Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

REVIU FILEM

Kekosongan terasa walau 'Talbis Iblis' ketengah pelakon popular

Oct 29, 2022 | 05:47 AM



KALAU dilihat dari segi barisan pelakon yang menjayakan filem seram terkini di pawagam, Talbis Iblis, pastinya ramai yang terdorong untuk ke pawagam.



Pelakon yang masih awet muda pada usia 51 tahun, Nasha Aziz, ibarat kembali dalam industri perfileman, kali ini dengan memegang watak jahat Mak Ju.



'Abang sado', Zul Ariffin, 36 tahun, pasti mempunyai lautan peminat wanita yang ingin menyaksikannya sebagai lelaki misteri berwajah hodoh dan berparut bernama Nasir.



Pengarah juga bukan calang-calang iaitu Kabir Bhatia yang mencetus fenomena dalam dunia drama Melayu menerusi karya epik Nur Kasih.



Tayangan perdana Talbis Iblis yang sudah mencapai kutipan 'box-office' RM1 juta ($302,402) juga dibuat di Pesta Filem Far East di Italy pada 29 April lalu, dengan kerjasama Infinitus Gold, Astro Shaw, Jazzy Pictures, A Next Star Productions, MM2 Entertainment dan Chain X.



Cuma di sebalik segalanya, masih ada kekurangan pada plot filem ini yang pada penulis terasa kekosongan atau ketandusan daya seramnya.



Sayang sekali, sebab sudah ada barisan pelakon yang dapat 'memancing' penonton dan pengarah yang dikenali kerana teknik arahan yang dapat sampai ke hati.



Talbis Iblis adalah kisah Hajar (lakonan Azira Shafinaz) yang melarikan diri dari Kuala Lumpur apabila beliau hamil di luar nikah.



Tujuannya ialah untuk melahirkan anak itu tanpa pengetahuan ramai. Arshad (Amir Nafis) yang dipaksa ibu Hajar untuk mengahwini anaknya itu menghantar isterinya ke rumah bidan bernama Mak Ju.



Pada awalnya, Mak Ju memberikan kasih sayangnya kepada Hajar, sesuatu yang tidak pernah dirasakan daripada ibu kandungnya sendiri.



Beliau mempercayai Mak Ju tanpa mengetahui bahawa wanita itu menyimpan niat jahat untuk menggunakan bayi yang bakal lahir itu untuk menghidupkan kembali anaknya yang sudah meninggal dunia menerusi cara ghaib.



Dari segi lakonan, sebagai 'orang lama' dalam industri hiburan, Nasha memang tepat memainkan watak Mak Ju yang berusia tetapi nampak awet muda. Apa yang menggerunkan adalah sisi misteri Mak Ju dan juga kehadiran Nasir yang penuh tanda tanya dalam hidupnya.



Zul pula dapat mengawal emosi lakonannya untuk membuatkan ramai tertanya-tanya siapa sebenarnya Nasir.



Azira sebagai pelakon paling 'junior' dalam kalangan tiga watak utama (Hajar, Mak Ju dan Nasir) pula perlu melalui babak-babak menyeramkan ketika melahirkan atau dijejak hantu dan sekitaran mengerikan.



Cuma ada teman yang bertanya mengapa dandanannya cukup tebal walaupun dalam adegan biasa duduk di rumah atau ketika tidur.



Seperti filem seram lain, amalan khurafat sesetengah orang seperti pemilikan saka, pemujaan dan amalan seperti minum darah dipaparkan.



'Talbis Iblis' bermaksud tipu daya iblis. Justeru, ada babak-babak yang menunjukkan bagaimana iblis memesongkan anak Adam.



Seperti dalam karya arahannya yang terdahulu, Kabir memastikan sinematografi filem ini nampak kemas, cantik dan saujana mata memandang.



Sepanjang filem, memang kita dibawa meninjau tempat terpencil, hutan rimba dan kesuraman suasana yang membuatkan kita masuk dalam zon filem seram.



Persoalan seperti menutup malu, membalas dendam, nak buat baik tetapi nafsu dipujuk rayu syaitan untuk buat kejahatan diketengahkan.



Bagaimanapun, tetap payah untuk terus seronok menyaksikan filem ini berbanding filem seram barat dan Indonesia yang membuat anda terpekik-pekik dan menanti penuh debaran seperti The Exorcist, Conjuring mahupun Pengabdi Setan dan Suster Ngesot.



Ia membuatkan penulis sendiri berasakan daripada membanjiri pasaran filem Melayu dengan filem seram, lebih baik jika karyawan filem Melayu fokus pada bikin filem di luar genre seram meskipun cerita hantu dengan orang Melayu bagaikan tidak dapat dipisahkan.



Pada era pasca pandemik ini, kita perlukan filem yang boleh dikenang sampai bila-bila kerana dialog lucu dan nilai sosial seperti yang dipapar dalam apa jua filem P. Ramlee serta karya kontemporari, Ali Setan, Redha dan Adiwiraku. Ke mana perginya filem-filem sebegini?




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >