Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Rahsia jaya Shaheizy Sam: Buang ego, buang ‘emo’

Jun 21, 2023 | 01:33 AM



Keserasian jelas terlihat di antara dua selebriti Malaysia, Shaheizy Sam dan Zizan Razak ketika menghadiri sidang akhbar Polis Evo 3 di Hotel Royal Plaza on Scotts baru-baru ini. Terlihat kededua sahabat baik ini tergelak dan kerap bersenda gurau tanpa henti.


Hubungan mereka berdua menjadi lebih akrab ketika berganding bahu dalam filem Polis Evo pada 2015 dengan filem arahan Ghaz Abu Bakar itu ‘pecah panggung’.


Filem susulan Polis Evo 2 arahan Joel Soh dan Andre Chiew pula menyusul pada 2018 diikuti dengan Polis Evo 3 arahan Syafiq Yusof pula buat masa ini, meraih keuntungan sehingga RM50 juta ($14.5 juta) untuk tayangan 24 hari di pawagam Malaysia, Singapura dan Brunei.


Ketika ditemui Berita Harian, Shaheizy 40 tahun, mendedahkan, persahabatan dan chemistry atau keserasian di antara Inspektor Khai (lakonan beliau) dan Inspektor Sani (Zizan) dalam tiga filem francais Polis Evo bukan dibuat-buat.


Sebaliknya, beliau cukup selesa bekerjasama, baik dalam mahupun di luar tabir bersama Zizan. Lebih menarik lagi, mereka berdua tinggal di kejiranan yang sama, di Shah Alam, Selangor, yang jaraknya hanya dua minit berjalan kaki untuk ke rumah masing-masing.

Mungkinkah kerana gandingan mantap dan persahabatan yang utuh ini menjadikan Polis Evo 3, sebuah naskhah hebat ini meletup dan pecah panggung? Kutipan bagi filem aksi komedi ini mencecah RM16 juta dalam masa yang cukup singkat - hanya empat hari di pawagam malahan dikatakan mengatasi filem fenomena 2022, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.


Sewaktu bersembang bersama Shaheizy secara empat mata demi membongkar rahsia kejayaan lakonannya yang begitu bersahaja tetapi cukup menjadi, suami pelakon Syatilla Melvin ini menganggap keikhlasan dalam persahabatan serta menjaga hati kawan, memainkan peranan penting, baik dalam filem atau luar filem.

“Bagi saya satu sahaja. Untuk mendapatkan hasil yang terbaik dalam lakonan kita nanti, mestilah ianya datang dari hati, dan perlu bermula dari off screen (luar tabir). Bila saya diberitahu akan bergandingan dengan Zizan lagi dalam filem Polis Evo 3 ini, yang pertama dan utama, filem ini mesti kena bagus. Untuk itu, ikatan persahabatan saya dengan Zizan juga perlu kukuh dan bagus, baik di dalam atau luar filem. Dari situlah kita bergerak seiringan. Memang kita mempunyai keserasian yang cukup baik, di samping kita bersikap profesional dalam tugasan dan buang ego dan buang emo!


“Kita kena jaga hati orang sekeliling kita dengan ikhlas dan sejujurnya. InsyaAllah, orang-orang ini nanti akan menjaga kita dan Allah akan pelihara kita juga,” jelas Shaheizy, adik kepada pelakon popular, Zizie Ezette.

Shaheizy juga menambah, bagi setiap pekerjaan yang dilakukan, beliau menginginkan yang terbaik agar lakonannya mampu memberi kesan kepada penonton dan peminatnya. Baginya, jangka hayat sesebuah filem itu bukan setakat hanya lima atau enam tahun, tetapi boleh melebihi puluhan tahun atau lebih lagi malahan boleh dikenali dan diterima hingga ke luar negara.

“Cuba kita lihat filem-filem klasik lama, contohnya filem Inggeris pada tahun 1940-an dulu. Filem-filem ini masih ada dan boleh ditonton hingga ke hari ini. Cerita-cerita dari Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sendiri masih diingati dan disukai ramai hingga kini walaupun usia filem-filem ini sudah pun melebihi lima dekad lamanya. Filem-filem Melayu Ini adalah legasi kita, jadi saya juga berkeinginan untuk meninggalkan legasi atau kesan kepada generasi akan datang menerusi lakonan saya, insya-Allah.

“Saya akan berusaha dengan sedaya upaya untuk membawakan watak yang diberikan dengan berkesan. Seperti filem Polis Evo 3 ini, kita perlu nampak fit (cergas) jadi kita perlu bersenam, ke gim dan angkat berat, untuk sesuaikan dengan watak sebagai pegawai polis. Saya akan berikan yang terbaik,” jelas bapa tiga anak ini.


Shaheizy juga mendambakan lakonan pelbagai watak, bukan hanya komedi atau jenaka sahaja. Baginya pelakon yang baik, boleh memegang pelbagai watak dan serba boleh. Mampu membuat penonton menitiskan air mata dan boleh juga membuat orang marah dan benci melihat karakter yang dilakonkan.

“Saya gemar melakonkan semua genre. Wira komedi, aksi ‘gangster’, watak serius dan ingin diingati sebagai pelakon serba boleh. Tidak mustahil untuk seorang pelakon Malaysia pergi jauh dan dikenali di luar negara. Saya ingin buktikan yang kita boleh menjadi pelakon terbaik dan dikenali bukan hanya di negara sendiri, tapi jauh di luar sana. Yang pasti, kita mesti jujur, kerja keras, fokus dan tanamkan niat dalam kerja seni ini. Yang lebih, kita serahkan kepada Allah, untuk perancangan–Nya,” jelas Shaheizy yang gemar makan sup tulang merah kalau singgah ke Singapura.

Ditanya apakah reaksi beliau dengan kecaman atau cemuhan dari warganet di media sosial, ini jawapan jujurnya:

“Saya akan block (sekat) mereka. Saya rasa ini semua kerja budak-budak nakal, dan tak pernah sekalipun kecaman negatif yang dilemparkan di media sosial, dilontarkan atau diucapkan terus di muka atau di depan diri saya. Jadi, untuk tidak menjejas minda dan kesihatan diri saya, saya tidak akan ambil pusing dan terus sekat saja mereka di laman sosial,” tambahnya lagi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >