Wajah waja Manhunt

Pertandingan beri penekanan terhadap proses, fasa pembangunan yang bentuk jiwa peserta

PENGALAMAN dibuli sehingga disepak ternyata menguatkan tekad Encik Abdullah Tasauffi Mohd Ghazali supaya 'masuk gimnasium' bagi membesarkan otot.

Kini, selepas hasrat itu tercapai, jejaka berusia 21 tahun itu mengejar satu lagi impian yang akan menguji daya keyakinannya - menyertai pertandingan Manhunt Singapore 2016.

Padahal semasa zaman kanak-kanaknya, anak ketiga dalam keluarga empat beradik itu seorang pendiam dan bertubuh kecil. Itu menjadikannya sasaran pelajar lain yang lebih besar daripadanya.

"Ada beberapa rakan sekolah yang suka buli saya ketika itu semata-mata saya bertubuh kecil dan tidak bergaul dengan mereka. Sehinggakan pernah saya disepak secara tiba-tiba. Padahal ketika itu saya sedang membaca.

"Saya juga diberi gelaran 'sutun' (sotong)," katanya, yang memetik drama mengisahkan seorang remaja lelaki berjiwa lembut.

Encik Abdullah Tasauffi, yang kini menjalani Perkhidmatan Negara (NS), antara 30 peserta peringkat akhir pertandingan Manhunt Singapore tahun ini. Ini termasuk 10 peserta Manhunt Senior yang turut serta dalam pertandingan yang dijadual berlangsung pada 27 Ogos ini.

Tema bagi pertandingan tahun ini, ... And Beyond, memberi tumpuan kepada arah tujuan. Ini bermakna pertandingan kali ini memberi penekanan terhadap proses dan fasa pembangunan yang akan membentuk peserta bagi kehidupannya pada masa akan datang.

Seorang lagi anak Melayu yang pernah berhadapan dengan cabaran semasa zaman kanak-kanaknya ialah Encik Hiezam Luthfi Hasan Abdullah, 22 tahun, yang merupakan seorang jurulatih peribadi.

Anak ketiga dalam keluarga empat beradik itu sebelum ini pernah menghadapi kemurungan dan pernah tiada tempat tinggal selama beberapa bulan.

Mujur kesedaran wujud dalam dirinya, lalu diubah pandangannya dalam kehidupan demi memperbaiki diri.

"Selepas menjalani NS, saya berhadapan dengan masalah peribadi sehingga menyebabkan saya hadapi kemurungan. Memandangkan saya tiada pekerjaan, saya tidak dapat membayar bil sewa rumah dan terpaksa tinggal di merata tempat awam di sini.

"Namun, segalanya berubah tatkala saya mendapat pekerjaan tetap," katanya, sambil menyatakan keluarganya semua tinggal di luar negara.

Bagi satu-satunya peserta Melayu yang menyertai pertandingan Manhunt Senior, Encik Zacky Mohammed Hosnen, 39 tahun, penyertaannya ialah pembakar semangat bagi dirinya yang mahu memasuki pertandingan bina badan peringkat antarabangsa tahun depan.

"Saya anggap pertandingan ini sebagai persediaan buat diri sendiri. Bukan sahaja bagi membesarkan otot, malah menyesuaikan diri apabila berhadapan dengan khalayak ramai semasa di pentas," katanya.

Teknisyen Singapore Press Holdings itu, yang dahulu dianggap gemuk, baru-baru ini mendapat tempat ketiga dalam satu acara bina badan setempat.

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:00
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 31
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.