Topic followed successfully
Go to BHkuTiada pegawai SPRM terlibat dalam siasatan kes mafia korporat
Tiada pegawai SPRM terlibat dalam siasatan kes mafia korporat
Ahli perniagaan, Victor Chin Boon Loong dipercayai tinggalkan M’sia selepas beberapa hari dibebaskan oleh PDRM, Dis lalu
Tiada pegawai SPRM terlibat dalam siasatan kes mafia korporat
KUALA LUMPUR: Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap skandal ‘mafia korporat’ yang mengaitkan ahli perniagaan, Victor Chin Boon Loong, mendapati tiada penglibatan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (Amla) Bukit Aman, yang menyiasat sejak Oktober 2025, telah memanggil 41 individu. Namun, tiada seorang pun pegawai SPRM atau kepimpinan kanan suruhanjaya itu yang dipanggil.
Perkara ini disahkan oleh Ketua Pasukan Amla PDRM, Datuk Fazlisyam Abdul Majid. Beliau enggan mengulas lanjut, memandangkan siasatan masih berjalan, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Dalam perkembangan lain, Chin dipercayai telah meninggalkan Malaysia tidak lama selepas dibebaskan oleh PDRM, pada Disember 2025.
Datuk Fazlisyam mengesahkan Chin ditahan pada Disember 2025 dan kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.
BHM difahamkan, ahli perniagaan itu ditahan reman hanya untuk diambil keterangan selama tiga hari sebelum dibebaskan.
Kesempatan inilah yang digunakan oleh ahli perniagaan itu untuk ke luar negara, meskipun siasatan kes pengubahan wang haram sedang giat dijalankan.
BHM turut mendapat maklumat bahawa selepas penahanan reman itu, tiada sekatan pasport dikenakan untuk menghalang beliau ke luar negara. Tanpa langkah pencegahan ini, Chin bebas pergi dan gagal pulang untuk membantu siasatan lanjut.
Terdahulu, Datuk Fazlisyam mengesahkan Chin ditahan bersama sembilan individu lain kerana disyaki terlibat pengubahan wang haram. Mereka ditahan melalui Op Viking PDRM, yang berlangsung dari 15 Oktober 2025 hingga 13 Januari 2026.
Awal Mac lalu, dilaporkan jam tangan mewah, barang kemas, wang tunai termasuk mata wang asing, serta dua kereta telah disita dalam serbuan di beberapa premis yang dikaitkan dengan Chin.
Serbuan ini adalah sebahagian siasatan berterusan.
Polis turut melancarkan siasatan terhadap dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’ yang dikaitkan dengan Chin.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, mengesahkan pihak berkuasa memandang serius dakwaan ini dan tindakan penguatkuasaan sedang dilaksanakan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi, mendedahkan penglibatan Chin dalam skandal ‘mafia korporat’ ini didakwa wujud sebelum 2018, merentasi beberapa pentadbiran Kerajaan Persekutuan terdahulu.
Beliau berkata maklumat ini diperoleh hasil siasatan Amla. Rentetan itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai (Kuala Lumpur) itu melahirkan kehairanan mengapa tiada tindakan lanjut diambil oleh kerajaan sebelum ini terhadap Chin yang dikaitkan dengan kegiatan ‘mafia korporat’ itu.

