Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Penulis kongsi kisah satu keluarga bantu ‘sekolahkan’ anak

Apabila emak bapak, datuk nenek asuh si kecil kenal ABC

Jul 03, 2023 | 05:30 AM



Sewaktu mencari barang hiasan rumah di Ikea pada Ramadan lalu, saya dan isteri terganggu dengan potongan harga sebuah meja pendek yang sepatutnya digunakan di tepi sofa termasuk kerusi plastik bagi kanak-kanak kecil.

Dengan bajet sekitar $30, kami membeli satu set dua perabot itu yang bertujuan menjadi meja belajar puteri pertama kami yang pada ketika itu berusia sekitar setahun sembilan bulan.

Kami membalut permukaan meja itu dengan kertas kosong dan pelekat.

Di samping itu, kami meletakkan beberapa buku serta kertas dan krayon berwarna-warni baginya membiasakan diri memegang alat tulis.

Ini kerana pada usia itu kami menjangkakan sudah tiba masanya anak kami diperkenalkan dengan abjad dan nombor asas seperti ABC dan angka satu hingga 10.

Dengan meja dan kerusi itu, anak pertama kami seronok menconteng di atas meja.

Kami mula melukis objek-objek tertentu untuk memperkenalkannya kepada objek mudah dihafal seperti matahari dan bulan, pokok, bunga, epal dan lain-lain lagi.

Kemudian ibu mentua saya pula turut serta dalam ‘projek’ ini.

Beliau yang merupakan mantan guru tajaka dan sering menginap di rumah kami dua hingga tiga hari seminggu menjadi guru kelas tambahan baginya.

Siap dengan dua keping fail diguna semula dengan beberapa kertas kosong, beliau melukis dengan tangan sendiri objek-objek tertentu berdasarkan huruf permulaannya dalam bahasa Inggeris.

Huruf A bagi pesawat atau ‘airplane’, B bagi jantina lelaki atau ‘boy’ dan lain-lain lagi.

Pada awalnya, sejujurnya saya dan isteri tidak mengambil peduli sangat tentang perkara ini. Kami berpendapat ia satu kegiatan merapatkan hubungan antara nenek dengan cucu.

Tetapi setiap minggu ibu mentua saya akan berbincang dengan kami – bahawa anak kami, sudah berupaya mengenal pasti huruf A dan menyebutnya – seolah ada kad laporan setiap minggu.

“Minggu depan Mama ajar Sofya (nama anak kami) huruf B. Mesti tunggu dia kenal sepenuhnya huruf itu baru Mama ajar dia C,” katanya.

Selepas sekitar dua hingga tiga bulan berbuat demikian dengan bimbingan visual termasuk nyanyian lagu ABC secara kerap, anak kami berupaya menghafal lagu ABC dan mengenal pasti setiap huruf.

Daripada A hingga Z, daripada ‘airplane’ hingga ‘zebra’ ibu mentua saya melukis objek yang bermula dengan huruf berkenaan tersendiri.

Satu lagi fail beliau mula isi sekitar dua bulan lalu mencatatkan angka 1 hingga 10, kini diguna untuk mengajar anak kami menghitung.

Hal ini membuat saya fikirkan tentang kalimat “ia memerlukan seluruh kampung untuk besarkan seorang anak”.

Tempat kecilnya untuk melukis disediakan ibu bapa, menjadi tempatnya belajar bersama datuk dan nenek, serta membaca dengan ibu bapanya.

Ayah saya pula membelikannya sebuah alat ukulele agar dapat menarik minatnya terhadap muzik dan si kecil sudah mula cuba memetik tali alat muzik itu untuk mengeluarkan bunyi.

Malah pada peringkat usia satu hingga tiga tahun ini adalah sangat penting dalam pembangunan anak di mana mereka mula bercakap, bergaul dengan teman lain, bermain dan menjalin kemahiran sosial.

Pada tahap ini selain kemudahan untuk belajar, adalah penting bagi ibu bapa dan orang sekeliling sama-sama menjadi contoh teladan.

Luangkan masa bermutu dengan mereka kerana anak sering meniru perbualan dan perbuatan orang di kelilingnya.

Ia juga wajar bagi kami meraikan setiap pencapaian si kecil daripada mempelajari huruf, warna atau angka baru untuk membuat mereka rasa terdorong untuk belajar lagi.

Adalah penting juga untuk meluangkan masa dengan mereka dan menunjukkan kasih sayang.

Saya sifatkan ini sebagai satu pengalaman manis bagi ibu bapa muda agar terus bersikap terbuka kepada pendekatan orang tua yang kadangkala mempunyai teknik membesarkan anak yang agak menakjubkan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >