Topic followed successfully
Go to BHkuMat Sabu: M’sia mahu pastikan keterjaminan makanan tetap terpelihara
Mat Sabu: M’sia mahu pastikan keterjaminan makanan tetap terpelihara
Susulan konflik geopolitik di Asia Barat serta cuaca panas ketika ini
Mat Sabu: M’sia mahu pastikan keterjaminan makanan tetap terpelihara
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersama-sama agensi berkaitan sedang memperkukuh langkah kesiapsiagaan bagi memastikan keterjaminan makanan di Malaysia terus terpelihara susulan konflik geopolitik di Asia Barat serta cuaca panas ketika ini.
Menteri berkenaan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata tumpuan diberikan kepada pengurusan bekalan yang lebih cekap, pengukuhan rantaian agromakanan serta pelaksanaan langkah mitigasi bagi meminimumkan kesan faktor luaran terhadap pasaran dalam negara.
Beliau berkata ketidaktentuan landskap sejagat berikutan konflik geopolitik di Asia Barat berpotensi menjejas rantaian bekalan global melalui peningkatan harga minyak dan kos logistik yang akhirnya mempengaruhi harga makanan.
“Dalam masa yang sama, negara turut berdepan dengan cabaran cuaca panas dan perubahan iklim yang boleh menjejas daya penghasilan sektor pertanian serta pengeluaran makanan domestik,” katanya menerusi hantaran di Facebook, lapor Kosmo!.
Datuk Mohamad memberikan jaminan bekalan makanan keperluan sepanjang sambutan Aidilfitri pada 2026 kekal stabil dan mencukupi serta mampu diperoleh pada harga yang berdaya saing.
Beliau berkata kejayaan tersebut hasil kerjasama bersepadu antara KPKM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), agensi kerajaan dengan pihak industri yang memastikan bekalan makanan negara terus mencukupi dan stabil.
“Kerajaan Madani kekal komited untuk memastikan bekalan makanan negara mencukupi, stabil dan mampu diperolehi oleh rakyat dalam apa jua keadaan,” ujarnya.
Beliau turut menyeru semua pihak termasuk pemain industri, petani, penternak serta pengguna agar terus memainkan peranan masing-masing dalam memperkukuh sistem makanan negara agar kekal berdaya tahan dan mampan.
“Insya-Allah, dengan kesiapsiagaan dan kerjasama semua pihak, kita akan terus dapat melindungi keterjaminan makanan negara demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam satu kenyataan, berkata kerajaan terus bersiap sedia untuk menghadapi keadaan konflik berpanjangan di Asia Barat yang dijangka membawa implikasi ekonomi bukan sahaja kepada Malaysia, malah di peringkat sejagat secara keseluruhannya.
MKN memaklumkan kerajaan akan mengambil pendekatan menyeluruh dan terselaras untuk menangani keadaan ini.
Kenyataan itu menyebut perkara itu antara tumpuan utama yang dibincangkan dalam Sidang Khas MKN pada 24 Mac, bagi menangani kesan ketidaktentuan konflik di rantau itu yang berlangsung selama dua minggu.
MKN memaklumkan sidang khas yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu disusuli dengan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Khas pada 25 Mac, bagi membincangkan langkah lanjut.

