DR ELLY SABRINA ISMAIL
Apabila wanita mencecah usia 50 tahun, ia merupakan permulaan era kebebasan.
Bebas daripada belenggu haid yang mungkin menyebabkan masalah senggugut, Sindrom Sebelum Haid (PMS), bebas daripada menjaga anak-anak yang sudah membesar dan lebih berdikari dan bebas daripada masalah kewangan yang rumit kerana pekerjaan lebih stabil.
Apabila tanggungjawab dan tumpuan kepada anak dan keluarga berkurangan, anda berpeluang mengalih fokus kepada peningkatan diri, menikmati hobi atau melancong ke negara-negara yang selama ini anda impikan.
Alangkah sedihnya jika pada tahap ini, anda merasa sakit-sakit pada sendi, susah untuk memanjat tangga kerana sakit lutut atau mengah dan terpaksa menunaikan solat dari kerusi?
Oleh itu, untuk memastikan bahawa wanita terus sihat, aktif dan hebat agar dapat menikmati dekad seterusnya, beberapa langkah proaktif harus diambil.
Bersenam secara konsisten
Jadikan senaman tabiat yang dilakukan secara konsisten. Jika anda tidak pernah bersenam, mulakan dengan kegiatan mudah seperti lebih berdiri daripada duduk, berjalan, berkebun dan menaiki tangga.
Setiap dua minggu, tambahkan tempoh masa dan intensiti senaman sedikit demi sedikit hingga anda dapat mencapai sekurang-kurangnya 150 hingga 300 minit senaman aerobik (meningkatkan degupan jantung) dalam seminggu.
Untuk wanita yang berusia 50 tahun ke atas, anda perlu membuat senaman menguatkan otot, tulang dan sendi (strengthening) sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Ini bagi mengelakkan sarcopenia iaitu kehilangan otot. Proses ini bermula apabila seseorang itu menjangkau 30 tahun pada purata 3 hingga 8 peratus setiap dekad!
Senaman yang memperbaiki keseimbangan fungsi (functional balance) juga digalakkan seperti yoga, berbasikal dan berenang.
Senaman bukan hanya memelihara berat badan yang sihat dan otot yang kuat tetapi ia dapat mengelakkan pelbagai penyakit kronik seperti kencing, manis, darah tinggi, lemah jantung, mengurangkan risiko barah seperti barah payudara, barah usus dan mengurangkan risiko kemurungan dan demensia.
Diet Seimbang
Diet seimbang seperti diet Mediterranean yang kaya dengan sayur-sayuran, buah-buahan yang berwarna-warni, kacang, bijirin, minyak zaiton, avokado, ikan dan ayam dapat memelihara berat badan sihat dan mengurangkan risiko sakit jantung. Elakkan makanan berproses yang tinggi dengan garam dan gula.
Pastikan anda mengambil kadar protein yang cukup seperti tauhu, tempe, telur, kekacang, ikan dan ayam. Ia bukan sahaja memelihara otot dan mengelakkan sarcopenia, bahkan dapat mengawal nafsu makan dan berat badan.
Bagi wanita yang berusia 45 hingga 55 tahun yang mengalami perubahan hormon disebabkan putus haid, adalah penting untuk memastikan anda mendapat secukupnya zat kalsium dalam diet anda. Ini bagi mengelakkan osteoporosis atau kereputan tulang.
Dapatkan daripada makanan asli kaya kalsium seperti bahan tenusu (susu, keju, yogurt), kacang soya, badam, tauhu, tempe, bayam, sardin, salmon. Anda perlukan 1,200 mg kalsium sehari.
Diet yang seimbang dapat membekalkan anda dengan khasiat pemakanan yang secukupnya tanpa suplemen. Tetapi satu-satunya vitamin yang sering berkurangan dalam kalangan wanita 50-an, terutama sekali wanita Melayu ialah vitamin D.
Vitamin ini sukar didapati daripada makanan dan sebahagian besar diperoleh daripada sinar matahari. Oleh itu, untuk kekal kuat dan hebat, wanita 50-an tahun perlu mengambil suplemen vitamin D3.
Tidur Secukupnya
Dapatkan sekurang-kurangnya tujuh jam waktu tidur sehari. Jika anda berdengkur apabila tidur dan berasa letih walaupun cukup tidur atau susah tidur (insomnia) anda mungkin mengalami apnea tidur atau keadaan pernafasan yang terhenti untuk sementara waktu sewaktu tidur.
Dapatkan pemeriksaan dan nasihat doktor untuk mengelakkan komplikasi apnea tidur ini seperti penyakit darah tinggi dan sakit jantung.
Belajar Sepanjang Hayat
Usah berhenti mengejar ilmu, membaca dan mempelajari sesuatu yang baharu. Otak anda seperti otot anda yang perlu “bersenam” untuk kekal cerdas dan pantas.
Interaksi sosial
Gunakan masa lebih yang ada untuk memupuk silaturahim bersama keluarga, rakan dan jiran tetangga. Rebut peluang untuk melakukan kerja-kerja sukarelawan yang dapat memberikan kepuasan menyumbang kepada masyarakat, meningkatkan keyakinan diri dan meluaskan rangkaian perhubungan.
Saringan kesihatan
Untuk kekal sihat dan hebat, anda perlu menjalani saringan secara konsisten mengikut jadual yang ditetapkan agar dapat mengesan sebarang penyakit pada peringkat awal lagi. Langkah ini dapat mengelakkan komplikasi dan mengekalkan tahap kesihatan yang tinggi.
Ujian Mamogram: Dua tahun sekali untuk barah payudara
Ujian HPV ( Human Papilloma Virus): Lima tahun sekali untuk barah pangkal rahim
Ujian najis FIT (Fecal Immunochemical Test): Setahun sekali untuk kesan barah usus
Ujian kolonoskopi: Lima tahun sekali untuk kesan barah usus
Tekanan darah: Dua tahun sekali
Indeks Jisim Tubuh (BMI): Setahun sekali
Kadar gula dalam darah: Tiga tahun sekali
Kadar kolesterol dalam darah: Tiga tahun sekali
Melabur masa, tenaga dan biaya untuk mempertingkatkan kesihatan fizikal, mental dan sosial pada usia 50 tahun akan memastikan bahawa dekad-dekad yang akan datang akan lebih bermakna dan hebat!
Dr Elly Sabrina Ismail adalah seorang doktor keluarga di Banyan Clinic Pte Ltd.