Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Umno pecat seorang lagi anggota majlis tertinggi

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Malaysia
41333
0

Umno pecat seorang lagi anggota majlis tertinggi

Isham Jalil belum terima surat pemecatan Umno, tapi sudah disingkir dari kumpulan WhatsApp  Majlis Kerja Tertinggi
Dec 07, 2023 | 04:46 PM



KUALA LUMPUR: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 6 Disember malam, membuat keputusan sebulat suara untuk memecat Ahli MKT, Encik Isham Jalil.


Perkara itu disahkan oleh seorang pemimpin Umno yang turut hadir pada mesyuarat MKT di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur, namun meminta namanya tidak disiarkan.

Bagaimanapun pada 7 Disember, Encik Isham yang dikenali sebagai orang kuat mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menjelaskan beliau hanya mengetahui berita pemecatan itu daripada media dan belum menerima surat rasmi mengenainya.

“Saya belum dapat surat (pemecatan). Yang saya tahu mereka telah keluarkan saya dari kumpulan WhatsApp MKT Umno pada 6 Disember 2023,” katanya lapor Berita Harian Malaysia pada 7 Disember.


Sehingga 4 petang 7 Disember, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pimpinan Umno mengenai pemecatan Encik Isham yang juga bekas Ketua Penerangan Umno.

Menurut sumber daripada ahli MKT, keputusan untuk memecat Encik Isham daripada Umno dicapai secara konsensus dalam mesyuarat MKT selama kira-kira dua jam.

Antara punca pemecatan Encik Isham ialah kerana beliau telah melanggar peraturan parti, termasuk mengkritik kepimpinan parti secara terbuka serta melabel parti sebagai ‘barua’ Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Mesyuarat MKT Umno itu dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan turut dihadiri timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden Umno.

Encik Isham yang sudah tiga kali tidak menghadiri mesyuarat MKT juga bertegas enggan menghadiri mesyuarat sama pada 6 Disember sebagai tindakan protes kepada kepimpinan parti itu.

Beliau sebelum ini dilihat lantang mengkritik pendirian Umno untuk bekerjasama dengan DAP di bawah Kerajaan Perpaduan, yang dilihat bertentangan dengan pendirian parti sebelum ini.

Kenyataan terkini Encik Isham ialah berhubung kekalahan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, yang didakwa berpunca daripada segelintir pemimpin parti itu yang bertindak menjadi ‘penjilat’ DAP.

Beliau mendakwa Umno terus menerima penolakan orang Melayu kerana parti itu yang seharusnya memperjuangkan Melayu dan Islam, sudah tersasar dan rela menjadi “barua DAP”.

Katanya, ada segelintir pemimpin parti itu bertindak “lebih DAP daripada DAP”, dengan mempromosikan DAP secara berlebihan sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan ahli akar umbi.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata tradisi dan peraturan parti yang diamalkan sejak 1946 adalah meletakkan kedudukan parti lebih tinggi daripada individu.

“Semua keputusan dasar parti ditentukan secara syura dan kolektif bukan individu. Dasar dan hala tuju parti hanya boleh diputuskan oleh MKT dan Perhimpunan Agong Umno, bukan individu atau mana-mana kepimpinan tertinggi termasuk Presiden.

“Pandangan berbeza dirai dalam mesyuarat, namun mesti menjunjung tinggi prinsip ‘dekorum’ adab ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’. Memelihara ‘sumpah atas nama Allah’ menyimpan kerahsiaan mesyuarat,” katanya di Facebook rasminya pada 6 Disember.

Dengan pemecatan itu, Encik Isham termasuk dalam senarai tokoh-tokoh Umno yang dipecat seperti mantan ketua pemudanya Encik Khairy Jamaluddin dan mantan Ketua Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar kerana melanggar disiplin parti semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)

Turut dikenakan tindakan adalah mantan naib presiden, Datuk Hishammuddin Hussein; mantan ketua penerangan, Datuk Shahril Hamdan; mantan Ahli Parlimen Jempol, Encik Salim Sharif; dan pemimpin Umno Tebrau, Encik Maulizan Bujang yang digantung keahlian selama enam tahun.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >