Trisno Ishak 'dilamar' jadi pelakon telemovie

SETELAH sekian lama berkarya dan mendendangkan lagu hip hop, R&B, akustik dan keihsanan, kini Trisno Ishak bakal tampil di kaca televisyen sebagai seorang pelakon pula.

Trisno, 37 tahun, bakal muncul dalam sebuah telemovie berjudul Samsudin Tukang Kasut yang bakal disiarkan pada 11 pagi Hari Raya pertama.

Menariknya, Trisno sendiri memang merupakan seorang peniaga sandal.

Beliau merupakan salah seorang pemilik sandal ciptaan syarikat milik Singapura, Grey by Ortenhill.

Sewaktu ditemui di gerai bazarnya dekat Tanjong Katong Complex (TKC) baru-baru ini, Trisno daripada kumpulan The Trisno Trio, berkata:

"Terus terang saya memang memendam hasrat berlakon sejak sekian lama. Apabila ditawarkan berlakon pula, saya mendapat watak utamanya. Kebetulan, berlakon sebagai tukang kasut pula."

Telemovie selama sejam itu merupakan ilham selebriti setempat, Rilla Melati.

Rilla, 43 tahun, bertindak selaku penulis telemovie tersebut yang diterbitkan oleh Dua M Pte Ltd.

Ia menceritakan tentang Samsudin, selaku watak utama sebagai tukang kasut.

Namun dalam telemovie ini, kasut yang dimaksudkan sebenarnya capal, kata Rilla semasa dihubungi.

"Saya dapat ilham telemovie ini menerusi kisah dongeng Inggeris Elves and the Shoemaker.

"Bezanya kami tidak terapkan elemen magis.

"Ia mengisahkan tentang seorang tukang kasut yang menghadapi masalah dengan perniagaan capalnya sehingga hampir terpaksa gulung tikar.

"Namun muncul secara tiba-tiba seorang gelandangan lakonan Joe Lazarie Rachmatt. Kehadirannya bak mengubah nasib Samsudin," katanya.

Rilla menambah pemilihan Trisno - yang menjalani uji bakat - dianggapnya amat sesuai memandangkan rakan lamanya itu juga kebetulan seorang peniaga sandal, dan mempunyai dua anak kecil.

"Trisno sering dikaitkan dengan dunia nyanyian. Sebagai pelakon, beliau belum pernah diuji.

"Sebab itu beliau jalani uji bakat sebelum beliau ditawarkan watak tersebut," kata Rilla lagi.

Dalam filem itu, Rilla turut memainkan peranan sebagai isteri Samsudin dan pasangan itu mempunyai dua cahaya mata.

Hebatnya, telemovie itu turut mendapat sentuhan arahan anak watan Singapura yang kini pengarah mapan di Malaysia, Faisal Ishak.

Ia turut dilakonkan anak sulung daripada perkahwinan kedua Faisal, Ayden Farish, lima tahun.

Bagi Trisno, kehadiran nama 'besar' seperti Faisal Ishak membuat beliau berasa teruja dipilih menyertai telemovie tersebut.

Tidak hairanlah beliau membuat seberapa banyak persiapan dengan menyelidik teknik lakonan menerusi Internet selain mendapat tunjuk ajar daripada Rilla dan Faisal sendiri.

"Saya memang sudah biasa muncul dalam video muzik. Sedikit lebih kurang tahu juga apa yang perlu dilakukan.

"Cuma perlu faham isu lakonan agar tidak kelihatan kekok semasa berlakon," katanya.

Adakah ini bermakna beliau akan gigih berusaha menajamkan bakatnya dalam bidang lakonan?

"Sudah tentu. Mana tahu kalau ada rezeki, mungkin ditawarkan berlakon dalam filem pula," kata Trisno.

Penggambaran telemovie itu berlangsung di beberapa tempat di sini termasuk di Rowell Road, Bedok dan di kedai Trisno sendiri di OrchardGateway.

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:58
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 41
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.