Subuh
5:36
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Kupas isu sosial bagi pupuk masyarakat bertoleransi

Jan 02, 2024 | 05:32 AM



Sebagai seorang anak watan Singapura, kita sering terlupa tentang betapa majmuknya negara kita sebenarnya.

Selalunya, kita menganggap masyarakat Singapura terbelah dari sisi bangsa dan agama sahaja dan kami tidak memikir tentang mazhab-mazhab terperinci dalam pelbagai agama.

Perkara ini dilihat berlaku dalam masyarakat Melayu/Islam Singapura yang hampir kesemuanya mengikuti aliran Sunni, khususnya mazhab Syafii.

Kita terlupa akan wujudnya mazhab lain di Singapura, justeru kebanyakan dalam masyarakat kita berpegang kepada pendapat bahawa Islam hanya diamalkan dengan satu cara khas.

Walhal, ada perbezaan yang sungguh mendalam dari sudut peradaban, amalan, fikah dan lain-lain dalam mazhab-mazhab yang lain.

Apalagi kalau kita fikir tentang mazhab yang dalam pemahaman Islam di Singapura terkeluar daripada norma masyarakat, misalnya mazhab Syiah di Singapura?

Oleh itu, mahasiswa di Universiti Nasional Singapura (NUS) berani menyelam dan menyelidiki isu ini, menganjurkan sebuah forum untuk membincangkan tentang pluralisme yang wujud dalam masyarakat Melayu/Islam Singapura.

Satu forum anjuran Persatuan Pengajian Melayu telah diadakan di NUS pada 8 Oktober 2022 untuk mendedahkan dan memberi perhatian terhadap mazhab Syiah di Singapura kepada masyarakat Melayu/Islam Singapura.

Sekitar 100 peserta yang menghadiri acara tersebut berasal daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk yang bermazhab Sunni dan Syiah.







Acara yang diberi judul, ‘The Deviant Shia: Fact or Fallacy’. membuka tirai dengan pembentangan oleh seorang mantan mahasiswa NUS dan Presiden Himpunan Belia Islam (HBI), Encik Muhammad Al-Baqir Buang, yang juga mantan Presiden NUS Muslim Society pada 2011 sewaktu beliau mengambil ijazahnya.

Beliau menerangkan lebih lanjut tentang perkembangan dan sejarah masyarakat Syiah di Singapura dan menitikberatkan peranan penting yang dimainkan oleh mereka, termasuk dalam pembentukan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada 1968 dengan beberapa nama tersohor daripada masyarakat Syiah Singapura memberi sumbangan wang dan lain-lain untuk menubuhkan Muis.

Menyusuli segmen itu, Timbalan Presiden HBI, Cik Nur Nazlyna Bahtiaraffandi, menyentuh tentang stereotaip dan beberapa salah faham masyarakat Melayu/Islam di rantau ini terhadap masyarakat Syiah.

Ini termasuk salah faham di mana orang-orang Syiah menganggap Sayidina Ali sebagai seorang nabi, mempunyai kitab Al-Quran yang berbeza dan lain-lain.

Profesor Syed Farid Alatas daripada Jabatan Sosiologi NUS memberi pembentangan dari sudut akademik, membahas tentang betapa pentingnya untuk kita merungkai balik sejarah dan tradisi peradaban Islam sebelum melabel golongan Syiah dari sudut negatif.

Acara itu merangkumi sesi soal jawab untuk membolehkan peserta berinteraksi dan mengemukakan soalan kepada ketiga-tiga anggota panel penceramah.

Ruang itu merupakan segmen yang memberi ruang kepada peserta berkongsi bahawa mereka memperoleh banyak maklumat dan fakta tentang masyarakat Syiah dan perasaan ragu-ragu dan ketidakpastian dileraikan.







Ramai yang kemudian bersembang semasa rehat dan berkenalan dengan seseorang yang bermazhab Syiah.

Acara ini menunjukkan kepentingan sikap menyelidik dan ruang wacana dalam membangun masyarakat yang saling memahami dan bertoleransi.

Ini juga menunjukkan bahawa anak-anak muda di kampus berperanan dan berpotensi tinggi untuk mendorong naratif dan wacana dalam masyarakat kita dan harus memberanikan diri serta mengasah semangat untuk menyuarakan atau membincang isu-isu sosial.

Justeru, peluang harus diberikan untuk masyarakat kita membangunkan wadah sebegini kerana sambutan dan keghairahan yang ditunjukkan oleh mahasiswa dan orang awam menunjukkan sikap masyarakat kita yang ingin ambil tahu dan mendalami ilmu dan isu yang tidak sering diungkapkan.

Penulis pelajar Tahun 3 di Fakulti Sastera dan Sains Kemasyarakatan (Sejarah dan Pengajian Melayu), Universiti Nasional Singapura (NUS).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >