Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Pengalaman unik, manis di Mauritius

Jun 13, 2016 | 05:30 AM



BARU-BARU ini saya berpeluang ke Mauritius selama seminggu menikmati destinasi yang sungguh unik bersama beberapa teman media saya.



Penerbangan dengan syarikat Air Mauritius mengambil masa hampir lapan jam, tetapi ia tidak terasa begitu lama kerana saya dapat menonton pelbagai filem menarik yang disediakan di dalam pesawat.



Pramugari Air Mauritius memberikan layanan yang sangat baik dan makanan yang disediakan halal dan enak sekali.



Mauritius Tourism Promotion Authority (MTPA) telah menyediakan jadual perjalanan lengkap dan menaja setiap kegiatan yang saya berpeluang mencuba.



Saya telah menaiki kapal selam di bawah syarikat Blue Safari dengan kapal selam meneroka lautan sedalam 35 meter hingga sampai ke dasar laut.



Selain melihat kehidupan di dasar laut, saya berpeluang melihat kapal karam, Harapan Bintang, yang telah dimusnahkan ribut taufan pada 2002.



Walaupun ia tidak sebesar kapal Titanic, saya hanya dapat membayangkan keadaan di dalam kapal itu ketika ia melayari lautan.



Pengunjung juga berpeluang memilih pakej menaiki kapal selam itu sambil menjamu selera.



Bayangkanlah anda menjamu selera bersama orang yang disayangi sambil menikmati pemandangan di dalam laut. Betapa romantis.



Selain itu, saya sempat mencuba kegiatan laut Sea Kart oleh syarikat Fun Adventure.



Hanya terdapat enam bot Sea Kart yang mampu bergerak dengan kekuatan setinggi 110 tenaga pacuan kuda (horse power) di seluruh dunia dan semuanya terdapat di Mauritius.



Begitu laju sekali sehingga saya hampir melayang daripada bot tersebut ketika ia mula bergerak!



Namun itu tidak mengurangkan kelajuan bot saya dan terus memandunya kerana ingin merasakan keseronokannya.



Tambahan pula, saya melakukan kegiatan itu pada waktu petang dan dapat menikmati pemandangan indah matahari hampir terbenam.



Setelah banyak melakukan kegiatan laut, saya ke Taman Haiwan Casela.



Berbeza daripada semua taman haiwan yang pernah saya lawati, Casela menjanjikan pengalaman pengembaraan lain daripada lain.



Saya dibenarkan masuk ke kandang singa dan 'berinteraksi' dengan kesemua singa di situ.



Walaupun saya berasa takut pada mulanya, saya memberanikan diri melakukan kegiatan tersebut kerana ia merupakan peluang sekali dalam seumur hidup.



Kebanyakan Muslim di Mauritius tinggal di ibu negara Mauritius, Port Louis.



Ketika berjalan di daerah pasar, saya sempat bercakap dengan penduduk tempatan yang berniaga di situ dan salah satu di antara mereka ialah Cik Zainah Bhoodhun, 47 tahun, yang berniaga pelbagai jenis pakaian termasuk shawl untuk muslimah.



Beliau memberitahu saya bahawa makanan halal mudah didapatkan di Mauritius.



Saya berkesempatan melawati Masjid Jummah di Port Louis yang dibina pada 1850-an dan MTPA mengenalinya sebagai salah satu bangunan agama yang terindah di Mauritius.



Saya berpeluang menginap di tiga hotel lima bintang dan penginapan saya ditaja ketetiga hotel itu.



Saya beruntung penerbangan saya ditaja Air Maurius, yang menyediakan penerbangan tanpa henti, tiga kali seminggu dari Singapura ke Mauritus.



Jika berpeluang, sudah tentu saya ingin kembali ke Mauritius dan mungkin kali ini bersama keluarga saya pula.




MARI TEROKA



1. Kapal selam oleh syarikat Blue Submarine



2. Bot Sea Kart oleh syarikat Fun Adventure



3. Taman Pengembaraan Haiwan Casela oleh syarikat Casela Park



4. Citadel Fort - pemandangan indah di tempat bersejarah



5. Port Louis - lokasi membeli-belah dan melawati Masjid Jummah




KENALI MAURITIUS



1. Terletak di Lautan Hindi, tenggara Afrika



2. Saiz sebesar 2,040 kilometer persegi, hampir tiga kali besar daripada Singapura



3. Dua musim - musim panas dengan kadar suhu sekitar 34 darjah Celsius dari November hingga April, dan musim sejuk, dengan kadar suhu sekitar 22 darjah Celsius dari Mei hingga Oktober



4. Seramai 1.3 juta penduduk



5. Penduduknya berbilang bangsa dan datang dari India, Afrika, Perancis dan Britain



6. Penduduknya bercakap dalam bahasa Inggeris, Perancis, Creole dan bahasa etnik seperti Urdu, Tamil dan Mandarin



6. Sekitar 17 peratus penduduknya penganut Islam




HOTEL PENGINAPAN



1. The Westin Turtle Bay Resort and Spa



- Layanan kakitangan yang cemerlang dan mereka sedia memberi bantuan yang diperlukan pengunjung



- Pelbagai kategori bilik yang menghadap pantai, termasuk khas buat keluarga



2. Hotel Shangri-La Le Touessrok Resort & Spa



- Pelbagai restoran dengan konsep unik yang menghidangkan makanan lazat



- Persembahan 'sega' iaitu tarian tradisi Mauritius di pentas luar, pada waktu malam



3. The Residence Hotel, di bawah Cenizaro Hotels & Resorts



- Menyediakan pelbagai kemudahan hotel seperti bilik layanan kanak-kanak



- Khidmat spa berkualiti kelas atasan dan khidmat kakitangannya cemerlang




Kirimkan pengalaman melancong anda



ANDA baru pulang mengembara atau melancong dan mempunyai kisah serta foto menarik yang ingin dikongsi? Halaman ini mengalu-alukan sumbangan sukarela anda.



Kirimkan pengalaman melancong atau lawatan anda luar negara dalam bentuk rencana kepada pengelola ruangan Kembara GAH menerusi e-mel bhgah@sph.com.sg. Tulisan anda sebaiknya mengandungi antara 550 dan 600 perkataan.



Gambar pula mesti dalam format .jpg dengan resolusi sekurang-kurangnya 300 dpi dan disertakan sekali penerangan (kapsyen) bagi setiap gambar.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >