Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:22

Negeri utara M’sia rasai kesan cuaca panas, kering

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Malaysia
41333
0

Negeri utara M’sia rasai kesan cuaca panas, kering

Feb 08, 2024 | 02:35 PM



Fenomena cuaca panas dan kering atau El-Nino semakin dirasai terutama di beberapa negeri di utara Semenanjung Malaysia dengan beberapa tempat mula mengalami masalah bekalan air, selain hasil tanaman terjejas, dengan suhu tertinggi direkodkan 37 darjah Celsius.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan pada 8 Februari jangkakan cuaca kering dan panas berlaku di negeri utara Semenanjung iaitu Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis dengan suhu melebihi 35 darjah Celsius.

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) yang mengendalikan kawasan pertanian sawah seluas 100,000 hektar berkata pihaknya mengambil langkah berjaga-jaga dan melakukan tindakan segera dengan memaksimumkan penggunaan stesen pam guna semula bagi menghadapi musim cuaca kering.

Mada berkata pihaknya berada dalam keadaan siap siaga sekiranya keadaan El-Nino berlarutan sehingga Jun 2024, seperti ramalan yang dikeluarkan MetMalaysia.

“Tindakan memaksimumkan penggunaan stesen pam guna semula adalah bagi menjimatkan air daripada empangan serta menjalankan operasi membekalkan pengairan air secara penggiliran mengikut keperluan kegiatan sawah di setiap wilayah,” katanya.

Mada turut menasihati peladang menguruskan air di peringkat sawah secara berhemah bagi memastikan bekalan air dapat diagihkan dengan sempurna dan mengelakkan pembaziran.

“Jumlah turunan hujan di kawasan Mada juga merekodkan bacaan lebih rendah iaitu 12mm (milimeter) berbanding purata turunan hujan 20 tahun iaitu 47mm,” katanya.

Exco Tugas-Tugas Khas Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Encik Abdul Rashid Yob, berkata pihaknya ada menerima aduan mengenai mutu tanaman padi akibat kesan cuaca panas dan kering.

“Di sesetengah kawasan tanaman di luar kawasan Mada yang bergantung kepada bekalan air hujan dan bukit untuk keperluan tanaman sawah, ada yang terkesan dengan faktor tanah kering akibat cuaca panas dan kering ini.

“Ada kawasan seperti kemarau dan tanah merekah, jadi pertumbuhan padi akan terencat jika tekanan air terputus,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.


Jabatan Kesihatan Negeri Kedah turut mengeluarkan peringatan kepada orang ramai mengenai cuaca panas tahap 1 (berjaga-jaga) menerusi hebahan di media sosial dengan jangkaan cuaca mencecah paras maksimum 37 darjah Celsius.

Orang ramai digalak memakai topi atau payung ketika keluar rumah; banyak minum air; memakai pakaian bersesuaian dan mengehadkan aktiviti di luar rumah.

Setakat ini belum ada dilaporkan sebarang kes akibat kesan cuaca panas dan kering di negeri utara Semenanjung, seperti dehidrasi atau strok haba.

Menurut laporan The Star, paras air di Empangan Air Itam, Pulau Pinang berada pada tahap berhati-hati dengan hanya 32.8 peratus daripada kapasitinya, Empangan Teluk Bahang dilaporkan dalam aliran menurun, manakala Empangan Bukit Merah di Perak hampir separuh daripada kapasiti 58.86 peratus.


Paras air di empangan di negeri utara semenanjung semuanya kelihatan menurun, berikutan hujan yang berkurangan dan suhu permukaan yang lebih tinggi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >