Topic followed successfully
Go to BHkuKenaikan harga minyak M’sia didorong lonjakan kos insurans, pengangkutan
Kenaikan harga minyak M’sia didorong lonjakan kos insurans, pengangkutan
Anwar beri amaran pemulihan krisis tenaga dunia mungkin ambil masa tiga hingga lima tahun
Kenaikan harga minyak M’sia didorong lonjakan kos insurans, pengangkutan
PUTRAJAYA: Kenaikan harga minyak di Malaysia bukan disebabkan kekurangan bekalan bahan api semata-mata, sebaliknya didorong lonjakan pelbagai kos termasuk insurans dan pengangkutan, kata Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sambil mengecam seseorang yang dikatakan “ulama terkenal” dan “mempunyai ramai pengikut”, yang didakwanya mengelirukan orang ramai dengan komen “dangkal” dalam memberikan pandangan mengenai krisis minyak dunia, Datuk Anwar menjelaskan walaupun terdapat beberapa perkembangan yang sedikit meredakan, namun keadaan keseluruhan masih belum ada kepastian.
Walaupun beliau tidak menyebut sebarang nama tertentu, kritikan itu dipercayai disasarkan kepada Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang mendakwa Malaysia tidak mempunyai sebab untuk menaikkan harga bahan api.
“Kalau soal laluan, alhamdulillah hubungan baik kita dengan Iran menyebabkan kapal Petronas sudah melepasi dan dalam beberapa hari lagi akan sampai ke Pengerang (Johor), insya-Allah.
“Tetapi, ia tidak berakhir di situ. Kos minyak yang lama, yang diambil sebelum perang, tersangkut di Selat Hormuz dan sekarang beralih ke Pengerang.
“Kosnya meningkat kerana kos insurans itu sudah melepasi 100 peratus, kos pengangkutan sendiri juga bertambah,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di Putrajaya, Kuala Lumpur, pada 9 April.
Mengulas lanjut, Datuk Anwar berkata pemulihan krisis tenaga sejagat berikutan perang konflik yang membabitkan Amerika Syarikat-Israel dan Iran, mungkin mengambil masa antara tiga dengan lima tahun.
Menurutnya, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, berdasarkan kemusnahan dan kerosakan terhadap operasi gas yang memerlukan masa panjang untuk dipulihkan sepenuhnya.
“Akibat keganasan yang dimulakan Israel, didukung oleh Amerika dan tempiasnya ke seluruh negara Teluk serta ekonomi dunia.
“Kalau pun selesai perang esok, Amir Qatar memaklumkan secara langsung kepada saya bahawa ia akan mengambil sekurang-kurangnya tiga tahun untuk melaksanakan sebahagian kerja pembaikan bagi membolehkan operasi gas berjalan, dan mungkin antara tiga dengan lima tahun untuk mencapai operasi sepenuhnya,” kata beliau.
Pada masa yang sama, Datuk Anwar berkata walaupun rakyat negara itu berdepan tekanan kos sara hidup termasuk kenaikan harga diesel, keadaan di Malaysia masih terkawal berbanding beberapa negara lain yang berdepan krisis lebih serius.
“Kita perlu bersyukur, ekonomi kita tak seteruk seperti negara jiran, tidak beratur di stesen minyak, belum tutup lagi 400 stesen minyak dan tidak ada yang terpaksa berjalan ke pejabat,” katanya.
Pada 7 April, Datuk Anwar dilaporkan berkata bekalan minyak Malaysia dijangka kekal stabil sehingga Jun 2026, meskipun mungkin berdepan gangguan harga dalam tempoh terdekat.
Ketika ini kerajaan Malaysia masih mengekalkan harga petrol RON95 pada kadar terendah dan bersubsidi RM1.99 ($0.64 sen) seliter, walaupun harga pasaran tanpa subsidi melonjak kepada RM4.27 seliter.

