Asatizah main peranan penting tangani cabaran Melayu/Islam

Masagos puji peranan asatizah yang bersifat sederhana dan mendukung kehidupan berharmoni masyarakat berbilang kaum Singapura

Isu kesederhanaan dalam konteks masyarakat Islam di Singapura menjadi topik utama perbincangan sehari dalam Muktamar Ulama 2017 anjuran Pergas di Auditorium Masjid Sultan semalam. Kami menyingkap ucapan penuh tetamu kehormat majlis itu, Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Mohamad Masagos dan juga pesanan Presiden Pergas, Ustaz Mohamad Hasbi Hassan, dalam muktamar yang menarik sekitar 300 asatizah setempat. Laporan ROSEBI MOHD SAH (rosebi@sph.com.sg).

PERGAS telah memainkan peranan penting selaku institusi ulama dan asatizah Singapura dengan menganjurkan Muktamar Ulama ini.

Kehadiran asatizah yang dihormati dan semua yang terlibat hari ini merupakan bukti bahawa kita semua menyedari akan kepentingan serta keperluan menangani isu-isu yang berkait rapat dengan masyarakat Islam setempat.

Isu-isu semasa tersebut telah saya timbulkan dalam satu majlis meraikan ulangtahun Mesra/MAEC (Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat/Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu) yang ke-40 minggu lalu.

Pertama, fahaman agama ekstrim yang boleh membawa kepada pengganasan. Kedua, usaha pengaruh fahaman tersebut melemahkan budaya Melayu kita, dan terakhir adalah perubahan pesat ekonomi global yang turut mengganggu kita.

Tidak syak lagi, Pergas yang telah lama menggabungkan ulama dan guru agama Islam di Singapura dalam satu persatuan, berperanan besar dalam sama-sama membantu menangani cabaran yang saya katakan tadi, dan tidak hanya dalam masalah pengganasan dan pengaruh fahaman tegar.

Justeru, dalam membincangkan perihal kesederhanaan dalam Islam, saya juga mencari pemikiran para alim agama kita dalam menyulusuri fahaman agama dan pengertian beragama supaya kita dapat mempelajarinya dari sudut peredaran zaman dan perbedaan tamadun.

Jelas sekali, pemahaman terhadap agama Islam telah dicemari oleh aksi pengganasan serta isu ekstremisme yang kian pesat menyusup di mana-mana.

Sekitar lebih dua bulan lalu, pihak berkuasa Singapura telah menahan wanita pertama yang dipercayai menjadi radikal dan mahu menyertai kumpulan ISIS di Syria.

Kejadian ini disusuli pula dengan penahanan dua lagi lelaki yang dipercayai berhasrat untuk menyertai ISIS di Iraq dan Syria.

Isu ekstremisme ini tidak terbatas kepada pengganasan semata-mata, malah isu ekstrim dalam beragama dan kepercayaan juga boleh menjadi sesuatu yang membimbangkan jika ia melampaui batas yang telah ditetapkan oleh agama Islam itu sendiri.

Di Singapura ia boleh menyebabkan masyarakat Islam menjadi eksklusif dan akhirnya memisahkan masyarakat Islam daripada masyarakat yang lain. Sedikit sebanyak ia sudah pun menghambat deras integrasi antara kaum.

Dengan dunia semakin tanpa sempadan dan kuasa Internet dapat menghubungkan sesiapa sahaja, golongan muda kita mudah terpengaruh dengan amalan dan budaya yang ditonjolkan masyarakat luar apalagi kalau ia dikuatkan lagi ustaz tempatan yang mengajarnya.

Kita sudah mula melihat bagaimana elemen luar dapat merubah dan mempengaruhi cara sesetengah daripada kita menjalani kehidupan beragama di sini.

Antara lain, ia juga sedikit sebanyak berjaya menghakis ciri dan nilai kebudayaan kita sebagai seorang Melayu/Islam di nusantara ini, warisan Melayu yang sepatutnya kita banggakan, dan terus pelihara.

Ia boleh memecah-belahkan masyarakat kita malah antara anggota keluarga. Walaupun hakikatnya agama Islam membolehkan seseorang itu hidup sebagai Muslim yang baik Islamnya di mana saja beliau berada, dan diamalkan dalam konteks setempat, sejajar dengan perkembangan masyarakat dan persekitarannya.

Saya yakin bahawa hadirin dan hadirat khususnya asatizah sekalian mengetahui bahawa kesederhanaan dan moderat merupakan salah satu ciri utama Islam.

Islam menganjurkan sifat lembut, kehalusan budi dan mencela sifat kasar. Ini disebut di dalam Surah al-Nahl ayat 125 di mana Allah mengajar agar dakwah itu dilakukan dengan salah satu dari tiga cara iaitu hikmah, contoh yang baik dan debat dengan cara yang terbaik.

Di Singapura, saya gembira pemimpin agama dan asatizah kita telah mengambil pendekatan tersebut.

Sebagai anggota masyarakat Islam, kita harus memastikan bahawa apa yang dipelajari dan dipraktikkan bersifat sederhana dan mendukung kehidupan makmur dan berharmoni masyarakat berbilang kaum dan agama di sini.

Justeru Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) memainkan peranan penting agar asatizah yang bertauliah dapat berdakwah, demi memastikan agar masyarakat Islam setempat mendapat pendidikan Islam yang sesuai dengan konteks kehidupan majmuk di sini.

Saya bangga kerana asatizah kita telah banyak menyumbang kepada kemaslahatan masyarakat Islam dan memainkan impak besar dalam membentuk pemikiran keagamaan mereka.

Namun saya percaya ini boleh dipertingkatkan lagi, sekiranya mereka turut proaktif turun padang untuk meningkatkan ilmu mengenai perihal membimbing masyarakat Islam secara praktikal sesuai dengan realiti kehidupan dan struktur masyarakat moden kini.

Jika pun ulama tempatan kita mengajar Islam yang moderat dan melarang bersikap tegar, apakah pula kesan pada pandangan dunia (worldview) masyarakat Islam sebagai minoriti jika fikah Islam yang diajar adalah Islam Empayar - iaitu Islam yang dalam suasana berkuasa mutlak atau majoritinya negara orang Islam.

Tentunya kita tidak mahu sikap segelintir masyarakat yang condong kepada aksi keganasan seperti yang berlaku di Chechnya dan Xinjiang. Sebaliknya bagaimanakah kita bijak membimbing penyesuaian yang berdasarkan Islam tanpa berbentuk berkompromi?

Saya harap sebagai pemimpin, kita bukan hanya menyusun bahan pendidikan kita dengan baik tapi juga meneliti kesan kandungan ajaran kita serta perubahan yang berlaku pada individu yang mendengar dan menerima penyampaian dan didikan kita.

Muktamar Ulama merupakan platform yang penting bagi asatizah tempatan untuk saling berlapang dada dan bersifat terbuka dalam membincangkan isu-isu khilafiyah demi mencapai objektif yang lebih besar dan bermakna dalam usaha menyampaikan dakwah kepada masyarakat Islam Singapura.

Pemahaman serta pengamalan Islam di Singapura amat memerlukan bimbingan asatizah tempatan demi memastikan mereka tidak terkeluar daripada landasan yang ditetapkan oleh agama kita dalam semua aspek kehidupan kita.

Pergas memainkan peranan yang sangat penting dalam memberi kepimpinan agama kepada masyarakat Islam tempatan. Ini termasuk menyediakan ruang dan peluang bagi asatizah daripada pelbagai latarbelakang berkumpul pada hari ini untuk membincangkan isu-isu yang sering diperdebatkan di luar sana.

Pergas, seperti badan Melayu/Islam yang lain, berperanan memastikan agar masyarakat kita berada di arus nasional dengan menitikberatkan kehidupan berharmoni dengan semua kaum, tanpa menjejas kehidupan beragama kita.

Anggota Pergas boleh memainkan peranan penting di semua institusi kita - Muis, Mendaki dan Mesra - 3M - tiga tunjang utama yang dapat mencorak hala tuju kehidupan masyarakat kita.

Justeru, saya menyeru pemimpin yang ada di sini supaya bekerjasama dengan erat dan mendalam dengan pemimpin masyarakat Singapura amnya, dan berperanan dalam segala bidang.

Malah, saya ingin menggalakkan agar asatizah juga dapat mempertimbangkan untuk terus aktif bukan hanya di badan-badan agama tetapi juga di dalam pertubuhan akar umbi, bahkan persatuan kebajikan agama lain sekalipun.

Ini akan dapat mencerminkan dan menjadikan anda duta utama agama Islam yang menyumbang kepada kebaikan semua.

Perbincangan yang bakal diadakan hari ini diharapkan dapat mempereratkan lagi hubungan antara asatizah yang secara fitrah pasti banyak perbezaan pendapat.

Moga perjumpaan ini akan menyatukan ulama terhadap matlamat yang perlu dicapai jikapun tidak sering sepakat tentang cara sesuatu itu dicapai.

Jika jurang yang mungkin wujud sebelum ini begitu besar dan banyak, demi mencapai maslahat yang lebih berkesan bagi masyarakat Islam Singapura, marilah kita berbesar hati, berdamai dan bersatu.

Akhir sekali, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pergas atas segala yang telah diusahakan untuk menganjurkan Muktamar Ulama 2017.

Semoga objektif perhimpunan ini dapat dicapai dengan baik dan semua yang hadir pada hari ini memperolehi manfaat. Izinkan saya akhiri dengan pantun yang saya ungkapkan semasa berucap pada ulang tahun Mesra ke-40 baru-baru ini:

Banyak semut berarak di dinding
Bersama-sama memikul gula
Berat dipikul, ringan dijinjing
Berganding bahu kita berjaya


TERUS PELIHARA WARISAN MELAYU

"Isu ekstremisme ini tidak terbatas kepada pengganasan semata-mata, malah isu ekstrim dalam beragama dan kepercayaan juga boleh menjadi sesuatu yang membimbangkan jika ia melampaui batas yang telah ditetapkan oleh agama Islam itu sendiri. Di Singapura ia boleh menyebabkan masyarakat Islam menjadi eksklusif dan akhirnya memisahkan masyarakat Islam daripada masyarakat yang lain. Sedikit sebanyak ia sudah pun menghambat deras integrasi antara kaum. Dengan dunia semakin tanpa sempadan dan kuasa Internet dapat menghubungkan sesiapa sahaja, golongan muda kita mudah terpengaruh dengan amalan dan budaya yang ditonjolkan masyarakat luar apalagi kalau ia dikuatkan lagi ustaz tempatan yang mengajarnya. Kita sudah mula melihat bagaimana elemen luar dapat merubah dan mempengaruhi cara sesetengah daripada kita menjalani kehidupan beragama di sini. Antara lain, ia juga sedikit sebanyak berjaya menghakis ciri dan nilai kebudayaan kita sebagai seorang Melayu/Islam di nusantara ini, warisan Melayu yang sepatutnya harus kita banggakan, dan terus pelihara."

PROAKTIF BIMBING MUSLIM SESUAI KONTEKS HIDUP MODEN

"Saya bangga kerana asatizah kita telah banyak menyumbang kepada kemaslahatan masyarakat Islam dan memainkan impak besar dalam membentuk pemikiran keagamaan mereka. Namun saya percaya ini boleh dipertingkatkan lagi, sekiranya mereka turut proaktif turun padang untuk meningkatkan ilmu mengenai perihal membimbing masyarakat Islam secara praktikal sesuai dengan realiti kehidupan dan struktur masyarakat moden kini."

Galeri Foto

Waktu Solat

Subuh
5:45
Syuruk
7:04
Zuhur
1:09
Asar
4:25
Maghrib
7:13
Isyak
8:23
3 HR PSI: 30
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.