Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Kesihatan
35
0

Kembali pulih selepas serangan angin ahmar

Pada tarikh 29 Oktober setiap tahun, ia merupakan Hari Angin Ahmar Sedunia yang bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai tentang penyakit yang juga dikenali sebagai strok. Jika seseorang individu mengalaminya, ia akan mengubah sepenuhnya corak kehidupan mereka. Namun, pesakit angin ahmar boleh menjalani pemulihan dan mempelajari kemahiran baru meskipun penyembuhan sepenuhnya mengambil masa.
Nov 06, 2023 | 05:32 AM



Sebagai anak, Encik ‘Kamal Yahya’ melihat ayahnya, yang mahu dikenali sebagai Encik ‘Yahya’, sebagai seorang yang ceria sehinggalah orang tuanya berusia 57 tahun itu diserang angin ahmar atau strok.

Serangan penyakit itu telah mengubah kehidupan mereka sekeluarga secara drastik.

Apakan tidak, sejak kecil, Encik ‘Kamal’, yang enggan mendedahkan identiti beliau dan bapanya, melihat ayahnya bersemangat dalam bersukan, terutamanya berlari-lari anak.

Encik ‘Yahya’ dikenali sebagai ayah yang selalu membuat keluarganya tersenyum.

Namun, segalanya berubah dalam sekelip mata.

Encik ‘Kamal’ menyingkap pengalaman tragis dan proses pemulihan bapanya daripada angin ahmar.

“Pada suatu pagi, sekitar 4 pagi, saya dibangunkan oleh ibu dengan berita yang mengejutkan.

“Ayah telah terjatuh di bilik air dan dalam keadaan separuh sedar. Saya dapati anggota bahagian tubuhnya tidak boleh bergerak dan percakapannya kurang jelas,” ujar Encik ‘Kamal’, 33 tahun, kepada Berita Harian.


Sebagai seorang jururawat terlatih, Encik ‘Kamal’ mendapatkan ambulans agar bapanya dikejarkan ke hospital dengan segera.

Hasil ujian imbasan tomografi berkomputer (CT scan) mengesahkan saluran darah otak ayahnya tersumbat, yang menjadi punca serangan angin ahmar tersebut.

Encik ‘Kamal’ mengetahui angin ahmar boleh berlaku apabila terdapat aliran darah yang lemah ke otak menyebabkan kematian sebahagian sel otak.

Otak adalah organ kompleks yang mengawal fungsi tubuh.

Jika seseorang mengalami angin ahmar, individu itu akan kehilangan pelbagai fungsi yang dikawal oleh otak. Antaranya lemah otot muka dan otot badan, sukar bertutur, payah melihat dan sulit mengingat.

Fungsi yang terjejas bergantung kepada lokasi berlakunya aliran darah yang tidak mencukupi ke bahagian otak dan berapa banyak sel tisu otak yang terbabit.

“Strok ini menyebabkan bahagian tangan dan kaki kiri ayah menjadi lemah, dan doktor memberitahu kemungkinan besar ayah tidak akan dapat berjalan seperti biasa lagi.

“Selain itu, ayah juga tidak dapat mengangkat tangan kirinya,’‘ cerita Encik ‘Kamal’.

Doktor memberitahu Encik ‘Kamal’ bahawa bagi mereka yang mengalami angin ahmar, selain daripada rawatan rapi, rawatan pemulihan juga adalah salah satu komponen penting yang perlu dititikberatkan.

Pemulihan angin ahmar atau nama lainnya rehabilitasi strok bukan sahaja terdiri daripada sesi fisioterapi, malah ia seharusnya bersifat menyeluruh dan meliputi pelbagai disiplin.

Encik ‘Kamal’ diberitahu rawatan proses pemulihan merangkumi pencegahan angin ahmar daripada berulang ialah dengan mengawal risiko mengalami serangan susulan.

Rawatan itu juga untuk mencegah komplikasi dan membantu pesakit meningkatkan fungsi fizikal serta kognitif.

Mereka mempelajari semula kemahiran yang hilang bagi memastikan pesakit dapat berdikari secara optimum sehingga berupaya kembali kepada keluarga.

Doktor menasihatkan pesakit agar menjalani terapi, yang dimulakan seawal berada di hospital, iaitu antara 24 dengan 48 jam selepas pesakit stabil agar dapat meningkatkan kadar pemulihan.

Encik ‘Kamal’ diberitahu ia juga bagi merangsang pergerakan awal pesakit angin ahmar supaya dapat mengelakkan daripada berlakunya pelbagai komplikasi.

Ia termasuk seperti jangkitan paru-paru, luka tekanan dan trombosis – atau pembekuan darah di dalam jantung atau pembuluh darah – dalam urat kaki, atau ‘leg deep vein thrombosis’, yang sekali gus boleh menghalang proses pemulihan itu sendiri.

Selama dua bulan pertama, Encik ‘Kamal’ dan ibunya membawa Encik ‘Yahya’ menjalani rawatan fisioterapi di hospital.

Walaupun berasa proses pemulihannya ‘sangat perlahan’, mereka sekeluarga tidak berputus asa dan meneruskan rawatan fisioterapi untuk sang ayah.

Encik ‘Kamal’ diberitahu doktor walaupun kerosakan pada sel otak selepas serangan angin ahmar bersifat kekal, ‘neuroplasticity’, iaitu proses ‘pendawaian semula’, tetap berlaku.

Proses itu melibatkan sel-sel otak di sekitar sel-sel mati yang berusaha membina laluan saraf baru. Ia cuba untuk mendapatkan semula fungsi yang hilang.

“Proses ‘pendawaian semula’ itu diperkukuh lagi dengan kegiatan atau latihan pemulihan bercorak berulang.

“Ini amat bermakna kepada ayah. Rawatan dan latihan pemulihan telah diberikan secara menyeluruh oleh pasukan rehabilitasi yang diselaraskan dengan baik, terdiri daripada pelbagai disiplin,” tambah Encik ‘Kamal’.

Encik ‘Kamal’ bersyukur kerana pasukan itu terdiri daripada karyawan perubatan termasuk pakar perubatan neurologi, rehabilitasi, jururawat rehabilitasi, pakar fisioterapi, jurupulih cara kerja, terapi pertuturan, pakar diet, pakar klinikal psikologi dan pekerja sosial.

Menurut beliau, proses pemulihan itu turut membabitkan bukan sahaja pesakit, malah ahli keluarga pesakit.

“Ia kerana hasil pemulihan yang baik berkait rapat dengan motivasi pesakit dan sokongan kuat daripada ahli keluarga.

“Rawatan pemulihan menyeluruh angin ahmar merangkumi proses penilaian yang mendalam dan berterusan di samping penetapan matlamat yang boleh dicapai dan realistik,” katanya.

Selain itu, pelaksanaan campur tangan klinikal oleh setiap pasukan karyawan perubatan turut dipersetujui pesakit dan ahli keluarga.

“Komunikasi dan koordinasi antara ahli pasukan ini adalah sangat penting dalam memaksimumkan keberkesanan dan kecekapan proses pemulihan pesakit selepas angin ahmar.

“Saya faham bahawa berapa lama masa untuk pulih daripada angin ahmar bergantung pada banyak faktor berbeza, seperti ukuran dan kedudukan strok, faktor usia dan kesihatan keseluruhan pesakit sebelum serangan angin ahmar.

“Setelah ayah saya sudah datang untuk rawatan ke-20 kali, ayah mula dapat berjalan menggunakan tongkat dan kaki beliau semakin kuat.

“Kami sekeluarga amat gembira. Saya telah mendapatkan ayah saya kembali!” ujarnya.

Encik ‘Kamal’ menambah: “Alhamdulillah, terima kasih kepada semua yang membantu ayah. Tanpa rawatan ini, ayah saya mungkin masih terlantar.”

Sepanjang di hospital, Encik ‘Yahya’ menjalani rawatan fisioterapi untuk membantunya berjalan tanpa tongkat dan juga terapi untuk memperbaiki pertuturannya.

Setelah keluar dari hospital, pertuturannya kembali seperti biasa namun pergerakannya masih belum pulih sepenuhnya dan masih perlu menjalani fisioterapi seminggu sekali.

Selepas tiga bulan sahaja beliau sudah boleh berjalan sendiri tanpa menggunakan tongkat

Encik ‘Yahya’ turut mengamalkan tabiat positif yang baru bagi membina tubuh lebih sihat dan menyertai program kecergasan Persatuan Angin Ahmar Nasional Singapura (SNSA).

Beliau menekankan angin ahmar boleh dirawat dan ramai pesakit telah meraih manfaat dan meningkatkan harapan pesakit untuk pulih.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >