Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Sharon risau penerimaan penonton pabila berpasangan dengan Norman

Jun 12, 2023 | 05:31 AM



Hati kecil pelakon dan pengacara Sharon Ismail tertanya-tanya siapakah yang akan membawa watak jejaka yang dapat memikat hati Aishah Mohd Noor, watak balu kesepian dan kehilangan yang dibawanya dalam drama Inggeris, 128 Circle.


Beliau menebak kemungkinan pelakon mapan yang sedikit lebih kurang sebaya dengannya seperti Rafaat Hamzah, Sani Hussin atau Izzat Yusoff.

Tidak sangka bahkan terkejut Sharon, 49 tahun, apabila diberitahu ‘adiknya’ dalam drama sosial Sayang Semuanya pada 1999 iaitu Norman Ishak, 35 tahun, akan jadi sang jejaka penawar hati bernama Rayyan dalam musim ketiga, 128 Circle yang baru sahaja menjalani penggambaran.


“Saya macam nak terjatuh dari kerusi apabila dapat tahu Norman akan jadi Rayyan, kekasih watak Aishah yang saya bawa. Saya akur dalam musim ketiga ini, Aishah akan berjumpa dengan orang baru... cuma tak sangka Norman akan bawa watak pembaiki paip yang curi hati Aishah.

“Rayyan datang betulkan paip yang bocor di gerai mi rebus Aishah. Ingatkan biasalah dah peringkat usia macam saya ni, Sani, Izzat ataupun Rafaat yang dipilih. Awad Salim dah tak boleh sebab beliau adalah suami Aishah yang meninggalkannya pergi. Wataknya memang dah tiada.

“Selepas saya dah tak fikirkan tentang siapa pelakon yang akan bergandingan dengan saya, ia menjadi perkara yang saya tak endahkan.

“Alangkah terkejutnya saya apabila baca skrip dan ternampak watak yang Norman bawa. Bagus juga sebab kita diberi jangka masa tiga minggu untuk fikirkan bagaimana ingin menyusun semula pemikiran saya.

“Tak dapat nak lupa saya berlakon dengan budak kecil 11 tahun tu yang belum ambil PSLE (Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah). Itu zaman saya simpan dan jimat duit nak sambung ambil peringkat sarjana. Kini, saya ada masa tiga minggu untuk sebatikan diri saya dengan dinamik baru antara saya dengan Norman.

“Terus terang saya gementar. Tak tahu apakah kita boleh bina keserasian sebab susah nak cakap. Konteksnya berbeza. Tak tahu kalau penonton yang terbiasa melihat kami dalam Sayang Semuanya sebagai kakak dan adik boleh terima watak baru dan hubungan cinta Aishah dan Rayyan atau tidak,” kongsi Sharon lagi.


Beliau kemudian tertawa mengenang keakrabannya dengan Norman yang dianggap seperti adik sepanjang lebih 20 tahun mereka saling mengenali.

“Norman memang ‘sweet’ dan sensitif. Pada ketika itu, saya lihat dia matang walau umurnya baru 11 tahun. Dia peka dengan apa yang orang tidak suka atau apa yang buat pelakon lain bahagia ketika di set. Kalau orang tak suka sesuatu, dia takkan buat. Kalau orang suka, dia usahakan untuk menggembirakan mereka.

“Norman memang suka dengar lagu Beyonce yang ketika itu anggota Destiny’s Child. Dia akan ‘melekat’ pada alat DiscMan. Dia akan menari lagu Destiny’s Child dan hafal semua lirik lagu mereka. Dia akan menari dengan seorang lagi pelakon cilik yang sebaya, Damirah. Itulah kenangan manis saya tentang Norman. Kami yang jadi enam adik-beradik dalam Sayang Semuanya memang rapat,” ujar Sharon.


Sebelum 128 Circle, Sharon dan Norman dipertemukan dalam drama, Firasat yang memerlukan watak Sharon sebagai seorang superintenden polis menyoal siasat watak Norman.


MUKA BENGIS SELALU DAPAT WATAK POLIS

“Saya hanya bawa peranan kecil. Sebab muka bengis, saya selalu dapat watak polis,” jelas Sharon.

Melihat pencapaian Norman dalam dunia lakonan kini hingga menang di peringkat televisyen serantau, Anugerah Televisyen Asia, dan kemampuannya, Sharon tumpang bangga dan tidak terkejut.

“Saya tahu Norman berkebolehan sejak kecil. Orangnya nampak pendiam tetapi jiwa dan rasanya sampai kepada penonton. Dia rajin dan peka akan keperluan orang. Dia telah melalui banyak perkara dalam kehidupan, pernah cuba kerjaya lain tetapi kembali pada bidang lakonan.

“Pemergian arwah bapanya, Allahyarham Ishak Ahmat, memberi kesan padanya. Ada sesuatu di dalam dirinya yang cukup dalam dan akan terus digali untuk lakonan. Saya hanya mendoakan Norman... mudah-mudahan impiannya untuk berada di belakang kamera sebagai pengarah akan lebih dapat direalisasikan,” jelas Sharon yang tidak pernah terfikir akan bergelar pelakon dan pengacara.

Pada sisi lain kerjaya seni Sharon yang kini merupakan tenaga pengajar dan Penolong Pengarah (kehidupan pelajar) di Sekolah Pengajian Filem dan Media di Politeknik Ngee Ann nampak menyerlah dalam bidang pengacaraan.

Beliau dicalonkan dalam kategori Pengacara Terbaik – Informasi bagi rancangan Misteri Minda. Meskipun sudah tiga kali memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik, Sharon tidak pernah menjulang piala Pengacara Terbaik.


“Kalau ada Najip Ali dan Suhaimi Yusof dalam kategori itu, lupakan sahaja hasrat nak menang. Mereka mesti ‘tapau’ dan contoh pengacara terbaik. Sebenarnya, saya tak ambil masa lama nak terima tawaran mengacara bagi rancangan, Misteri Minda. Awal-awal saya mengacara pun, saya mengendalikan program kesihatan, Klinik Kita.


“Bagi saya, penting untuk masyarakat kita bersikap terbuka untuk berbual tentang isu kesihatan minda tanpa rasa malu dipinggir atau membiarkan stigma berlarutan.

“Sewaktu pandemik, kesihatan mental menjadi lebih penting dengan situasi perintah berkurung, bekerja dari rumah, anak-anak belajar di rumah sehingga bermacam tekanan timbul. Kita kadang risaukan orang tua kita yang tidak tinggal dengan kita sebab tak dapat berkunjung.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >