Subuh
5:36
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Gaji, faedah lebih baik faktor utama jururawat M’sia pindah ke S’pura

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Malaysia
41333
0

Gaji, faedah lebih baik faktor utama jururawat M’sia pindah ke S’pura

Apr 21, 2024 | 05:31 AM



Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, Malaysia menghadapi penghijrahan jururawat Malaysia ke negara asing – dengan negara jiran Singapura sebagai destinasi kegemaran.

Menurut perangkaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bilangan kekosongan jawatan jururawat dalam sektor kesihatan awam negara meningkat sehingga 40 peratus dalam tempoh empat tahun lepas, sejak pandemik Covid-19.

Kementerian itu, dalam satu jawapan di Parlimen pada Mac, berkata terdapat 2,106 kekosongan jawatan jururawat pada 2020, dan jumlah itu meningkat kepada 2,224 pada 2021, 4,420 (2022), dan 6,896 pada 2023.

Beberapa jururawat yang dihubungi portal berita dalam talian, Malaysiakini, mengaku mereka berpindah ke Singapura untuk bekerja bagi memperoleh gaji dan faedah yang lebih baik.


Cik Norerani Karim, 43 tahun, bekerja selama 20 tahun sebagai jururawat di Malaysia, sebelum ke Singapura untuk bekerja di sebuah hospital di negara itu.

Beliau mengakui bahawa pada mulanya, sukar untuk meninggalkan keluarganya untuk bekerja di Singapura, tetapi beliau meneruskannya kerana “memerlukan pekerjaan itu”.

Cik Norerani pernah bekerja syif enam hari di Malaysia, manakala di Singapura beliau komited untuk bekerja selama 40 jam seminggu dan mendapat cuti dua hari seminggu.

Beliau juga menyorot kepelbagaian di tempat kerja semasanya, selain pengurusan cemerlang dan kerja berpasukan yang kuat.

Dari segi pendapatan, Cik Norerani berkata beliau memperoleh antara $5,000 dengan $6,000 sebulan, yang berjumlah antara RM17,593 dan RM21,102 – jumlah lumayan selepas mengambil kira kadar pertukaran mata wang.

Selain itu, Cik Norerani juga menikmati bonus dwitahunan dan faedah perubatan.

Walaupun beliau merindui rumahnya di Malaysia, Cik Norerani berkata ia akan mengambil sedikit masa sebelum beliau mempertimbangkan untuk kembali ke Malaysia.

Prospek lebih baik

Seperti Cik Norerani, Cik Nur Atiqah Mohd Idris, 30 tahun, juga tertarik bekerja di Singapura dengan gaji lumayan.

Beliau akan ke Singapura pada Mei dan berkata langkah itu bermanfaat untuk kemajuan kerjayanya dan keluarganya.

Sudah sembilan tahun bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital swasta di Selangor, Cik Atiqah berkata beliau lebih banyak menghabiskan masa di tempat kerja berbanding di rumah.

“Saya percaya seseorang itu tidak sepatutnya berada dalam syarikat yang sama untuk masa yang lama, kerana ia akan melambatkan kemajuan kerjaya dan gaji,” katanya kepada Malaysiakini.


Ibu kepada dua anak itu berkata beliau bercadang bekerja di Singapura selama dua tahun, sebelum mempertimbangkan untuk kembali ke Malaysia jika menerima tawaran lebih baik untuk pulang ke tanah air.

Menurut Cik Atiqah, beliau menerima pekerjaan di Singapura berbanding tawaran serupa di Arab Saudi.

“Terdapat banyak kekosongan di Singapura dan mereka membayar hampir sama, atau lebih tinggi daripada Arab Saudi,” katanya.

‘Tawarkan insentif yang lebih baik’

Menurut laporan Utusan Online pada 18 April, purata gaji jururawat Malaysia ialah RM1,800 adalah antara yang terendah di rantau Asean – hanya dikalahkan oleh negara seperti Laos (RM973.34), Myanmar (RM1,182) dan Indonesia (RM1,400).


Memetik perangkaan 2022 daripada Worldatlas.com, laporan itu berkata kadar itu lebih rendah daripada negara seperti Kemboja, Vietnam dan Filipina, yang mempunyai ekonomi yang lebih kecil berbanding Malaysia.

Brunei dilaporkan negara dengan gaji terbaik untuk jururawat, dengan purata gaji RM10,752, diikuti Singapura dengan RM8,777.

Presiden Kesatuan Jururawat Malaysia (MNU), Cik Saaidah Athman, mencadangkan kerajaan Malaysia menawarkan insentif lebih baik agar jururawat bertahan lebih lama dalam industri perubatan tempatan.

“Pemerintah Singapura menawarkan insentif dan dana untuk mengekalkan jururawat asing di negara mereka. Malaysia harus melakukan perkara yang sama dan memberi ganjaran kepada jururawat yang berkhidmat lama sebagai tanda penghargaan,” katanya.

Menurutnya, nisbah jururawat kepada pesakit di Malaysia berada pada 1:300 – jauh lebih tinggi daripada 1:200 yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Beliau berkata ini adalah masalah serius yang perlu ditangani segera.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr Azizan Abdul Aziz, menasihatkan kerajaan Malaysia agar memberi tumpuan kepada meningkatkan kebajikan pekerja penjagaan kesihatan dan keseimbangan kehidupan kerja bagi memartabatkan mutu sektor kesihatan awam.

“Adalah penting untuk menaikkan gaji jururawat dan memastikan mereka menerima elaun yang sesuai untuk mengekalkan mereka yang berkhidmat dalam sistem penjagaan kesihatan awam,” katanya seperti dipetik The Sun.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >