Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Pengacara ‘tangkap’ kemahiran masak dari peserta cilik sambil perkasa bahasa Melayu

Jul 30, 2023 | 05:30 AM



Rasa kagum pada kebolehan anak-anak kecil memasak hidangan seperti beriani ayam tikka masala membuatkan bakat Singapura, Fazlyna Aziz, seronok mengacarakan program realiti memasak buat si cilik yang kini disiarkan di aplikasi mewatch, Ai, Ai, Cef!


Ini memandangkan pada usia semuda kanak-kanak ini, Fazlyna tidak dapat membayangkan dirinya berada di dapur dan menyiapkan sajian dari seantero dunia.

Fazlyna yang dihubungi Berita Minggu berkongsi pengalamannya mengacara, baik di televisyen atau ketika mengendalikan program pendidikan dan perkongsian budaya Sri Warisan Performing Arts Ltd di dalam dan luar negara.


Sebagai pelakon drama Mencari Marina yang disiarkan di saluran Mediacorp Suria kini, beliau turut menceritakan tentang rasa bak dilanda mimpi sewaktu bergandingan dengan bintang seberang Tambak, Fauziah Latiff.


Ikuti perkongsian Fazlyna, yang juga pernah menari bersama Sri Warisan pada usia belianya.

Soalan (S): Apakah perasaan anda apabila dipilih untuk mengacarakan ‘Ai, Ai, Cef!’?


Fazlyna: Sebenarnya, saya bersyukur dapat memanfaatkan kecintaan saya pada bahasa Melayu untuk program ini sebab saya perlu berbahasa baku dan mengingati pelbagai nama bahan masakan dan sajian yang siap disediakan dari merata dunia sekali gus.


Sewaktu di Sekolah Menengah Yishun Town, saya dan ikon penyiaran serta Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Hazlina Abdul Halim, adalah dua pelajar sekohort yang berjaya mendapat gred cemerlang untuk bahasa Melayu.

Apa yang menarik dalam rancangan ‘Ai, Ai, Cef!’ ini adalah saya juga dapat belajar daripada melihat anak-anak ini menggunakan bahan yang sedia ada dan dengan bimbingan Cef Muz. Saya bukanlah pakar memasak. Jadi bagus juga untuk tahu tentang bahan yang diperlukan untuk menyiapkan sesuatu hidangan. Salah satu cabaran yang saya hadapi adalah menghafal skrip 25 halaman. Tiada mesin ‘telepanduan’ untuk saya rujuk skrip. Saya juga perlu perhalusi soalan saya agar mudah dihadam anak-anak prasekolah ini.

S: Bagaimana menangani peserta yang masih kecil lagi?


Fazlyna: Tidak dapat dibayangkan bagaimana budak-budak ini boleh tahu memasak hidangan sukar yang selalu kita tempah di kafe. Kalau saya sebaya mereka, saya hanya tahu main-main rumah dayak di kolong blok sahaja. Mereka cukup hebat sebab perlu siapkan masakan Maghribi, Jepun, Perancis dan macam-macam lagi.


Rata-rata, peserta memang minat memasak. Ada yang belajar daripada ibu atau pembantu rumah masing-masing. Saya pula gembira sebab melalui interaksi dengan mereka, saya juga belajar tentang masakan sesebuah negara dan sejarah hidangan tersebut.

Ini juga masa untuk adik-adik ini belajar bertutur dalam bahasa Melayu yang baik. Ai, Ai, Cef! bukan program memasak ketawa-ketawa tetapi ia penuh dengan pengajaran dan panduan. Sesiapa yang menonton akan terdorong memasak dengan anak-anak di rumah. Sama seperti kalau kita tonton program kraftangan, kita nak hasilkannya dengan anak-anak. Begitu juga dengan Ai, Ai, Cef!


S: Bagaimana penglibatan anda dengan Sri Warisan serta pengalaman mengacara dalam program ‘Lebaran Tales’ di Esplanade?


Fazlyna: Saya sudah lebih 20 tahun mengacara bersama Sri Warisan. Bagi saya, Lebaran Tales peluang untuk kenalkan generasi muda dalam masyarakat Melayu serta penonton berbilang kaum tentang amalan seperti malam tujuh likur. Tak ramai yang tahu ia diraikan pada 27 Ramadan. Orang kampung akan keluarkan lampu colok dan mengaji. Saya lihat ramai yang khusyuk mendengar penceritaan saya dan teman-teman.


Sebelum ini, saya menari bersama Sri Warisan tetapi tidak ramai bakat mengacara dalam kumpulan ini. Maka, saya diamanahkan dengan tugas mengacara bagi program warisan, sesuatu yang amat saya senangi.

S: Apakah kenangan tidak boleh dilupakan sewaktu ke luar negara bagi pesta budaya bersama Sri Warisan?


Fazlyna: Sewaktu di pergunungan Peru dan menjejaki sejarah peradaban Maya, kami terjumpa sekitar 40 hingga 50 ekor llama (haiwan serupa unta berbulu tebal di Amerika Selatan). Kami ingin bergambar tetapi haiwan ini tidak sukakan gangguan dan mengamuk. Lintang-pukang kami lari sebab dikejar llama yang naik angin ini!


S: Bagaimana pengalaman menjayakan ‘Mencari Marina’?


Fazlyna: Saya tak dapat bayangkan suatu hari saya dapat berinteraksi dan berada dalam satu set dengan bintang Malaysia sehebat Fauziah Latiff. Dulu, saya berpeluang berlakon dengan Beto Kusyairy. Kini, saya adalah Dr Melissa, yang pernah bekerja sambil belajar dengan pakar psikologi yang membuat kajian tentang hipnosis, Dr Latifah, peranan yang dibawa Kak Gee (Fauziah).


Selain daripada banyak ulitan konflik dan persoalan siapa dalang dalam drama ini, saya suka dengan keserasian bersama Kak Gee. Awal-awal lagi apabila saya tiba dengan motosikal besar saya, kami dah ‘klik’ sebab Kak Gee pun memiliki motosikal besar. Orangnya rendah hati dan berbual lemah-lembut berbanding saya yang bersuara serak, kecoh dan macam radio rosak ni!

Kak Gee sempat duduk atas motosikal saya dan memanglah ia peluang keemasan. Siapalah bertuah motosikalnya diduduki Fauziah Latiff?




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >