Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Rindu kongsi pencapaian seni dan bisnes dengan papa

Anak Aman Shah, Zalelo, dilamar label rakaman hip hop serantau, perkasa ilmu niaga dalam sidang antarabangsa
Jun 11, 2023 | 05:30 AM



Terlalu banyak perkara yang ingin bakat Singapura, Afrah Athasha Aman Shah, kongsi dengan bapanya seandainya Allahyarham Aman Shah, penyanyi Malaysia yang popular pada tahun 1980-an masih hidup.

Ini termasuk kisah pencapaiannya dipilih sebagai artis wanita Singapura pertama yang kini bernaung di bawah label rakaman gergasi di Asia Tenggara, Def Jam Recordings Southeast Asia, keupayaannya bernyanyi di seberang Tambak dan kian diterima pengamat muzik di Malaysia serta pencalonannya untuk Pesta Perdana 2023 bagi Lagu Tema Terbaik.

Afrah, 25 tahun, juga gigih meniaga aneka minuman ‘bubble tea’ yang digemari anak muda di bawah jenama Habibtea dan ingin memperluaskan bisnes tersebut tahun ini. Beliau malahan dipilih institusi pengajiannya, Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), bagi satu program antarabangsa untuk memperkasa kemahiran berniaga di Portugal tidak lama lagi.


Sayangnya, di kala hubungan Afrah dan bapanya yang telah lama terpisah susuli perceraian ibu bapanya kian akrab, Afrah atau nama pentasnya Zalelo hilang kasih sayang seorang ayah pada 14 September 2022.

Pemergian Aman yang terkenal dengan lagu Raya, Kepulangan Yang Dinanti serta lagu disko rancak Adikku Pandai Menari cukup dirasakan Afrah sehinggakan terngiang-ngiang di fikirannya nasihat arwah bapanya yang suka bergurau.


Aman kaya nasihat atas keprihatinan enggan melihat anak bongsunya hasil perkahwinan dengan anggota kumpulan duo The Queens, Farah Diba Abdul Aziz, merana dan diperguna dalam industri hiburan yang penuh ranjau.

Aman meninggal tidak lama setelah hadir di Singapura tahun lalu bagi majlis pertunangan Afrah dengan jejaka pilihan hatinya, Muhammad Muazzin Midzamuddin.

Di ambang sambutan Hari Bapa pada 18 Jun, Berita Minggu menemubual Afrah mengenai pencapaian peribadinya dalam dunia seni yang kadangkala menimbulkan rasa terkilan kerana tidak dapat dikongsi dengan bapanya.


“Saya akan ingat nasihat papa sampai bila-bila. Beliau minta saya jaga diri, tidak malas mencuba dan serius dalam perjalanan seni saya. Yang lucunya, papa yang suka bergurau akan kata saya perlu turunkan berat badan saya sebab suka atau tidak, begitulah tuntutan dunia hiburan khususnya buat artis wanita,” kata Afrah.

Lamaran label Def Jam yang juga bergerak di bawah payungan Universal Music merupakan sesuatu yang dinanti-nantikan Afrah setelah lama bergerak bebas dan kemudian menyertai sebuah label lain sebagai satu percubaan singkat.

“Saya ingin kembangkan sayap saya bersama Def Jam yang mempunyai rangkaian artis bukan calang-calang seperti Alyph dan Fariz Jabba dari Singapura serta Joe Flizzow dan rapper wanita Malaysia, Zamaera dari seberang Tambak.

“Ini merupakan langkah kanan buat saya teroka peluang bekerjasama dengan individu hebat di bawah label ini untuk bawa muzik saya ke peringkat Nusantara dan siapa tahu usahakan kolaborasi antarabangsa pula.

“Lihat semangat Zamaera, saya sebagai rapper wanita Melayu di Singapura dan satu-satunya wanita di dalam kumpulan artis Singapura di bawah Def Jam pun turut bersemangat. Antara fokus saya adalah bikin lagu yang dapat memperkasa kaum Hawa agar tidak gentar memburu impian,” jelas Afrah.

Menurutnya, anak seni yang sudah banyak makan garam seperti Alyph dan Zamaera turut berkongsi beberapa panduan, pengalaman dan inspirasi untuk berkarya dengannya.

“Banyak yang berlaku dalam hidup saya di luar dugaan. Misalnya, saya tak pernah cipta runut bunyi (OST) drama atau telefilem. Ada rezeki cipta lagu telefilem dwibahasa Melayu-Inggeris Korban. Itu projek OST sulung saya.


“Bikin OST yang perlu disesuaikan dengan jalan cerita telefilem memang berbeza. Saya tak tahu jika kandungan lagu saya bertepatan dengan teras cerita. Tapi saya cuba malahan terkesan dengan plot telefilem ini tentang seorang gadis yang mengalami ketegangan hubungan dengan bapanya.

“Sebelum saya dan papa bertemu semula setelah sekian lama terpisah, saya dapat rasakan ketegangan hubungan ini. Boleh juga dikaitkan dengan kehidupan peribadi saya. Senang untuk saya hayati lagu tema Korban ini.


“Sebagai bonusnya, saya dapat pencalonan di Pesta Perdana dalam kategori Lagu Tema Terbaik. Saya juga membuat persembahan di Malam Kreatif Pesta Perdana, Jumaat lalu. Pencapaian ini memang di luar dugaan saya,” ujar Afrah.

Rezeki yang datang bergolek satu demi satu ini disifatkan penyanyi ramah ini sebagai berkat doa ibunya dan arwah neneknya yang tidak putus-putus dan juga kemungkinan rezeki bakal bernikah penghujung tahun ini.

“Kadangkala saya terfikir bagaimana saya boleh mengurus segalanya. Bikin muzik sampai dinihari, sibuk meniaga termasuk di bazar pada Ramadan lalu, pergi kuliah di SUSS, duduki peperiksaan dan sempat ulang-alik ke Malaysia untuk ‘gig’.

“Semuanya dipermudahkan kerana doa ibu saya dan arwah nenek saya. Ibu beri saya kebebasan mencorak hidup saya sebagaimana yang saya ingini agar saya pandai jaga diri dan boleh memberi inspirasi kepada anak muda di luar sana.

“Ada banyak perancangan untuk muzik dan niaga. Saya justeru itu anggap apabila saya ke Malaysia untuk tandatangai kontrak rakaman...ia ibarat lagu popular papa saya, Kepulangan Yang Dinanti. Saya pulang ke tanah tumpahnya darah papa untuk bina kerjaya seni saya di sana.


“Orang tanya sama ada akan ada rancangan nak rakam semula lagu papa dalam versi saya. Nampak menarik bukan? Saya tidak boleh kongsi banyak tetapi harap-harap impian ramai akan jadi kenyataan. Dengan teknologi, macam-macam boleh diusahakan bagi gabung suara saya dengan suara papa misalnya walau beliau tiada lagi,” jelasnya.

Mengenai sidang antarabangsa mengenai usahawan muda yang beliau akan hadiri di Portugal, Afrah berkata ia peluang keemasan untuknya bina rangkaian kenalan dalam kalangan siswa yang terlibat dalam program ini.

“Saya dipilih kerana usaha niaga saya yang tekankan soal penjenamaan dan tradisi pembikinan minuman mengikut susur galur Arab dalam keluarga saya, sebelah ibu. Tak ramai yang dipilih. Jadi saya harus manfaatkan peluang ini untuk bawa pulang ilmu untuk lebih dapat memasarkan minuman saya dengan lebih berkesan,” jelasnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >