Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

REVIU KONSERT

Apabila generasi penghibur muda, mapan bersatu hati...

Konsert Persada Budaya menjadi pentas imbau nostalgia, tampil bakat seni
Jan 31, 2023 | 05:30 AM



BERTUAH rasanya sesiapa yang menghadiri konsert percuma Persada Budaya di Wisma Geylang Serai (WGS) pada Sabtu lalu.



Bukan sahaja dapat menikmati muzik orkestra sayu mendayu mahupun rancak Orkestra Melayu Singapura (OMS) pada skala lebih besar di ruang awam sedangkan mutu muzik sebegini biasanya berkumandang di dewan konsert berbayar Esplanade, Victoria, Teater Sands atau Teater The Star.



Konsert yang dihadiri sekitar 500 orang anjuran WGS yang merupakan sebahagian Rangkaian Nod Seni dan Budaya, Majlis Seni Kebangsaan (NAC), membuatkan mata anda terpaku sepanjang dua jam ia berlangsung.



Inilah pentas yang menjulang bakat Singapura dan mengiktiraf penghibur dalam kalangan mereka, baik daripada generasi merdeka mahupun milenial.



Syabas buat penerbit dan penyanyi Rudy Djoe dan pasukannya kerana menyajikan hiburan penuh nostalgia dengan pilihan bakat muda dan mapan yang boleh dibanggakan.



Setiap segmen diatur dengan begitu baik, memberi ruang untuk anak muda seperti Putri Emily, Umairah dan Syaz Smooth membawa penonton mengembara ke era datuk nenek mereka.



Tiru Macam Saya (runut bunyi filem Hujan Panas, dendangan asal Nona Asiah yang kemudian mempunyai versi Saloma dan Sheila Majid) serta Hidup Sederhana (Sudirman) disampaikan anak muda belasan tahun ini dengan begitu baik.



Biduanita Rahimah Rahim yang juga pemenang Pingat Budaya NAC ditampilkan sebagai ikon muzik pop menerusi lagu ikonik Gadis Dan Bunga serta medley lagu yang suatu ketika kerap diputar di radio, Mana Ibunya dan Bintang Sukanku.



Pastinya gaya Rahimah yang bersahaja lagi mencuit hati serta kerap mengusik termasuk pengacara muda, Salif Hardie dan Amyrah Mustafa membuat ramai tidak kering gusi.



Kuntuman bunga disampaikan kepada tetamu terhormat, Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, serta Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), yang juga Penasihat Utama WGS, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.



Rahimah turut menceritakan tentang era 1970-an di mana lagu saduran daripada irama Inggeris, Jepun dan Hindustan kerap dijana termasuk lagu daripada album pertamanya, Mana Ibunya.



Lagu itu mengambil irama asal Chirpy Chirpy Cheep Cheep oleh Lally Stott dan kemudian dipopularkan band Scotland, Middle of The Road.



Petikan gambus Azrin Abdullah mengiringi persembahan ikon muzik tradisional, Zubir Abdullah. Banyak butiran sejarah dan warisan yang beliau kongsi sebagai ilmu pengetahuan penonton mengenai perjalanan seni dan sejarah rantau ini.



Zubir menyanyikan lagu Hidayah dan Zapin Telok Blangah.



Melalui konsert ini sahaja, kita dapat menikmati santapan halwa telinga daripada butiran permata seperti bintang Gegar Vaganza 9 (GV9), Hazrul Nizam, yang membawa penonton 'terbang' ke pentas sengit peraduan realiti itu.



Dengan dinamik suaranya yang lunak melalui lagu Kau Pun Sama dan Kaulah Segalanya, Hazrul membuat ramai terpaku dan dibuai emosi.



'Mutiara' yang harus terus digilap dalam kalangan masyarakat seni Singapura juga termasuk pelakon teater dan aktivis seni, Suryana Norddin, yang boleh menyanyikan kedua-dua lagu tradisional dan pop dengan baik.



Suryana membawa lagu malar segar Sayang Disayang yang sinonim dengan biduanita Kartina Dahari. Beliau juga berduet dengan juara peraduan WGS Suara 3.0, Haziq Mohamadan dalam lagu penyanyi Indonesia, Titi DJ, Ekspresi.



Nadi anak muda juga dapat dirasakan apabila kumpulan genderang Bloco Singapura tampil dengan penuh tenaga untuk mengiringi persembahan Cassandra Spykerman bagi lagu dangdut Penasaran serta lagu Kopi Dangdut oleh Rudy Djoe.



Apa yang menggalakkan adalah penyertaan artis bukan Melayu, Cassandra, yang seiring sejalan memasyarakatkan seni dengan aliran kelainan dan tenaga luar biasa.



Pendek kata, Persada Budaya menjadi pentas mencungkil penghibur Singapura dalam kalangan generasi pelapis di samping menjulang ikon yang namanya sentiasa bermain di bibir kerana sumbangan hiburan, perkongsian kisah dan ilmu serta warisan yang diberikan.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >