Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SIRI CENDEKIAWAN LESTARI

Mencorak pendidikan Islam agar tetap relevan

Nov 21, 2022 | 06:26 AM



TUJUAN pendidikan Islam ialah mengasuh dan mendidik manusia menjadi insan yang berilmu, berhikmah, berihsan dan berislah.



Tugas yang penting bagi manusia adalah mengabdikan diri kepada Allah dan memerlukan ilmu dalam menjunjung perintah-Nya dan tegahan-Nya serta memahami cara menyempurnakan pengabdian kepada Allah.



Ibadat mempunyai makna yang luas, merangkumi peranan manusia sebagai 'Khalifah Allah' untuk memakmurkan bumi.



Oleh itu, manusia harus mendidik diri mereka dengan ilmu yang diperlukan.



Pada dasarnya, tujuan pendidikan Islam amat luas sebagaimana pengertian agama itu sendiri.



Ia merangkumi satu usaha memindahkan nilai-nilai agama yang murni, dengan memberikan latihan dan pengajaran ilmu untuk mempersiap penganutnya kemahiran dan kepakaran, agar dapat meneguhkan penghidupan dan menjalankan kewajiban kemanusiaan.



Dengan kata lain, pendidikan sedemikian tidak terpisah antara ilmu agama dengan ilmu lain.



Pendidikan Islam di Nusantara telah muncul dan tumbuh berkembang dalam pelbagai lembaga atau institusi seperti pondok, pesantren, madrasah, surau dan masjid.



Meskipun menghadapi arus sekular yang pada umumnya, menekankan keutamaan kepentingan keduniaan dan kesejahteraan kebendaan.



Dalam kertas kerja ini, saya cuba memaparkan sepintas lalu apakah yang harus dilakukan untuk mencorak pendidikan Islam, agar tetap relevan dan dapat menjalankan tugas sebagai 'khalifah', untuk mengimarah bumi berteraskan ilmu yang bersepadu demi keselamatan dan kesejahteraan hidup serta mencorak peradaban yang ideal.



PENDIDIKAN ISLAM TRADISIONAL DAN MODEN DI MALAYSIA



Dalam sejarah yang dicatatkan di Malaysia, lembaga pendidikan Islam telah berkembang daripada sekolah Al-Quran secara tidak formal.



Selepas itu, lembaga tersebut berkembang menjadi sekolah agama tradisional yang dikenali sebagai 'pondok'.



Ia mempunyai peranan besar dalam mengasuh dan mendidik masyarakat pada awal kurun ke-14 Masehi sebelum dan semasa penjajahan.



Pondok-pondok ini diurus dan ditadbir oleh orang perseorangan ataupun masyarakat.



Dasar pengajaran dan pembelajaran berdasarkan aliran mazhab Asy-Syafi'i dari segi pegangan fikah, adapun dari segi akidah bermazhab Al-Asy'ari.



Sukatan pelajaran atau kurikulumnya tidak seragam dan tempoh pengajiannya tidak terbatas.



Lazimnya, beberapa mata pelajaran agama diajarkan seperti Al-Quran, hadis, tauhid, fikah, sejarah Islam, tasawuf dan akhlak.



Ada sesetengah pondok mengajarkan ilmu bahasa Arab, nahu saraf, asas aritmetik dan logika (mantiq).



Metodologi pengajaran lebih bersifat hafalan.



Pada awal kurun ke-20, bahang kebangkitan Islam mula memuncak.



Timbul kesedaran bahawa sistem pondok yang ada tidak mampu berhadapan dalam menangkis cabaran pemodenan.



Ini disebabkan kurikulum hanya tertumpu pada subjek agama yang ruang lingkupnya sangat sempit.



Sebagai langkah alternatif dalam menandingi cabaran itu ditubuhkan beberapa madrasah.



Pada 1916, ditubuhkan Madrasah Al-Mashur Al-Islamiyyah di Pulau Pinang.



Kurikulumnya agak komprehensif, merangkumi bahasa Arab, matematik dan geografi.



Pelajar juga digalakkan mengikuti kegiatan seperti debat dan pidato.



PENDIDIKAN ISLAM TRADISIONAL DAN MODEN DI INDONESIA



Ada semacam persamaan pendidikan Islam di Indonesia berawal daripada sekolah Al-Quran dan sekolah berasrama yang dikenali sebagai 'pesantren'.



Ciri pendidikan Islam tradisional yang menonjol, perhatiannya lebih tertumpu kepada ilmu keagamaan.



Pesantren tempat santri atau pelajar menimba ilmu.



Pendidikan Islam moden mengikuti keperluan dan kepentingan negara dan masyarakat.



Ciri khas pendidikan moden mengarah kepada dua kebahagiaan iaitu di dunia dan akhirat.



PENDIDIKAN ISLAM DI SINGAPURA



Madrasah Al-Sibyan adalah madrasah pertama di Singapura. Ia ditubuhkan pada 1905 di Bussorah Street, Kampong Glam, oleh seorang guru agama berasal dari Indonesia.



Pembelajaran di Al-Sibyan lebih tertumpu pada penghafalan Al-Quran.



Sempat berhenti operasinya pada 1923, beliau mengadaptasi model pendidikan semacam 'pondok' atau 'pesantren', fokus pada pelajaran Al-Quran dan kitab skrip Jawi.



Pada 1908, reformis Islam terkenal, Syed Sheikh Ahmad Al-Hadi, telah menubuhkan Madrasah Al-Iqbal.



Beliau sangat terpengaruh dengan pemikiran pembaharuan yang dibawa oleh Muhammad Abduh dan Rashid Redha.



Syed Sheikh Ahmad berusaha merombak dan memajukan kurikulum dengan memasukkan pembelajaran sains moden. Madrasah ini tutup selepas dua tahun, dengan ia mendapat banyak sanggahan dan kritikan daripada golongan tradisionalis kerana usaha 'pembaratan' dalam pembelajaran Islam daripada model tradisional pondok.



Pendidikan Islam di madrasah terus berkembang dengan menerapkan kurikulum bersepadu.



Ia amat sesuai untuk menyiapkan anak-anak didik dengan ilmu terkini duniawi dan ukhrawi.



Lowongan kerjaya menurut potensi dan bakat masing-masing serta dapat mencorak masyarakat dan negara.



Ketara sekali banyak perubahan telah berlaku pada madrasah-madrasah di Singapura mencakupi beberapa bidang, antaranya prasarana sekolah, proses pengajaran dan pembelajaran, guru dan asatizah kebanyakannya telah terlatih dan dipersiap dengan ilmu pedagogi, pembangunan kerjaya yang lebih menarik dan sebagainya.



Yang agak menarik, dalam kalangan masyarakat golongan pertengahan ke atas begitu ghairah menghantar anak-anak mereka ke madrasah.



Ini memberikan gambaran betapa mereka begitu yakin dan percaya dengan sistem pendidikan Islam di madrasah bukan saja mengisi ilmu atau maklumat, bahkan dapat membentuk perwatakan dan jati diri Muslim serta warga yang baik lagi bermanfaat sebagai pemain utama arus perdana.



Lepasan madrasah juga dengan semangat 'iqra' terus melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi sama ada peringkat sarjana ataupun doktor falsafah (PhD).



Dari segi kerjaya, peluang pekerjaan dalam pasaran terbuka luas.



Kerjaya mereka pelbagai, sebagai profesional dalam sektor awam ataupun swasta, dengan antara mereka memegang jawatan tinggi di Mahkamah Syariah, Pendaftar Pernikahan OrangOrang Islam (ROMM), pengusaha, kaunselor, konsultan dan sebagainya.



Peranan asatizah amat penting dalam mencorak masyarakat yang progresif, inovatif dan inklusif.



Penglibatan mereka diperlukan bukan saja dalam kalangan masyarakat Islam sendiri, bahkan juga pada peringkat nasional dalam membawa negara yang lebih makmur untuk semua tidak kira bangsa, agama dan budaya.



LALUAN KE DEPAN



Pertama, masyarakat Islam sama-sama bertanggungjawab bagi memastikan pendidikan Islam di madrasah terus hidup dalam mencorak masyarakat berilmu, berhikmah, berihsan dan berislah.



Hal ini boleh dilakukan dengan memberikan sokongan padu dari segi moral dan material.



Kedua, meningkatkan kurikulum tambahan untuk mendedahkan anak didik dengan pengajian kitab-kitab turats dan para ulama kontemporari yang dapat membuka luas pandangan dan kematangan berfikir.



Pendedahan sedemikian rupa menjadi teras dalam memberikan jawapan pada isu-isu mutakhir pada sesuatu zaman.



Daya usaha ini bertujuan membentuk dan melahirkan ulama-cendekiawan dan cendekiawan-ulama.



  • Penulis pernah berkhidmat dengan beberapa badan Islam dan masjid selama hampir empat dekad dari 1984 hingga 2022.

Antaranya bersama Persatuan Muhammadiyah, menyandang jawatan Mudir Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah, Naib Kadi (ROMM) dan juga Hakam di Mahkamah Syariah.



Ustaz Abdul Manaf kini bertugas di Masjid AlTaqua sebagai Ketua Jabatan Dakwah dan Ibadah, pada awal Januari 2022.



Rencana ini dikeluarkan buat kali pertama dalam 'Siri Cendekiawan Lestari' oleh Yayasan Warisan Melayu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >