Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Anda masih sambut Tahun Baru Cina? Mualaf kongsi pengalaman perjelas salah tanggap

Jan 23, 2023 | 03:52 PM



SUDAH hampir tujuh tahun sejak Encik Mikhail Goh memeluk Islam, namun beliau masih lagi menerima pertanyaan yang sama setiap tahun menjelang Tahun Baru Cina (CNY): "Adakah anda masih menyambut CNY?"



Ada yang beranggapan bahawa Tahun Baru Cina merupakan perayaan keagamaan, namun Encik Goh menjelaskan bahawa ia sebenarnya adalah sebahagian daripada budaya Cina yang diamalkan sejak berabad-abad lamanya.



"Secara tradisinya, ia disambut untuk menyambut musim bunga, tetapi ia juga masa untuk keluarga Cina - tanpa mengira agama - berkumpul bersama, berkongsi makanan dan mengeratkan lagi hubungan selepas setahun terpisah.



"Inilah sebabnya ramai orang pulang ke kampung halaman untuk mengunjung orang tersayang. Walaupun penganut agama Buddha dan Tao mungkin memberikan persembahan (offerings) pada hari ini, ini adalah amalan keagamaan dan bukannya budaya.



"Masyarakat Cina yang beragama Islam, Kristian dan Buddha juga boleh dilihat meraikan Tahun Baru Cina bersama keluarga mereka," kongsinya.



Encik Goh, 33 tahun, pengasas bersama Have Halal Will Travel (HHWT), juga telah mengongsi pengalaman beliau sebagai seorang mualaf menyambut Tahun Baru Cina dalam laman HHWT.



Sepanjang perjalanan beliau sebagai seorang mualaf, Encik Goh sedar bahawa masih terdapat ramai orang yang tidak dapat membezakan antara budaya dengan agama, manakala terdapat juga kecenderungan untuk mengaitkan Islam dengan masyarakat Melayu, terutama dari rantau ini.



Tahun-tahun pertama beliau sebagai seorang Cina Islam, Encik Goh berkata semasa perjumpaan jamuan makan malam bersama keluarga besarnya, beliau dan isterinya, Tengku Suzana Tengku Abdul Kadir, yang juga pengasas bersama syarikat itu, akan membawa makanan mereka sendiri, agar tidak menyusahkan keluarganya.



"Dan keluarga saya akan fikir saya akan membawa 'nasi Melayu' untuk perjumpaan makan malam itu. Dalam fahaman mereka, jika anda seorang Islam, anda adalah orang Melayu.



"Syukur, selepas bertahun-tahun lamanya, kami dapat mengubah persepsi ini," katanya lagi.



MASYARAKAT ISLAM TURUT INGIN TAHU



Selain pertanyaan daripada keluarga dan dari bangsanya sendiri, Encik Goh juga menerima pertanyaan daripada masyarakat Islam.



Antara pertanyaan termasuk mengapa beliau perlu menyertai keluarganya di restoran yang tidak mempunyai sijil halal untuk menjamu selera kerana tempat itu menghidangkan "daging babi atau alkohol". Ini meskipun beliau membawa sendiri makanan halal untuk dirinya dan isteri.



Malah ada yang bertanya sama ada beliau masih dibenarkan makan hidangan yang disediakan oleh ahli keluarga bukan Islam, walaupun menggunakan bahan halal.



Encik Goh yang dilahirkan dalam keluarga beragama Buddha, masih ingat dengan jelas sambutan Tahun Baru Cina pertamanya sebagai seorang mualaf.



Beliau bersyukur kerana mempunyai ahli keluarga yang sangat menyokong dan sanggup membuat penyesuaian bagi memudahkan lagi peralihannya.



Antara penyesuaian yang keluarga beliau lakukan untuknya, termasuk menukar bahan kepada bahan yang halal seperti stok ayam atau ikan yang digunakan bagi hidangan steamboat, sekali gus memudahkan mereka untuk menjamu selera bersama.



"Di samping itu, saya gembira kerana aspek-aspek lain dari segi pengalaman budaya kami masih lagi kami kekalkan," tambahnya.



Sebelum memeluk Islam, Encik Goh telah mengambil masa untuk mengenali agama ini dengan lebih mendalam.



Beliau akur perjuangannya menganut agama Islam tidak mudah dan beliau telah melalui banyak cabaran.



Namun begitu beliau percaya, setiap orang Islam, tidak mengira bangsa, mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memberi gambaran Islam yang sebenar dengan keindahannya.



"Hakikat bahawa saya merupakan seorang Cina Islam menjadikan tanggungjawab ini lebih penting.



"Setiap tahun semasa perayaan Tahun Baru Cina, saya melihatnya sebagai satu kewajipan untuk menunjukkan kepada keluarga saya siapa sebenarnya orang Islam - bahawa kita sanggup mengetepikan perbezaan dan berintegrasi," katanya.



Tahun ini, Encik Goh dan isterinya, Cik Suzana, tidak sabar untuk melakukan lebih banyak kunjungan ke rumah sanak saudara bersama anak perempuan mereka yang berusia dua tahun, setelah sekatan Covid-19 dilonggarkan.



"Kami juga sedang merancang untuk mengadakan rumah terbuka dan menjemput lebih ramai orang ke rumah kami supaya kami dapat terus mengamalkan budaya kami ini dan mewariskannya kepada anak kecil kami nanti," ujarnya.




"Keluarga saya akan fikir saya akan membawa 'nasi Melayu' untuk perjumpaan makan malam Tahun Baru Cina itu. Dalam fahaman mereka, jika anda seorang Islam, anda adalah orang Melayu.
Syukur, selepas bertahun-tahun lamanya, kami dapat mengubah persepsi ini.''
- Encik Mikhail Goh.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >