Subuh
5:36
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Hiburan ‘ada kelas’ Sheila Majid

Pendekatan ‘big band’ beri kesegaran pada lagu-lagu Ratu Jaz Malaysia
Oct 25, 2023 | 05:30 AM



Gurau sendanya yang bersahaja, senyum tawanya yang mempesona dan dendangan lagu-lagunya yang menyentuh sanubari dan membuat anda teringatkan kenangan lama.

Pendek kata, jika ditanya konsert manakah yang paling ‘ada kelas’ yang telah saya tonton apabila sektor hiburan Singapura dibanjiri banyak konsert sejak pandemik Covid-19 reda, saya tidak teragak-agak menyatakan Sheila Majid Big Band Live In Singapore 2023 adalah pilihan ‘Nombor 1’ saya.







Konsert anjuran Offshore Entertainment itu diadakan baru-baru ini di Teater The Star dengan kehadiran lebih 3,000 penonton yang terpukau dengan karisma Ratu Jaz Malaysia, Datuk Sheila Majid, 58 tahun, yang masih bertenaga dan rancak bercerita mengenai inspirasi di sebalik lagu-lagu hit beliau.

Peminatnya pula daripada pelbagai usia, kaum dan latar belakang kerja. Ada yang terbang dari Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Indonesia dan Malaysia.

Lautan peminat Sheila dari Singapura pula adalah golongan yang telah mengikuti perkembangannya sejak Sheila dikenali menerusi album pertama, Dimensi Baru, pada 1985.







Apa yang membuatkan konsert itu berbeza adalah konsep ‘big band’ yang mengubah rentak lagu-lagu Sheila yang biasa kita dengar di corong radio.

Kita takkan dapatkan pengalaman yang sama setiap kali ke konsert Sheila, khususnya kali ini dengan iringan ‘big band’ atau orkestra jaz dengan lebih 10 pemuzik dalam empat bahagian iaitu saksofon, trompet, trombon dan irama.

Kalau anda ingin tahu lebih lagi tentang irama ‘big band’, ia merupakan sesuatu yang sudah lama wujud iaitu sejak awal 1910-an lagi. Ia menjadi tunggak muzik jaz yang begitu dikenali pada awal 1940-an di mana peralihan iramanya bergerak ke arah ‘swing’.

Apabila Sheila menyanyikan lagu Pengemis Muda, saya teringat kenangan menonton rancangan Hari Raya yang menampilkan beliau sebagai bakat muda dengan fesyen rambut pendek ‘berduri’ yang ‘funky’.


Suaranya unik walau ada yang memperlekeh dengan menyatakan ia kedengaran ‘sengau’ dengan sebutan beberapa perkataan yang kurang jelas sebab ‘ada slang’.

Tapi, tahun demi tahun, kita lihat perkembangan Sheila dengan mutu karya yang dihasilkan luar biasa sehingga pengamat muzik Indonesia dan Jepun yang lebih canggih dan terdedah pada kekayaan irama pun mampu menghadam, menerima dan bersemangat mendengar lagu-lagunya.

Warna, Dia, Emosi dan Hitam Putih Kehidupan merupakan antara sajian lagu nostalgik yang saya gemari. Bukan sahaja kerana saya terkenangkan zaman buat kerja sekolah di depan radio mak cik saya, yang menjaga saya sewaktu kecil ketika ibu keluar bekerja, tetapi selebihnya saya mengamati setiap bait lirik mahakarya dendangan Sheila ini.


Menerusi konsep ‘big band’, dapat kita perhatikan peranan setiap alat muzik dalam usaha menaik taraf sesebuah karya itu. Syabas buat pengarah muzik, Mac Chew, dan pemain papan nada, Jenny Chin serta Jennifer Thompson sebagai pengarah konsert.

Sheila pula bijak bergurau. Saya terbaca rencana dari seberang di mana beliau menyingkap keadaannya yang hanya tahu terlompat-lompat atas pentas tanpa interaksi dengan peminat sewaktu muda dan mengadakan persembahan di khalayak ramai.

Pastinya, kematangannya kini mempesona. Keyakinan dirinya menjadi inspirasi buat penyanyi muda di luar sana. Sewaktu berseloroh tentang harga tiket konsert yang mahal, beliau berkata:

“Semua ini bukan apa. Demi ‘maintenance’ diri saya. Umur dah berapa? Nak warna rambut, nak buat urutan segala, nak kekalkan wajah berseri. Jadi awak bayar tiket mahal untuk ‘maintenance’ saya.”


Ada banyak lagu-lagunya yang membantu pendengar termasuk saya sendiri mengharungi masa sukar.

Karyanya Ku Mohon yang pernah dinyanyikan bintang Indonesia bersuara lunak, Afgan, cukup menusuk jiwa di kala anda rasa tiada harapan dan segalanya suram bagi meneruskan perjuangan hidup tatkala rasa tertindas dan teraniaya.


Menurut Sheila, lagu itu juga banyak membantu dalam menenangkan hati pelajar Malaysia di rantauan yang jauh dari keluarga, sebagaimana yang mereka kongsi dengannya.

Bagaimana pula lagu Gerimis Semalam yang memang sentimental? Sudah lama tidak mendengarnya.


Saya hanya ingat lagu itu berkumandang dalam sebuah drama Melayu yang dibintangi Zamarul Hisham dan Diana Rafar tetapi tak ingat judulnya. Ia kisah pemergian buat selama-lamanya orang tersayang.

Apabila ayah di sebelah saya dengan nada sayu menyatakan lagu ini sedap didengar tetapi cukup menyentuh kalbu, saya faham mengapa beliau kata begitu.

Ia memberi takrifan lebih bermakna buat kami mengenang pemergian ibu saya pada April lalu, khususnya lirik yang berbunyi ‘Tiada dapat kulihat dan dengar lagi... Wajah dan kata terakhirmu... Kumeratap pilu...’


Sheila sebagai nama besar dalam industri muzik Malaysia turut mengenang kehebatan ikon hiburan Nusantara, P. Ramlee, melalui lagu sanjungan Lagenda dan versi tersendiri Tiru Macam Saya.


Orang lama sepertinya tidak ‘syok sendiri’ atau hanya dibuai cita rasa sendiri. Di sebalik pencapaiannya, Sheila mengingati jasa komposer Singapura seperti Kassim Masdor dan Ahmad Jaffar yang banyak menabur bakti.

Relevannya muzik Sheila apabila lagu Wira Hatiku yang disumbangkan bagi runut bunyi (OST) filem Juang khusus untuk kakitangan barisan depan yang bertungkus-lumus semasa Covid-19 dinobatkan sebagai Lagu Tema Terbaik bagi Festival Filem Malaysia (FFM) ke-32.


Inilah bintang yang menerusi kerja seninya banyak memberikan kita cebisan pengalaman, hiburan dan estetika seni yang sukar dicari ganti.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >