Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Jangan Tunggu Lama-Lama... saksikan laluan seni 5 dekad Sweet Charity

Band rok legenda Singapura akan papar lagu ikonik malar segar pada 14 Okt
Aug 02, 2023 | 05:30 AM



Tiada persengketaan berpanjangan yang terpahat dalam kosa kata band rok legenda Sweet Charity.

Sepanjang lebih lima dekad aktif dalam persada seni Nusantara, kumpulan ini teguh dengan prinsip damai, memaafkan dan melupakan, bahkan Datuk Ramli Sarip menggalak anggota kumpulannya untuk tidak menggantung alat muzik mereka sebelum sampai waktunya.

Walau digugat dan diuji dengan krisis kesihatan, jika ada usaha memulihkan dan kesungguhan untuk terus berseni, tiada noktah dalam kerjaya muzik ini hingga masanya tiba bagi mengucapkan “Selamat Tinggal”.

Itulah antara resipi mengapa Sweet Charity kekal bertahan selama 53 tahun hingga hari ini dan tidak berpecah-belah kepada dua band yang sebenarnya menggerakkan misi yang sama sebagaimana yang dilihat di negara Barat dan seberang Tambak.

Ramli, 70 tahun, dan rakan-rakan sehati sejiwa, Ahmad Jaffar (pemain papan nada), 69 tahun dan Rosli Mohalim (gitaris utama), 69 tahun, berkongsi kisah perjalanan seni mereka pada sesi media mengumumkan, Ribut The Concert: Five Decades of Sweet Charity.


Pemain dram, Rahman Sarbani, tidak hadir di sesi bertemu media di Anggun On Stevens itu kerana komitmen lain.

Konsert di Pusat Seni Persembahan The Star mulai 8 malam pada 14 Oktober ini dipersembahkan Pos TKI Pte Ltd.

Sebagaimana kata Pengarah Urusan Pos TKI Pte Ltd, Encik Mohammad Anwar, pihaknya berbesar hati dalam mengusahakan konsert ini untuk band berskala legenda seperti Sweet Charity.

“Mereka adalah ikon. Saya dan teman-teman sebaya akan menyanyi dan memainkan lagu mereka di sekolah. Apabila saya memetik gitar, lagu Kamelia dan Teratai adalah antara lagu wajib.


“Saya pernah menonton mereka di Panggung Negara, majlis kahwin... ke mana-mana mereka pergi di situlah, saya akan mengekori. Sweet Charity nama besar ketika saya dewasa.

“Saya menonton persembahan Datuk Ramli dan terfikir mengapa tidak bikin konsert untuk Sweet Charity? Ada banyak band asing yang mendarat di Singapura tetapi tidak ramai yang memajukan band tempatan pada skala sebesar ini,” tambahnya.

Ramli menyatakan bahawa kumpulannya yang membuat persembahan di Arena Larkin, Johor Bahru, pada 29 Julai lalu, telah melalui pelbagai liku perjalanan seni, dengan adanya pelangi yang sangat berwarna-warni.

“Kalau ada dengar desas-desus kami tidak bersama pada waktu itu, ia adalah tempoh untuk kami mencari ketenangan semula. Kami tak pernah berpisah. Walaupun tidak menghubungi satu sama lain selalu, tetapi jiwa untuk terus memajukan lagu Sweet Charity tetap ada.

“Apabila anggota kumpulan mendapat kerja tetap, mempunyai anak dan cucu, keadaannya berbeza. Perasaan untuk buat persembahan bersama di Singapura, tanah tempat tumpah darah kami, ia bak sirih pulang ke gagang.

“Magis! Sewaktu kami membuat persembahan di Johor Bahru, kami lihat anak muda menonton. Ini adalah golongan yang mengenali muzik Sweet Charity daripada datuk, ibu dan ayah mereka. Kami bukan terlalu yakin tetapi yakin bahawa konsert kami ini akan mendapat sambutan daripada pelbagai lapisan masyarakat yang mencintai muzik kami,” katanya.

Rosli yang menetap di Johor dan turut bermain muzik di Kuala Lumpur menganggap konsert itu sebagai pemulih semangatnya yang terjejas kerana angin ahmar.

“Saya kini terus berlatih untuk pastikan petikan gitar saya masih lagi bertenaga seperti dahulu. Saya berbesar hati dapat ikut serta dalam konsert ini dan memberi yang terbaik,” jelasnya.

Menurut Ramli, ramai gitaris muda seperti Addy Cradle yang segan apabila berdepan dengan gitaris mapan seperti Rosli. Tidak ramai yang mempunyai keupayaan ‘menggentel’ gitar selaju dan semahir Rosli untuk beberapa lagu ikonik Sweet Charity.

Ahmad Jaffar, yang lebih mesra dengan panggilan AJ dan masih bertugas sebagai juruelektrik sambilan, terharu dapat kembali beraksi di Singapura. Beliau pernah berpindah ke Brunei selama beberapa tahun untuk menggalas amanah sebagai juruelektrik lantas tidak dapat meneruskan penglibatannya dengan Sweet Charity sebelum ini.

“Ada banyak kesukaran yang dihadapi sebagai anak seni. Jerih payah dan kesulitannya adalah sesuatu yang saya kira anak muda sekarang perit untuk lalui. Tapi pada akhirnya kerana cinta pada muzik itu terus ada, maka pada usia sebegini kami masih lagi berseni,” kata AJ.

Melalui konsert itu kelak, anda dapat mendengar lagu yang mendalam maksudnya seperti Kamelia, Ribut 10:59 Pagi, Hilang Gelap, Terbitlah Terang dan Sejuta Wajah.


Yang menariknya band ini juga mampu mendekati jiwa mereka yang berada di kawasan subbandar dengan lagu santai seperti Jangan Tunggu Lama-Lama dan Bulat Bulat.


“Kami lihat band Barat. Mereka pun ada lagu dendang rakyat yang digemari ramai dan mudah dihadam. Yang pasti, ada kerencaman pada muzik Sweet Charity untuk golongan berbeza.

“Ada beberapa lagu yang saya tak suka dan tak mahu dendangkan diserahkan kepada AJ. Ternyata, ia mampu menarik perhatian ramai mengikut kesesuaian suara dan cara AJ membawanya,” kata Ramli.

Tiket antara $48 dengan $188 boleh ditempah menerusi laman, kaunter dan talian Sistic.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >