Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

'BIDADARI' gali rahsia terkubur

Mar 06, 2022 | 05:30 AM



DENGAN baju kotor-bolor bersalut lumpur, pelakon Shahril Wahid menggagahkan semangatnya menggali kubur dalam keadaan hujan lebat membasahi bumi.



Dalam satu babak dirinya ditimbus longgokan tanah berulang kali, bakat yang dianggap pelakon karakter, Sani Husin, pula sampai tertelan gumpalan tanah.



Manakala Suzairhe Sumari yang akur teruja bermain lumpur dan dicabar dengan banyak adegan menangis pula terkena tempias gangguan di satu sudut lokasi penggambaran yang tetap 'keras' pada siang hari.



Inilah yang mereka harungi sewaktu menjalani penggambaran drama Bidadari yang kini disiarkan di saluran Suria setiap Isnin hingga Rabu, 10.30 malam.



Ketika dihubungi Berita Minggu (BM), pengarah Mahfuz Mazlan menjelaskan, melihat pada judul drama Bidadari, ramai yang menyangka drama ini memaparkan kisah seram.



Sebenarnya, tiada unsur mistik atau seram yang dipaparkan. Sebaliknya, Bidadari meninjau amanah dan pengalaman penggali kubur dalam projek penggalian semula kubur Bidadari dalam situasi Singapura yang ketandusan tanah.



Tumpuan diberi pada tiga sahabat, seorang jurubina Shaari (lakonan Suzairhe), rakan Perkhidmatan Negaranya, Ariffin (Sani) serta pekerja Shaari, Faizal (Shahril).



Mereka menawarkan khidmat sebagai penggali kubur sambilan dalam projek penggalian kubur dan penyemadian semula jenazah di tanah Perkuburan Islam Bidadari.



PENGALAMAN SEBENAR PENGGALI KUBUR



Drama ini meraih inspirasi daripada kisah sebenar penggali kubur yang pernah terlibat dalam projek kendalian Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), di mana sekitar 77,000 kubur bidadari dekat Upper Serangoon Road dipindahkan dan disemadikan semula di Pusara Abadi.



Menurut Mahfuz, tidak ramai termasuk dirinya yang tahu terdapat individu termasuk karyawan yang tampil menawarkan khidmat kemasyarakatan menjadi penggali kubur sambilan untuk melancarkan kerja penyemadian semula jenazah di kubur lama ini.



"Saya terjumpa seorang jurutera yang berkongsi pengalamannya membantu projek penggalian dan penyemadian semula jenazah di Bidadari selepas menerima satu risalah mengenainya.



"Ia merupakan perkara yang menarik dan unik tentang perkuburan masyarakat Melayu/Islam di Singapura dalam negara ini mengatasi masalah ketandusan tanah.



"Hasil kajian saya menunjukkan antara 2001 dengan 2006, tenaga kerja bagi menggali semula lebih 70,000 kubur amat diperlukan.



"Apabila bantuan berbayar diminta, yang tampil adalah karyawan seperti jurutera tadi yang tawarkan khidmat di luar bidang kemahirannya serta syarikat yang memang khusus menawarkan khidmat menggali kubur," ujarnya.



Menerusi watak Shaari, Ariffin dan Faizal yang mempunyai sebab berbeza untuk terlibat dalam projek ini, pelbagai isu yang berlegar sekitar tema 'rahsia' kehidupan dan kematian diselongkar.



Mereka bertemu dengan penggali kubur veteran, Abang Li (Rafaat Hamzah), yang memberi tunjuk ajar kepada mereka tetapi turut mempunyai rahsia tersendiri.



RAHSIA TERKUBUR TIMBUL BILA DIGALI



"Setiap orang mempunyai rahsia. Apabila mati dan dikuburkan, rahsia kita terkubur sama tetapi apabila digali semula, rahsia kita akan timbul...apa yang kita buat dalam hidup kita serta amalan kita.



"Secara nyata, rahsia yang terkubur akan timbul balik. Inilah yang dapat dilihat si penggali kubur pada setiap kubur yang digali...apa yang tinggal atau kelihatan pada jenazah dalam kubur itu menggambarkan amalannya ketika hidup. Ia satu perkara yang boleh kita fikirkan sebagai refleksi diri," tambah Mahfuz.



Pihak penerbitan, jelasnya, menjalankan wawancara dengan penggali kubur seperti Abang Isa yang pernah menggali semula beberapa kubur Bidadari.



Pelakon diberi kursus kilat mencangkul dan menggali kubur agar tidak kelihatan kekok atau demi mengelak daripada memberi tekanan pada tubuh.



"Ia adalah kisah sebenar dengan fakta yang tidak diubah. Kami akur ramai yang tahu Bidadari merupakan tempat yang diketahui 'keras'.



"Kami hasilkan semula kubur persis di Bidadari di tapak berhampiran Masjid Petempatan Melayu Sembawang. Mudah untuk bersolat dan bersihkan diri kerana kemudahan sedia ada," katanya lagi.



TENAGA DIPERAH



Berkongsi pengalamannya menjayakan drama ini, Shahril berkata:



"Babak dalam drama ini agak fizikal. Alhamdulillah, saya masih cergas melakukannya tetapi perlu bersiap sedia apabila hujan turun dengan lebat dan berada dalam keadaan menggigil sepanjang penggambaran babak yang makan masa dari 9 pagi sampai 1 tengah hari.



"Memang penat menjalani penggambaran drama ini dengan ada hari ia boleh mencapai hingga 12 jam.



"Saya tidak pernah mencangkul malah kisah penggalian semula kubur Bidadari merupakan sesuatu yang generasi zaman saya tak pernah lihat dengan mata sendiri. Ia mungkin merupakan sesuatu yang perlu diuruskan generasi ibu bapa saya dahulu berkenaan kubur datuk nenek kita.



"Daripada apa yang saya kaji menerusi buku dan gambar yang diberi Mahfuz, proses penggalian dan penyemadian semula ini melibatkan banyak perkara termasuk yang remeh. Tatatertib perlu dijaga dan tidak mudah bagi si penggali kubur menangani waris.''



RAIH IKTIBAR



Sani pula lebih menambah latihan fizikal dan latihan litar yang biasa dilakukannya untuk mempersiapkan diri bagi peranan sebagai Ariffin bermulut 'laser tiada insuran' dalam Bidadari.



"Dari segi stamina fizikal dan mental, perlu siap sedia sebab pergi kubur untuk penggambaran walaupun bukan kubur betul adalah sesuatu yang bukan calang-calang.



"Setiap kali digali tapak yang kita jadikan lokasi penggambaran, akan masuk air laut yang naik. Kawasannya berlopak, ada batu dan kayu sana sini. Sebab saya pernah ada kecederaan kaki, saya harus berhati-hati.



"Belum lagi saya temui sekeluarga katak macam satu GRC! Ada tikus dan ular bagaikan memerhatikan kita sahaja. Bayangkan saya menanti babak...tengah baring di dalam liang lahad dan memandang langit. Ia satu pengalaman refleksi diri yang sangat berharga," katanya.



Selepas melalui penggambaran Bidadari, Sani lebih menghargai dan menyanjung bakti murni dan semangat juang penggali kubur.



"Drama ini berdasarkan pengalaman sebenar. Saya pesan pada diri saya agar tidak boleh buat sambil lewa. Namun, apa yang boleh saya katakan adalah penghargaan tertinggi saya buat penggali kubur yang menahan cuaca panas terik atau hujan lebat demi membereskan amanah.



"Menangani kerenah waris yang nak penggalian semula dibuat cepat juga perkara yang peningkan kepala. Menurut Abang Isa, ada yang mampu beres secepat 30 minit dan ada pula makan masa sampai empat jam sebab tak jumpa-jumpa liang lahadnya.



"Kalau tukang mandi jenazah mencantikkan mayat dengan wangian sebelum dikebumikan, penggali kubur mungkin akan nampak mayat dalam keadaan tidak cantik dek rahsia hidupnya yang terkubur selama ini.



"Betul apa yang Abang Isa katakan. Buat segalanya dengan hati ikhlas dan jangan ada agenda lain. Sebab terdapat kisah beberapa penggali kubur yang 'dibayar tunai' kerana ada niat lain yang disimpan atau seperti watak saya Ariffin yang 'cakap lepas' dalam tugasnya," ujar Sani.




  • 'Bidadari' disiarkan pada 10.30 malam, antara Isnin dengan Rabu di Suria. Ia juga disiarkan di aplikasi meWATCH.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >