Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Srikandi perkasa tidak mudah jatuh

Fazura senangi jalan cerita ‘Pendekar Awang: Darah Indera Gajah’, beri semangat buat Fattah Amin
Jan 17, 2024 | 04:07 PM



Ramai yang merindukan lakonan meyakinkan jelitawan seberang, Nur Fazura Sharifuddin, setelah beliau sudah lama tidak muncul dalam sebarang drama mahupun filem.

Setelah bergelar isteri kepada pelakon Fattah Amin, Fazura, 40 tahun, lebih tertumpu pada kerjaya perniagaan di samping mengurus anak mereka, Nur Fatima Aisya yang kini berusia tiga tahun.

Bagaimanapun tawaran menjayakan watak ketua srikandi, Sayang dalam filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah bersama Fattah adalah sesuatu yang tidak dapat ditolak Fazura dek jalan cerita dan perkembangan watak Sayang itu sendiri yang menarik perhatiannya.


Pendekar Awang Darah Indera Gajah yang diterbitkan Studio Kembara ialah filem aksi arahan Sharuddin Dali dan Saiful Reza Shukor sebagai kesinambungan kepada kisah filem epik Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang mendapat sambutan luar biasa pada 2022.


Pihak British mendapat tahu Tok Gajah (lakonan Wan Hanafi Su) berhasrat pergi ke Terengganu untuk mendapatkan sokongan daripada Sultan dan pahlawan Melayu Terengganu.

Pihak berkuasa British mengarahkan penangkapan dan penghapusan Tok Gajah dan pengikutnya. Awang terpaksa menyelamatkan Haji Sulong (Namron) dan memastikan Tok Gajah selamat meninggalkan Pahang ke Terengganu.

Namun, Awang menghadapi pelbagai rintangan dan pertempuran dengan askar British yang diketuai oleh Kapten Syers. Berjayakah Awang yang dilakonkan Fattah menewaskan Kapten Syers kali ini?

Dalam tempoh 56 jam ditayangkan di Malaysia, filem ini telah berjaya mengumpulkan kutipan ‘box-office’ sebanyak RM2.4 juta ($684,125).

Filem yang juga dibintangi Datin Sri Heliza Helmi, Ali Karimi, Nadhir Nasar, Amerul Affendi, Ahmad Ahnaf, Tissa Biani, Mawi, Dian P. Ramlee dan penampilan khas, Faizal Tahir selaku Utusan To’ Ku Paloh juga ditayangkan secara eksklusif di pawagam Cathay.

Dalam satu wawancara bersama Harian Metro, Fazura menjelaskan beliau tidak mengambil masa lama untuk menerima tawaran menjayakan filem ini bukan sahaja kerana tertarik dengan plotnya yang menyentuh tentang pemerkasaan wanita tetapi juga sebagai menyokong suaminya, Fattah yang membawa watak utama.


“Saya meneliti setiap naskhah filem atau drama yang diberikan kepada saya dan lebih melihat pada jalan ceritanya... jika ia sesuatu yang mencabar saya.

“Alhamdulillah, setelah sekian lama tidak berlakon, saya ambil amanah dan tanggungjawab besar ini kerana mendapati filem ini memberi penekanan pada kepentingan srikandi wanita.

“Kebiasaannya, seperti dalam filem Mat Kilau, ia mengangkat jiwa perkasa lelaki sehinggakan menarik ramai lelaki datang ke pawagam dengan bertanjak.


“Namun, saya harap dengan penekanan diberi kepada jiwa srikandi wanita dalam filem Pendekar Awang Darah Indera Gajah ini, saya harap kaum wanita termasuk suri rumah khususnya akan terkesan dari segi emosi yang dipaparkan watak Sayang yang saya bawakan dan srikandi lain dalam filem ini.”


Fazura yakin srikandi itu wujud pada zaman dahulu kala sebagai gambaran wanita juga berperanan dalam memperjuangkan hak, bangsa mahupun agama.

“Pihak penerbitan menjalankan kajian terperinci dan semangat srikandi inilah yang mereka bawa dari kewujudan pahlawan wanita pada zaman silam.

“Saya benar-benar teruja melakonkan filem ini walaupun baru masuk set sahaja pada hari pertama, saya sudah cedera ringan. Saya bangkitkan semangat mencuba sebab ada adegan memanah dan naik kuda. Saya juga perlu perhalusi tajwid dan sebutan bacaan Al-Quran saya sebab ada adegan yang menunjukkan Sayang membaca ayat-ayat suci Al-Quran.

“Jadi, saya harap watak saya sebagai srikandi ini sekurang-kurangnya dapat membangkitkan semangat baru kepada mereka untuk terus berjuang dan tidak berputus asa dalam hidup,” katanya.

Ditanya mengenai cabaran melakonkan watak Sayang, Fazura berkata kesibukan kerja dan perniagaan yang diusahakan membataskan dirinya menjalani sesi latihan untuk menjayakan filem itu.

“Saya hanya ada tiga hari untuk berlatih belajar memanah. Kemudian saya terus masuk set untuk menjayakan babak itu. Jadi, agak mencabar watak ini, tapi apabila dah menyarung kostum Sayang, saya perlu pastikan tanggungjawab ini perlu dilunaskan sebaik mungkin.

“Jujurnya, saya tak pernah membawakan watak yang memperkasa wanita seperti ini. Selalunya watak cinta, tapi kali ini masih mengekalkan elemen cinta, tapi keperibadiannya sangat kuat. Watak Sayang tak lari jauh dengan personaliti saya yang tidak akan berputus asa,” katanya.

Dalam masa yang sama, Fazura yakin dengan keputusan pengarah mengenai penggunaan kostum digayakan bagi memaparkan aksi perjuangan seorang srikandi dalam filem itu.

“Saya rasa pengarah tidak buat sesuatu tanpa kajian. Bagi saya, pakaian yang digayakan lebih memudahkan srikandi untuk berperang selain menutup aurat.

“Saya berharap penonton pergi menonton terlebih dahulu filem itu sebelum mengkritik,” katanya.

Sementara itu, Fazura juga yakin ada hikmah apabila beliau mengambil tanggungjawab kembali berlakon dalam filem ini sebagai satu dorongan dan pemberi semangat buat Fattah.

“Adanya saya membawa watak Sayang memudahkan Fattah. Sayang selaku isteri Awang adalah tulang belakangnya. Di sebalik kejayaan dan semangat kuat seorang lelaki, ada wanita yang menyokongnya.

“Itulah yang saya harapkan dapat saya beri sebagai isteri dalam mendorong Fattah berikan yang terbaik bagi filem ini. Kerana ada babak berpegang tangan dan sentuhan kasih, maka lebih senang untuk Fattah menghidupkan peranannya sebab saya adalah isterinya di luar layar perak.

“Ada jugalah kami tak setuju tentang beberapa perkara seperti apa yang perlu Sayang lakukan atau katakan. Walhal, Fattah sebagai peneraju utama filem ini lebih tahu tetapi biasalah, saya sebagai pelakon pun nak beri pandangan saya.

“Tapi tak adalah kami bawa keperibadian Fattah dan Fazura dalam set sampai menjejas lakonan. Kami akur ini Awang dan Sayang dan bersikap profesional,” jelasnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >