Pertunjukan cahaya terakhir di Masjid Sultan
Saksikan pertunjukan cahaya terakhir yang dipamerkan di Masjid Sultan pada bulan Ramadan, 5 April, mulai 8 malam.
Nikmati juga keindahan cahaya lampu yang dinyalakan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Tarikh: 5 April
Waktu: Mulai 8 malam
Tempat: Masjid Sultan, Kampong Gelam
Masuk percuma
Pelbagai hiburan di WGS
Kunjungi Wisma Geylang Serai (WGS) pada hujung minggu terakhir sebelum Hari Raya untuk membeli-belah dan menikmati pelbagai persembahan menghiburkan.
Saksikan persembahan daripada Dolla, Imran Ajmain, Floor 88, Naqiu dan OKLETSGO. Selain itu, ada juga podcast, Warna-Warni Kehidupan, yang diadakan secara langsung, persembahan dikir barat oleh Geylanggang Dikir dan pertunjukan fesyen.
Buat julung-julung kalinya, pengunjung boleh mendengar takbir pada malam Raya di WGS.
Tarikh: 5 hingga 9 April
Waktu: 8 hingga 10 malam
Tempat: Wisma Geylang Serai
Masuk percuma
Pameran bunga azalea
Jika anda mencari ketenteraman, apa kata anda menikmati kecantikan pameran bunga terbaru di Gardens by the Bay?
Kawasan Cloud Forest kini dihiasi dengan pameran bunga baru, Azaleas of Shangri-La, yang memaparkan lebih 15 jenis bunga azalea dalam rona terang seperti merah jambu, oren, kuning dan krim, berlatarbelakangkan ‘gunung Himalaya’.
Pameran bunga itu dilengkapi dengan koleksi tumbuhan yang digunakan bagi perubatan tradisional seperti lingzhi, cordyceps, beard moss dan safron, serta bunga-bunga asli yang boleh ditemui di kawasan Himalaya.
Selain itu, anda juga boleh menyertai pelbagai kegiatan anjuran Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) yang diadakan di Gardens by the Bay.
Salah satu kegiatan yang bakal bermula pada 9 April ialah Rolling Good Times, satu program untuk membantu golongan warga emas mengurangkan risiko kecederaaan sekiranya terjatuh.
Program selama enam minggu itu akan membantu peserta membina kekuatan otot, memperbaiki keseimbangan dan meningkatkan fleksibiliti.
Peserta boleh membuat pendaftaran menerusi aplikasi Healthy 365.
Tarikh: 9 April hingga 5 Mei
Waktu: 9 pagi hingga 9 malam
Tempat: Cloud Forest, Taman di Persisiran
Tiket: Bayaran masuk ke Cloud Forest dikenakan. Layari laman web, www.gardensbythebay.com.sg/azaleas untuk butiran lanjut.
Soulful Serenade
oleh Sarah Syazlina
Pemuzik muda, Sarah Syazlina, yang sedang melanjutkan pengajian diploma dalam muzik dari Maktab Seni Lasalle, akan mendendangkan lagu dengan irama pop, R&B, dan balada.
Sarah akan membuat persembahan dengan iringan pemuzik sesi berbakat.
Kini, Sarah sedang membuat persediaan bagi EP pertama beliau dengan ‘single’, Jangan Bilang, pada Mei.
Tarikh: 6 April
Waktu: 5.45 petang, 6.45 petang dan 7.45 malam
Tempat: Esplanade Concourse, Esplanade – Teater di Persisiran