SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

2, 3 kucing berlari.. tak sama kucing dijaga di rumah

2, 3 kucing berlari.. tak sama kucing dijaga di rumah

Pemilik haiwan peliharaan pilih khidmat penjaga peribadi berbanding hotel haiwan demi keselesaan ‘anak bulu’, usahawan muda pula rebut peluang niaga menerusi media sosial
Mar 25, 2026 | 3:12 PM

2, 3 kucing berlari.. tak sama kucing dijaga di rumah

Cik Nur Danisyah Razimansah, menubuhkan Petitepurrssg, khidmat jagaan kucing di rumah, selepas melihat jurang dalam pasaran.
Cik Nur Danisyah Razimansah, menubuhkan Petitepurrssg, khidmat jagaan kucing di rumah, selepas melihat jurang dalam pasaran. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Khidmat jagaan dan dandanan kucing semakin mendapat perhatian dalam kalangan pemilik haiwan peliharaan. Antara khidmat itu melibatkan individu yang datang ke rumah untuk menjaga kucing apabila pemilik bercuti, ada pula khidmat dandanan khusus di kedai. Ikuti laporan di muka 6 hingga 9.

Apabila Cik Wahidah Sahdi, seorang suri rumah berusia 47 tahun, dan keluarganya bercuti selama dua minggu baru-baru ini, beliau mendapatkan khidmat penjaga haiwan bebas untuk menjaga dua ekor kucingnya yang ditinggalkan di rumah.

Penjaga tersebut, Encik Muhammad Amirul Hakim Ahmad, akan datang ke rumahnya setiap hari untuk memberi makan, membersihkan kotak pasir kucing serta bermain dengan kucing-kucingnya itu.

Cik Wahidah membayar sekitar $25 sehari, menjadikan jumlah perkhidmatan bagi tempoh dua minggu mencecah kira-kira $350.

Cik Wahidah Sahdi, telah menggunakan khidmat penjaga haiwan bebas sejak 2025.
Cik Wahidah Sahdi, telah menggunakan khidmat penjaga haiwan bebas sejak 2025. - Foto ihsan WAHIDAH SAHDI

“Saya memilih perkhidmatan seperti ini kerana ia lebih mudah dan kucing-kucing saya lebih selesa berada di rumah.

“Kucing itu juga dapat menyesuaikan diri dengan orang asing,” kata Cik Wahidah.

Pengalaman itu mencerminkan perubahan dalam landskap penjagaan haiwan peliharaan di Singapura.

Semakin ramai pemilik memilih perkhidmatan jagaan di rumah berbanding hotel kucing yang boleh mencecah sekitar $40 semalam bergantung kepada jenis bilik.

Perkembangan itu turut dipacu oleh pendedahan meluas di media sosial seperti TikTok sejak lewat 2025.

Antara yang memanfaatkan permintaan ini adalah usahawan muda, Encik Amirul, 28 tahun, dan Cik Nur Danisyah Razimansah, 22 tahun, yang membangunkan perniagaan masing-masing berasaskan pengalaman dan kemahiran sendiri.

Encik Amirul berkongsi bahawa perkhidmatan yang ditawarkan itu sama sekali tidak dirancang.

Ia sebenarnya bermula pada Disember 2025 apabila beliau perlu menjaga kucing milik adik-beradiknya ketika mereka bercuti.

Mahasiswa tahun kedua jurusan perniagaan di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) itu memutuskan untuk merakam pengalaman tersebut, lalu memuatnaikannya ke TikTok.

Video tersebut kemudian mendapat sambutan hangat sehingga ramai pengguna menghubungi beliau untuk mendapatkan khidmatnya.

Sejak itu, beliau mula menawarkan perkhidmatan yang dinamakan, Kittykatsitter secara rasmi, khususnya ketika musim cuti hujung tahun.

“Pada waktu musim cuti, saya mengunjungi sebanyak 10 hingga 11 rumah sehari, dari 7 pagi hingga 9 malam, dengan setiap lawatan mengambil masa sekitar 30 hingga 40 minit.

“Tugas saya termasuk membersihkan kotak pasir, menyediakan makanan basah dan kering, mengisi semula bekas air minuman serta memberikan vitamin dan ubat sekiranya perlu,” kata bekas jurutera perisian selama empat tahun itu.

Beliau kemudian meletak jawatan untuk memburu ijazah dan bagi menceburi bidang keusahawanan, menawarkan khidmat tersebut bagi membantu menampung pengajiannya.

Sementara itu, Cik Danisyah pula terdorong menceburi perniagaan itu selepas melihat jurang dalam pasaran.

Bekas pekerja hotel jagaan kucing itu berkata terdapat beberapa syarat seperti vaksinasi dan ujian tertentu yang perlu dipenuhi sebelum ‘anak bulu’ itu diterima masuk.

“Ini boleh membebankan pemilik, selain berpotensi menyebabkan tekanan kepada si ‘anak bulu’ yang tidak biasa dengan persekitaran baharu di hotel haiwan.

“Saya melihat perkhidmatan di rumah sebagai khidmat gantian yang lebih sesuai dan mesra haiwan,” katanya yang menubuhkan, Petitepurrssg, khidmat jagaan kucing di rumah.

Lulusan Diploma Reka Bentuk Komunikasi daripada Politeknik Temasek (TP) itu kini mempunyai sekitar 40 pelanggan.

Setiap lawatan ke rumah pelanggan memakan masa 30 hingga 45 minit.

Khidmatnya termasuk memberi makanan dan air segar, mencuci bekas makanan, membersihkan kotak pasir serta menghantar kemas kini mengenai haiwan tersebut dalam bentuk gambar atau video kepada pemiliknya.

Beliau juga menawarkan perkhidmatan tambahan seperti memberi ubat dan dandanan asas termasuk memotong kuku, menyikat bulu dan memandikan kucing.

“Kucing boleh mengalami tekanan apabila pemilik tiada di rumah, malah ada yang enggan makan atau berubah tingkah laku,” katanya yang membuat sekitar empat hingga lapan lawatan sehari.

Kedua-dua belia tersebut menawarkan kunjungan awal secara percuma sebelum setiap sesi baharu bagi memahami rutin dan keperluan kucing berkenaan.

“Setiap kucing mempunyai personaliti tersendiri dan memerlukan pendekatan berbeza,” kata Encik Amirul.

Ada kalanya, emosi beliau sendiri terjejas apabila perlu berpisah dengan kucing yang telah dijaga buat tempoh lama kerana sudah menjalinkan hubungan begitu rapat.

Encik Amirul juga aktif dalam usaha meningkatkan kesedaran tentang kucing jalanan dan merancang mendapatkan pensijilan rasmi dalam bidang penjagaan haiwan pada masa hadapan.

Dalam pada itu, selain khidmat jagaan kucing, kemunculan perkhidmatan dandanan kucing secara bergerak seperti yang disediakan oleh syarikat Yukiyo makin mendapat perhatian.

Mendandan tujuh hingga 10 ekor kucing sehari, syarikat Yukiyo kini dalam perancangan mengembangkan perniagaan dengan membuka salun dandanan dan hotel kucing.
Mendandan tujuh hingga 10 ekor kucing sehari, syarikat Yukiyo kini dalam perancangan mengembangkan perniagaan dengan membuka salun dandanan dan hotel kucing. - Foto YUKIYO

Beroperasi sejak September 2025, pengasasnya yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Faeez, memulakan perniagaan itu sebagai langkah membina kerjaya baharu.

Minatnya bermula apabila beliau sendiri berdepan dengan kesukaran apabila ingin menghantar kucing peliharaannya ke salun kucing.

Beliau pada awalnya mempelajari kemahiran dalam bidang itu secara sendiri sebelum mengikuti kursus profesional di bawah Persatuan Dandanan Kucing di Malaysia bagi memantapkan ilmu pengetahuannya sebelum melancarkan perniagaan sendiri.

Dalam jangka panjang, Encik Faeez merancang untuk mengembangkan perniagaannya dengan membuka salun dandanan, hotel kucing, kedai runcit barangan kucing serta perkhidmatan lain yang berkaitan.


Berikut merupakan beberapa saranan oleh Persatuan Cegah Kekejaman ke atas Binatang (SPCA) untuk dipertimbangkan jika pemilik haiwan peliharaan ingin mendapatkan khidmat penjagaan haiwan:

– Semak ulasan dan minta rujukan

– Jemput mereka untuk lawatan percubaan

– Dapatkan persetujuan mereka jika anda mempunyai kamera pemantauan haiwan peliharaan

– Berikan maklumat penjagaan yang terperinci tentang haiwan peliharaan anda (tingkah laku, rutin, dan nombor kecemasan)

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg