Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Tiru macam saya? Fesyen kebaya Saloma jadi inspirasi

Koleksi busana lulusan fesyen Lasalle, 'Sunburnt Heart', teroka identiti Melayu, segarkan pakaian tradisional
Oct 21, 2022 | 05:30 AM



SETIAP kali menemani bapanya menonton filem klasik P. Ramlee yang memaparkan biduanita Saloma yang anggun berkebaya, Cik Iris Zulfa Mohamed Isa, dipenuhi rasa kagum tentang fesyen bintang legenda era 1950-an hingga 1960-an.



Cik Iris, 22 tahun, lulusan Sarjana Muda (Kepujian) dalam Reka Bentuk Fesyen dan Tekstil di Maktab Seni Lasalle, lebih dikelilingi teman berbangsa Cina berbanding Melayu sebelum ini.



Namun sejurus memulakan kursus fesyen yang mengaitkan tekstil dengan budaya, beliau mula merenung dan menyelongkar identitinya sebagai anak Melayu.



Bagi merapatkan jurang keterasingan dengan budaya Melayu di samping teruja dengan fesyen bintang filem Melayu klasik, Cik Iris mengusahakan projek tahun akhir berupa koleksi busana yang dipanggil Sunburnt Heart yang memberi perspektif baru tentang tradisi Melayu. Ia menyanjung Saloma sebagai ikon fesyen filem Melayu malar segar dengan Cik Iris berusaha memberi kesegaran pada rekaan kebaya.



Beliau menggabungkan teknik tekstil seperti 'heat setting' dan motif batik untuk menghasilkan corak digital baru. 'Heat setting' adalah proses meletakkan fabrik pada suhu panas untuk tempoh seketika bagi menjadikannya bahan yang mantap serta kekal bentuknya meskipun dibasuh dan diseterika kelak.



Koleksi busana Sunburnt Heart ini meneroka apa itu kebaya dan bagaimana ia bersesuaian dengan cita rasa wanita Melayu moden.



Ia juga memberi respons pada isu terkini dengan mengembalikan pakaian berunsur etnik untuk kegunaan harian dengan memanfaatkan busana hibrid.



Ketika dihubungi Berita Harian, Cik Iris, anak kedua dalam tiga beradik, yang baru menerima ijazahnya di majlis konvokesyen Maktab Seni Lasalle di Singapore Expo, berkata:



"Saya anggap fesyen dahulu 'cool'. Saloma dan pelakon lain menyanyi dan memakai kebaya yang cantik dipandang mata, sesuai dengan suara mereka yang gemersik merdu. Susah nak cari filem zaman sekarang dengan busana sebegitu indah. Saya terfikir menarik jika saya boleh kaji tentang zaman kegemilangan filem Melayu - segalanya tentang pelakon, filem dan fesyen yang mencerminkan budaya Melayu.



"Kebanyakan bintang era 1960-an itu menyarung kebaya moden dan saya tidak tahu jika kebaya sebegitu masih wujud lagi sebab ia jarang kelihatan. Saya menganggapnya sebagai topik kajian yang baik untuk diselongkar sebagai projek tahun akhir. Selain itu, saya ingin menemukan dan meneroka identiti saya sebagai wanita Melayu dan bagaimana saya boleh kaitkan diri saya dengan budaya Melayu pada era moden kini.



"Sebagai belia Generasi Z, saya dapat rasakan setiap benda sekeliling saya agak terasing dengan budaya sendiri kerana pengaruh kebaratan. Saya fikir bagaimana nak satukan dua aspek ini - fesyen tradisi Melayu dengan unsur kemodenan."



Antara cabaran yang dihadapi Cik Iris adalah tidak banyak bahan kajian fizikal mengenai busana Saloma yang boleh ditemui di Singapura.



Beliau hanya mampu merujuk pada buku tentang busana biduanita itu yang disimpan arkib di Malaysia. Gambar dalam talian juga terhad. Satu lagi cabaran ialah membuka perbincangan tentang budaya dan pemodenan atau proses pembaratan yang agak kontroversial.



"Ada orang yang agak tegas tentang tradisi dan berasakan kita tidak harus mengubahnya tetapi mengekalkan dan memeliharanya. Saya berbincang dengan pensyarah saya bagaimana perbincangan ini dapat diteruskan tanpa menyinggung perasaan sesiapa atau bagaimana memastikan ia tetap sejajar dengan tuntutan budaya Melayu. Justeru, ada maksud tersirat di mana saya takkan melangkah batasan tertentu tetapi akan tetap memperjuangkan sesuatu yang baru dan segar. Saya tidak mahu merosakkan tradisi tetapi memberi intepretasi semula pada kebaya," jelas Cik Iris yang yakin seni tradisional dan moden boleh wujud secara bersama.



Selepas menjalankan projek ini, beliau percaya seni tradisional harus dipelihara dan masih perlu dipaparkan.



"Namun, saya berasakan masih ada ruang bagi seni moden untuk wujud sama-sama. Penting untuk orang ramai menghadam seni moden dan tidak rasa terasing daripadanya. Saya berasakan mengapa anak muda tidak begitu menghargai seni kebudayaan sewajarnya adalah kerana mereka melihatnya daripada perspektif lama. Mereka ingat ia hanya disasarkan pada generasi berusia. Bagi saya, tentunya tidak. Seni tradisional harus mengikut peredaran zaman, berubah mengikut cita rasa generasi masa kini," katanya lagi.



Secara umum, Cik Iris bereksperimen dengan meninjau corak tekstil dan bagaimana renda sebagai bahan boleh dimanipulasi dengan dipotong, diasingkan dan diubah suai coraknya bagi mewujudkan corak renda yang lebih unik. Corak renda ini kemudian beliau cetak secara digital.



Cik Iris yang meminati fesyen kerana meraih inspirasi daripada dunia fesyen dongeng dalam francais filem Barbie kini kembali pada nyala rasanya dalam perihal fesyen mampan. Beliau kini adalah pereka kitar tinggi di kedai tukar ganti pakaian The Fashion Pulpit yang menyediakan cara alternatif bagi pelanggan membeli pakaian kitar tinggi.



"Selain itu, saya juga ingin melanjutkan kajian dalam koleksi saya kerana saya percaya ia tidak harus terhenti di sini sahaja. Saya merancang untuk meneroka tekstil Melayu lain selain batik. Seni kemelayuan kita luas.



"Saya ingin teruskan perbincangan tentang merapatkan jurang seni tradisional dan moden. Kebanyakan jenama di luar negara melakukannya. Mungkin ia tidak begitu berleluasa di Singapura. Jadi mengapa tidak saya melakukannya?" tambahnya




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >