Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Khidmat penstriman sedunia: Selera penonton 3 negara

Pengguna Singapura gemar cereka sains; peminat M’sia suka komedi; penonton Indonesia terpikat filem aksi
Jul 17, 2023 | 05:31 AM



Apabila pengarah siri drama cereka sains Distopia di saluran Mediacorp Suria, Encik Mahfuz Mazlan, membuka kisah tentang cetusan idea bagi drama yang membayangkan dunia futuristik dengan pelbagai teknologi canggih, saya yakin cereka sains adalah genre kegemaran sebilangan warga Singapura.


Secara peribadi, saya sendiri terdedah, bahkan ‘melekat’ di kaca televisyen atau layar pawagam kerana drama atau filem cereka sains seawal 1970-an dan 1980-an, misalnya drama Space 1999 (1975), Star Trek (1960-an), Buck Rogers in the 25th Century (1979) mahupun Star Wars (1977).


Justeru, penemuan terkini satu tinjauan Cloudwards, syarikat pengulas sofwe dan peralatan privasi bagi memastikan keselamatan data anda terjamin, dapat difahami.

Menerusi tinjauan genre televisyen dan filem paling popular dalam setiap negara dengan menganalisis data platform penstriman paling popular iaitu Netflix, Hulu, HBO, Disney, Google, Amazon dan iTunes, dapat dirumuskan hanya Singapura dan Sepanyol sahaja yang menikmati kandungan eksklusif drama atau cereka sains pada 2023.

Tinjauan itu menambah kecenderungan pada drama atau filem cereka sains ini kemungkinan berpunca daripada perkembangan inovasi teknologi yang tinggi dan daya kreatif yang cukup menyerlah di kededua negara.

Dalam satu rencana Sci-Fi In Singapore: 1970s to 1990s di dalam makalah Biblioasia, penulis Nadia Arianna Ramli melihat karya filem cereka sains Hollywood sebagai pembuka jalan untuk penulis setempat menghasilkan karya cerpen atau novel cereka sains.


“Minat yang bertambah terhadap cereka sains membawa pada penubuhan Persatuan Cereka Sains (Singapura) atau SFAS pada 1989.

“Persatuan ini dibangunkan sekumpulan pencinta tegar karya cereka sains bagi tujuan menambah kesedaran orang awam terhadap cereka sains dan fantasi sebagai genre yang dibolehkan dan sah dalam sastera dan seni,” tulis Nadia dalam rencana berkenaan.

Menyorot tentang genre cereka sains ini dalam dunia seni Melayu, Nadia menarik perhatian bahawa pada 1986, drama 45 minit, Para Benon, dipentaskan sebagai sebahagian daripada persembahan tahunan Sriwana, Malam Puspasari.


Ia membawa penonton meninjau dunia setelah ‘apocalypse’ dan menjurus ke arah sekumpulan individu yang bertahan daripada gejala pembunuhan beramai-ramai dek malapetaka nuklear.

Mereka ingin bina semula peradaban baru pada abad ke-23. Para Benon merupakan hasil ilham pelawak Ahmad Mawi yang berkongsi bahawa itulah kali pertama drama cereka sains komedi dipentaskan dengan pelakon mengenakan kostum era angkasa lepas.


Lantaran itu, boleh dikatakan cereka sains dekat di hati orang Singapura sejak dahulukala lagi kerana inilah tempoh untuk menebar impian di luar dunia realiti.

Pelbagai alat canggih boleh diilhamkan sebagai gambaran era futuristik yang diidam-idamkan dapat memudahkan atau menambah baik kehidupan manusia.

Secara umum, genre drama menjadi yang paling popular dalam kalangan 28 negara yang ditinjau. Aksi dan animasi berada di tempat kedua dengan 23 negara memilihnya bagi setiap genre.

Di Malaysia dan Maldives pula, nampaknya komedi menjadi daya tarikan sehinggakan pelawak pula yang dianggap sebagai bintang paling laris.

Lihat sahaja di persada seni Malaysia, nama-nama pelawak menjadi sebutan daripada Nabil Ahmad, Jihan Muse, Johan, Shuib Sepahtu, Zizan Razak, Jep Sepahtu dan Harith Iskander mempunyai kelompok peminat mereka sendiri.

Filem atau kerja seni mereka juga boleh ditontoni di wadah penstriman. Komedi bahkan dimasukkan dalam genre aksi (Polis Evo) atau seram (Hantu Kak Limah) mahupun romantis (Cun!).


Filem komedi era Allahyarham P. Ramlee merupakan satu hasil kritikan sosial terhadap masyarakat Melayu seperti sikap malas, sikap iri hati dan sikap mudah berpuas hati sehingga leka akan kekayaan yang diperolehi. Nilai-nilai ini yang cuba diserapkan dalam karya yang dihasilkan agar menjadi pedoman bersama.

Sedang filem animasi menjadi pilihan penduduk kepulauan Caribbean dan Amerika Selatan (Brazil, Bahamas, Bolivia, Jamaica dan Mexico), pengguna Indonesia pula memilih genre aksi sebagaimana pengguna di India dan Vietnam.

The Raid, The Night Come, Gundala, Java Heat, Tarung dan Serigala Terakhir adalah antara contoh filem aksi Indonesia yang disebut-sebut warganet sebagai memaparkan gerak sepak terajang yang mempesona.


Anehnya, genre romantis, ‘thriller’, seram dan dokumentari lenyap daripada kecenderungan paling utama pengguna wadah penstriman. Hairannya, filem seram dari Malaysia dan Indonesia banyak memenuhi pasaran sehingga jadi jemu atau hilang faktor seramnya kerana sudah terbiasa menontonnya hampir setiap minggu.

KKN Di Desa Penari, Pengabdi Setan 2 dan Sewu Dino adalah filem seram Indonesia ‘pecah panggung’ sejak beberapa tahun ini. Satu wawancara penganalisis industri filem, Bicara Box, bersama Upi, pengarah filem adiwira Sri Asih, yang dipadankan daripada komik, menunjukkan bagaimana genre seram menjejas penghasilan filem daripada genre lain.


Kata Upi: “Saya berharap lebih banyak filem daripada genre yang rencam dihasilkan di Indonesia. Sejak akhir-akhir ini, asyik filem seram yang dijana dengan cerita yang diulang-ulang dan nampak sama sahaja.

“Saya menanti filem ‘psycho thriller’, jenayah, ‘thriller’ siasatan jenayah dan lain-lain. Saya juga berharap penerbit akan lebih terbuka pada idea jalan cerita yang lebih segar dan genre selain seram.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >