Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Bapa tunggal kehilangan isteri dek barah, urus anak Sindrom Down

Jun 19, 2023 | 06:00 AM



Satu demi satu cabaran melanda...

Namun setiap hari, Encik Kamal Othman, 49 tahun, menggagahi diri demi anak-anak yang disayangi.

Setahun lalu, Encik Kamal terpaksa berhadapan dengan kehilangan isteri tercinta akibat barah di bahagian dada – barah kelenjar timus (Thymus Gland Cancer).







Hanya selepas dua bulan didiagnosis dengan penyakit itu, isterinya Cik Dalilaty Maroff, meninggal dunia sewaktu umurnya baru 43 tahun.

Pasangan itu mempunyai tiga cahaya mata – Khalish Daiman, 11 tahun; Khayla Damia, sembilan tahun; dan Khayr Dasuki, dua tahun, yang menghidap Sindrom Down.

Semasa isterinya meninggal dunia, Khayr Dasuki, baru berusia setahun pada waktu itu. 

Demi menyara kehidupan, Encik Kamal kini mencari nafkah untuk anak-anaknya dengan melakukan pelbagai tugas sambilan. Ia termasuk mengecat, menjadi jurulektrik dan juga memandu van sewa untuk menghantar barangan. 

“Setakat ini mencukupi, alhamdulillah dan saya juga dibantu oleh ibu saya. Keluarga arwah isteri saya juga beri bantuan untuk meringankan beban kami,” kata Encik Kamal ketika ditemui di flat tiga biliknya di Yishun. 

Beliau terpaksa memilih pekerjaan yang lebih fleksibel demi memberikan beliau lebih masa untuk menguruskan anak-anaknya yang masih kecil.







Encik Kamal turut mempunyai seorang anak – yang tidak tinggal bersamanya – daripada perkahwinan pertamanya. 

“Saya tidak dapat bekerja sepenuh masa buat masa sekarang oleh kerana saya perlu uruskan anak-anak.

“Suki (anak bongsunya) perlukan lebih perhatian, dan walaupun dia pergi ke prasekolah tiga kali seminggu di sebuah pusat untuk anak-anak berkeperluan khas, saya perlu hadir bersamanya supaya dapat belajar tingkah lakunya dan bagaimana menguruskannya,” jelas bapa tunggal itu.







Bagi membantu beliau menguruskan anak-anak, Encik Kamal mendapatkan bantuan ibunya, Cik Kamriah Samad, 71 tahun.

Meskipun ibunya itu tidak lagi sekuat dulu dan tidak dapat melakukan kerja-kerja berat, namun, kehadiran ibunya itu dapat membantu Encik Kamal apabila beliau terpaksa keluar bekerja.

Cik Kamriah akan tinggal bersama Encik Kamal dan cucu-cucunya pada setiap hari kecuali pada hujung minggu. 

“Kalau mak ada masa, dan tak sibuk dengan Suki, beliau akan masak. Kalau tak, saya terpaksa beli dari luar. Anak-anak saya selalu juga makan di luar…” kata Encik Kamal. 

Menyentuh tentang kesan pemergian isteri – yang dinikahi selama 14 tahun – ke atas anak-anak, Encik Kamal berkata:

“Pada mulanya anak-anak saya sangat terkesan dan bersedih kehilangan ibu mereka, terutama Damia, anak perempuan saya. Kadangkala dia minta saya bawa ke kubur ibunya untuk melepaskan rindu.”

Walaupun akur tentang cabaran yang dihadapinya, namun, Encik Kamal tetap mencekalkan hati demi memenuhi tanggungjawabnya. 

Rutin sehari-hari Encik Kamal ialah menyiapkan keperluan sekolah anak-anak pada sebelah malam seperti pakaian seragam mereka.

Pada waktu pagi setelah bersiap, beliau akan menghantar Daiman dan Damia ke sekolah.

“Selepas hantar mereka ke sekolah, saya pulang dan uruskan Suki pula,” tambahnya.

Ketika ditanya tentang isterinya, dengan sayu berliau berkata: “Saya reda, tetapi saya rindu. Saya tak dapat buat banyak perkara lagi dengan beliau seperti pergi melancong bersama dan macam-macam lagi.” 

Video temu bual ini boleh ditonton di laman IG dan TikTok @BeritaHarianSG.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >