Subuh
5:36
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Maghribi, Jebel Toubkal yang aku kenangi

Jurutera aeroangkasa S’pura teringat lawatan ke Maghribi enam bulan sebelum ia dilanda gempa bumi
Sep 17, 2023 | 05:30 AM



Tergerak hati saya mencoretkan pengalaman bercuti ke Maghribi selama empat hari tiga malam pada Mac lalu tanpa terfikir negara ini akan dilanda bencana gempa bumi paling dahsyat pada Jumaat, yang mengorbankan hampir 3,000 nyawa.

Setelah kejadian itu berlaku, saya tersentak kerana hubungan saya dengan kenalan di negara itu sangat akrab ibarat mereka juga keluarga saya. Persaudaraan seagama yang membuatkan saya langsung bertanya khabar berita kepada jurupandu saya yang dikenali dengan nama Encik Hassan ketika mendaki Gunung Jebel Toubkal beberapa bulan lalu. Katanya, rumahnya runtuh dan saya doakan agar beliau sekeluarga bersabar mengharungi segala ujian Allah.

Alhamdulillah rakan-rakan lain baik dan selamat. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Saya hanya mampu mendoakan dari jauh. Semoga dimudahkan urusan warga Maghribi.

Sungguhpun begitu, saya akur dengan semangat pelancong ke Maghribi untuk terus bercuti di negara yang indah dan penuh insan ramah itu walaupun ia kini diulit masalah bencana alam. Ini dilaporkan dalam beberapa laporan media tentang kebetahan pelancong untuk terus menjelajah Maghribi dan meneroka kawasan desa dan lorong terpencil negara itu yang kaya dengan khazanah warisan dan budaya.

Bagi saya sendiri, berita sempadan dibuka adalah yang terbaik yang pernah saya dengar. Setelah lebih dua tahun berdiam diri sahaja di Singapura kerana pandemik Covid-19, akhirnya saya dapat merealisasikan impian saya mengembara.

Saya menetapkan matlamat menawan Gunung Jebel Toubkal dengan ketinggian 4,167 meter di Pergunungan Atlas, Maghribi. Baki tujuh hari pula saya peruntukkan untuk melawat beberapa destinasi pelancongan yang wajib dikunjungi.

Secara geografi, Gunung Jebel Toubkal ini merupakan gunung tertinggi di Afrika Utara dengan keunikannya yang tersendiri. Masyarakatnya persis orang Arab, berbudi bahasa, beramah-tamah sebagai tuan rumah dan mudah untuk berkomunikasi dengan mereka. Alhamdulillah, kejayaan misi saya kali ini sekali gus memberi saya nikmat menawan dua puncak tertinggi Afrika sejauh ini. Sebelum ini, pada 2018, saya sampai ke puncak Gunung Kilimanjaro setinggi 5,895 meter di Tanzania.

Saya diiringi tiga teman seperjuangan dalam misi Jebel Toubkal itu. Semalaman, kami berada di Marrakesh, bandar paling popular di Maghribi sambil berehat dan membuat persiapan akhir.

Pada hari pertama itu, saya hanya ingin sampai ke Toubkal Refuge, tempat penginapan pada ketinggian 3,207 meter. Walaupun musim salji akan berakhir tidak lama lagi pada ketika itu, namun permukaan denai masih dipenuhi salji yang agak tebal dan memberi cabaran untuk kami melangkah.

Kami mengorak langkah santai sahaja hingga sampai di Sidi Chamharouch untuk berehat dan makan tengah hari. Pemandangan sungguh cantik, dikelilingi gunung-ganang yang bersalji. Terdapat beberapa gerai yang menjual makanan, minuman jus limau yang popular dan berbagai cenderahati untuk dibawa pulang.

Dari sini, kami meneruskan pendakian menaiki lereng-lereng gunung yang berliku sambil menikmati pemandangan yang sungguh mempesonakan. Namun semestinya pendakian ini bukanlah sesuatu yang mudah lebih-lebih lagi apabila berada di paras 3,000 meter di atas paras laut.

Terasa agak susah untuk bernafas, sering batuk dan kedinginan hingga menusuk ke tulang-belulang. Oleh yang demikian, semasa berada di Singapura lagi, kami berlatih menaiki tangga, melakukan senaman kardiovaskular dan berjalan pantas dalam rangka membuat persiapan bagi aktiviti pendakian ini.

Istilah ‘the art of layering’ amat membantu dalam mengelakkan dan menghalang kami daripada mengalami kesejukan cuaca yang melampau. Pakaian berlapis itu perlu. Akhirnya, pada 6 petang, kami selamat sampai ke tempat penginapan kami untuk tiga malam, Refuge Toubkal.


Tempat penginapan kami ini tidaklah sebesar manapun. Ia boleh memuatkan sekitar 50 orang dalam satu-satu masa, termasuk pendaki, jurupandu dan pengangkat beg serta beberapa kakitangan lain. Makanan dan minuman diberi tiga kali sehari, katil bertingkat, ruang perapian dan kemudahan tandas disediakan.

Hari kedua merupakan tempoh penyesuaian diri. Seseorang akan mengalami keadaan yang dipanggil ‘penyakit ketinggian gunung’ atau Acute Mountain Sickness (AMS) yang boleh memudaratkan kesihatan seseorang dalam pendakian melebihi ketinggian 3,000 meter.


Kami mengamalkan istilah ‘climb high, sleep low’. Ini bermakna kami mendaki dan berehat selama lebih kurang sejam pada paras 4,000 meter dan turun semula serta bermalam pada paras ketinggian 3,000 meter. Dengan demikian, badan kami akan dapat menyesuaikan diri dalam sekitaran tinggi dengan harapan dapat meneruskan pendakian ke puncak Jebel Toubkal itu nanti tanpa sebarang masalah.


Namun, ini bukanlah satu kepastian. Sesiapa sahaja termasuk yang cergas boleh dilanda AMS.

Pada hari ketiga yang dinanti-nanti, inilah tempoh kami fokus pada usaha mencapai puncak gunung. Dukacita kami nyatakan, dua di antara kami mengalami cirit-birit dan muntah-muntah. Mereka dinasihati untuk berehat dan menjaga kesihatan mereka manakala saya, jurupandu Hassan dan seorang lagi teman meneruskan pendakian ke puncak gunung.

Dengan bekalan sebotol air, sedikit makanan dan ‘crampon’ atau peranti penarik yang dilekatkan pada kasut untuk meningkatkan mobiliti di atas salji dan ais semasa memanjat ais, kami bertiga bergerak mendaki lereng gunung yang agak curam untuk sampai ke Tizi Toubkal pada ketinggian 4,000 meter. Kami dapat melihat puncak Jebel Toubkal dari sini dengan baki sejam pendakian untuk sampai ke puncak.


Alhamdulillah, kesihatan saya agak baik walaupun pendakian cukup memenatkan. Cuma sesekali terasa lelah sedikit disebabkan keadaan cuaca yang agak sejuk dan udara yang menipis. Setelah hampir empat jam setengah, kami amat gembira dan bersyukur kerana kami telah berjaya menawan puncak tertinggi di Afrika Utara pada ketinggian 4,167 meter.

Kami saling berpelukan dan mengucapkan tahniah di antara satu sama lain. Saya sujud syukur atas kejayaan ini. Saya amat terpegun dengan pemandangan 360 darjah dari puncak gunung. Kami berfoto untuk merakamkan detik-detik bersejarah ini.

Pada hari terakhir yang merupakan hari perpisahan, perasaan kami bercampur-baur antara gembira dengan sedih. Apa tidaknya? Gembira kerana kami telah mencapai misi sampai ke puncak dengan selamat dan jayanya walaupun tanpa dua teman kami yang sakit. Sedih kerana kami akan berpisah dengan kenangan manis melaksanakan misi bersama Hassan dan krunya yang sungguh profesional dalam memberi bantuan, galakan dan panduan memanjat gunung.

Dalam perjalanan turun, kami sempat menggelungsur dengan salji. Tanpa pengetahuan kami, Hassan dan krunya telah menyiapkan makan tengah hari yang istimewa berupa sajian Maghribi yang lazat untuk menyambut kejayaan kami. Kami akhiri kembara kami dengan perjalanan dari Chamcharouch ke Imlil dan seterusnya berkereta pulang ke Marrakesh.

Penulis ialah jurutera aeroangkasa berusia 57 tahun.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >