembahan berbilang budaya pertama SCO.



Penyanyi Singapura, Taufik Batisah, pernah mendendangkan lagu Allahyarham P. Ramlee diiringi SCO dalam persembahan pada 2015.



Penolong pengarah perhubungan pemasaran SCO, Cik Koh Mui Leng, berkata orkestra itu mengadakan konsert yang memaparkan pemuzik daripada pelbagai kaum sekurang-kurangnya setahun sekali.



"Ia adalah pengalaman yang unik buat penonton kerana muzik daripada tiga budaya dapat dinikmati dalam persembahan ini," kata Cik Koh.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >