Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21

Isu stoking di M’sia berisiko jejas perpaduan, perlu ditangani segera

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Malaysia
41333
0

MALAYSIA

Isu stoking di M’sia berisiko jejas perpaduan, perlu ditangani segera

Mar 24, 2024 | 05:31 AM



Satu isu hangat diperkatakan di Malaysia kini adalah mengenai sarung kaki atau stoking yang tertera kalimah ‘Allah’ yang dijual di sebuah rangkaian kedai serbaneka di Lembah Klang.

Ia bermula apabila pada 13 Mac tular dalam media sosial isu stoking tertera kalimah ‘Allah’ yang dijual di kedai serbaneka KK Mart Bandar Sunway.

Pada hari berikutnya pada 14 Mac, pihak KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) langsung memohon maaf berhubung penjualan stoking tersebut.

Syarikat itu menyatakan jualan stoking berkenaan telah dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal.

Perkara itu kemudian mendapat perhatian kerajaan Malaysia dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, melahirkan rasa dukacita dengan penjualan stoking tersebut, sambil berkata perkara itu sememangnya sensitif disebabkan kalimah ‘Allah’ itu sesuatu yang sangat tinggi di mata umat Islam.

Pada masa yang sama, beliau menggesa umat Islam di negara itu supaya bertenang dan membiarkan pihak berkuasa menyiasat isu stoking kontroversi itu.

Undang kemarahan Agong Malaysia

Isu itu turut mengundang kemarahan daripada Yang di-Pertuan Agong Malaysia, yang jarang berlaku. Agong Malaysia, Sultan Ibrahim, baru menyandang jawatan Ketua Negara Malaysia hampir dua bulan.

Beliau melahirkan rasa dukacitanya sambil memberi peringatan bahawa dirinya memikul amanah Raja-Raja Melayu untuk menjaga kepentingan rakyat dan negara, termasuk kesucian Islam.

Sebelum ini, semasa berucap di Parlimen pada 26 Februari, Agong mengingatkan semua lapisan masyarakat di Malaysia supaya menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif melibatkan agama, kaum dan Raja-Raja (3R).

Justeru, beliau berasa kecewa isu stoking dengan kalimah ‘Allah’ masih berlaku dan mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam isu berkenaan berdasarkan siasatan pihak berkuasa.

“Sama ada ia disengajakan ataupun tidak, sama ada ia diimport atau dikeluarkan di kilang tempatan, saya mahu penguatkuasa siasat dan ambil tindakan sekeras-kerasnya mengikut lunas undang-undang yang ada supaya pisang tidak berbuah dua kali,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya pada 19 Mac.

Pada 18 Mac, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyatakan pihaknya membuka dua kertas siasatan berhubung isu penjualan stoking berkenaan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata di Parlimen bahawa walaupun permohonan maaf sudah dibuat KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart), siasatan akan tetap diteruskan bagi menyiasat dan mendakwa pihak terbabit khususnya yang mengedar dan menjual produk berkenaan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Penolong Pesuruhjaya Ismail Dollah, pula menggesa semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu supaya tidak mengambil tindakan menyalahi undang-undang seperti perhimpunan atau bantahan berkaitan dengan isu itu.

Undang pertikaian politik

Isu itu turut mengundang kritikan antara parti politik. Pemuda Umno, yang dilihat mengetuai tindakan memperjuangkan isu tersebut, antaranya mahu melakukan tindakan boikot terhadap rangkaian kedai serbaneka itu jika pihak syarikat tidak bersungguh-sungguh membuat permohonan maaf.

Persatuan Cina Malaysia (MCA) kemudian mempersoalkan tindakan Pemuda Umno yang disifatkannya sebagai terlalu agresif.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, meminta Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh, supaya tidak memperbesarkan isu stoking tertera kalimah ‘Allah’ tersebut.

Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Anthony Loke, pula berkata pemimpin parti politik sepatutnya menjadi ‘pembina jambatan’ dalam mengeratkan semangat perpaduan di negara itu dan perlu menyelesaikan isu sensitif dengan lebih harmoni.

Undang risiko tingkat ketegangan

Sebelum ini, sudah pun ada beberapa isu hangat seperti pengiktirafan bak kut teh sebagai makanan warisan negara Malaysia selain isu pembukaan kantin sekolah semasa Ramadan yang dimainkan beberapa parti politik.


Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah meminta isu bak kut teh dan pembukaan kantin sekolah pada Ramadan tidak diperbesarkan. Ini memandangkan kes itu ada melibatkan perihal agama dan kaum.


Memberi respons kepada isu stoking itu pula, Datuk Anwar, pada 20 Mac, berkata beliau mahu tindakan segera diambil berlandaskan undang-undang berhubung isu jualan stoking yang tertera kalimah Allah di kedai serbaneka, KK Mart.

Tindakan itu, katanya, perlu diambil supaya tidak ada penghinaan terhadap agama, khususnya Islam.

Namun beliau menambah, Malaysia tidak harus terus terperangkap dalam isu itu dengan pemimpin dan orang ramai tidak harus mengheret isu tersebut lebih jauh lagi dan sebaliknya mengalihkan tumpuan mereka kepada perkara lain yang lebih penting.

Kukuh ekonomi, perpaduan sosial

Sememangnya Malaysia sedang menumpukan kepada usaha pembangunan ekonomi di samping mengukuhkan perpaduan sosial setelah negara itu mengharungi pilihan raya umum dan pilihan raya negeri yang agak memecahbelahkan dalam tempoh kurang satu tahun.

Ia juga menghadapi beberapa cabaran utama seperti menangani kos sara hidup yang tinggi selain mata wang ringgit yang masih lemah.

Selagi ada isu-isu yang menjadi ‘gangguan’ kepada agenda pengukuhan ekonomi dan perpaduan sosial, selagi itulah ada risiko kepada usaha untuk memajukan ekonomi negara dan memakmurkan rakyatnya seramai 33 juta orang.

Diharapkan dengan tindakan segera polis dan penegasan Agong serta perdana menteri Malaysia, negara itu dapat meneruskan agenda tersebut selain mencegah suasana tegang isu stoking berkenaan daripada berlarutan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >