SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Anwar ingatkan rakyat disiplin hadapi cabaran tenaga dunia

Anwar ingatkan rakyat disiplin hadapi cabaran tenaga dunia

Anggap M’sia tidak terkecuali daripada tempias sedang dunia masuki fasa lebih mencabar, tidak menentu
Mar 31, 2026 | 7:40 PM

Anwar ingatkan rakyat disiplin hadapi cabaran tenaga dunia

M’sia, PM Anwar, cabaran tenaga dunia
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga dari kiri), ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara pada 31 Mac, bagi membincangkan strategi berdepan dengan impak konflik geopolitik Asia Barat. - Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengingatkan rakyat negara itu supaya bersiap siaga dengan disiplin, kecekalan dan semangat kebersamaan yang tinggi ketika berdepan krisis tenaga dunia yang kian meruncing akibat konflik di Asia Barat.

Beliau, yang juga Menteri Kewangan, berkata dunia sedang memasuki fasa lebih mencabar dan tidak menentu, dan Malaysia tidak terkecuali daripada tempiasnya.

“Justeru, kita tidak boleh alpa atau terlalu selesa. Kita mesti bersiap siaga dengan disiplin, kecekalan dan semangat kebersamaan yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada 31 Mac.

Datuk Anwar berkata mesyuarat MTEN meneliti secara mendalam perkembangan krisis tenaga dunia yang kian meruncing serta kesannya terhadap ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

Dalam mengakui cabaran yang dihadapi, Datuk Anwar menegaskan asas ekonomi Malaysia kekal kukuh dan berdaya tahan, lantas mengajak seluruh rakyat memperkukuh ekonomi domestik sebagai benteng menghadapi krisis tenaga dunia ketika ini.

“Kerajaan Madani akan terus bertindak secara proaktif berlandaskan data dan realiti semasa termasuk mendapatkan pandangan pihak industri serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) agar setiap langkah yang diambil bersifat menyeluruh, seimbang dan berkesan.

“Dalam masa sama, saya mengajak seluruh rakyat memperkukuh ekonomi domestik. Utamakan barangan tempatan dan sokonglah usahawan kita, kerana kekuatan dalaman merupakan benteng utama dalam berdepan dengan krisis tenaga sejagat berikutan konflik di Asia Barat ketika ini.

“Insya-Allah, setiap keputusan akan terus berpaksikan tanggungjawab dan kepentingan rakyat. Kerajaan akan berikhtiar memastikan kestabilan bekalan tenaga terpelihara, ekonomi terus berfungsi dengan baik, serta kebajikan rakyat kekal menjadi keutamaan,” katanya.

Sementara itu Berita Harian Malaysia (BHM) melaporkan, Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke, memaklumkan Malaysia kini beroperasi dalam mod krisis, menyusuli konflik di Asia Barat itu yang semakin memuncak.

Beliau berkata Kabinet pada 31 Mac diberi penerangan mengenai situasi yang semakin meruncing, sambil menekankan tahap keseriusannya apabila kos tenaga meningkat lebih daripada 100 peratus sepanjang Februari lalu.

Walaupun kesan penuh masih belum dirasai, Encik Loke berkata rakyat Malaysia tidak seharusnya memandang ringan keadaan ini dan digesa untuk mengamalkan langkah penjimatan bahan api bagi mengurangkan potensi gangguan sekiranya konflik berterusan.

“Ini bukan perkara yang boleh dibuat gurauan. Ia adalah perkara yang sangat, sangat serius,” katanya ketika berucap pada majlis pembiayaan sekolah untuk Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chan Wa di Shah Alam, Selangor, pada 31 Mac.

Sepanjang Februari lalu, Encik Loke berkata kos tenaga meningkat lebih 100 peratus, dengan banyak industri terjejas.

“Beberapa negara sudah berada dalam mod kecemasan. Sebagai contoh, Filipina telah mengisytiharkan darurat tenaga.

“Negara berhampiran kita seperti Thailand dan Vietnam juga sudah berdepan kekurangan bekalan, dengan orang ramai beratur untuk mendapatkan bahan api.

“Syukurlah keadaan ini belum berlaku di negara kita. Tetapi kita tidak boleh mengambil mudah kerana lambat laun, kita akan merasai kesannya,” ujar beliau.

Tambah Encik Loke lagi, walaupun bekalan bahan api di Malaysia masih stabil buat masa ini, ketidaktentuan tetap wujud dalam beberapa bulan akan datang.

“Malaysia ialah negara pengeluar minyak, tetapi kita masih bergantung kepada bekalan dunia. Fokus kerajaan sekarang adalah untuk memastikan bekalan bahan api dapat dikekalkan.

“Bekalan semasa kita dijangka tidak terganggu sehingga Mei. Tetapi jika perang berlanjutan, kita tidak dapat menjamin bekalan tidak akan terjejas. Ini sesuatu yang perlu diberi perhatian serius oleh kita semua,” katanya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg