Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Bashar kekal berkuasa di sebalik perang saudara, ketidaktentuan politik

Sep 11, 2023 | 06:00 AM



Pada Januari 2022, Presiden Syria, Encik Bashar al-Assad berjaya menguasai tampuk pemerintahan bagi penggal keempat dan dijangka terus berkuasa bagi tempoh tujuh tahun akan datang apabila memenangi pilihan raya.

Encik Bashar menyatakan kemenangan itu menunjukkan negara berkenaan ‘berfungsi dengan baik’ biarpun konflik perang saudara yang tercetus masih belum reda sepenuhnya.

Pilihan raya tersebut tetap diteruskan meskipun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meminta masyarakat antarabangsa memantau ketelusannya bagi memastikan rakyat Syria memperoleh perlembagaan dan penyelesaian politik yang konkrit.

Turkey yang dilihat sebagai ‘penasihat’ Syria turut menyifatkan pilihan raya itu tidak sah.

Menteri Luar Perancis, Jerman, Italy, Britain dan Amerika Syarikat mengkritik Encik Bashar menjelang pilihan raya tersebut kerana khuatir pengundian tidak akan dilaksanakan secara telus.

Setelah lebih 12 tahun, Encik Bashar masih mampu bertahan dan mengekalkan kuasanya walaupun berlaku perang saudara yang menentang pemerintahannya yang dianggap korup dan zalim.

Malah penguasaannya dapat dilihat pada Mei 2023 apabila Liga Arab menerima semula penyertaan Syria selepas keanggotaannya digantung selama 12 tahun.

Keputusan yang dicapai pada Mesyuarat Luar Biasa Menteri Luar Liga Arab itu dilihat sebagai satu langkah membina dalam mewujudkan persekitaran kondusif ke arah meningkatkan kehidupan rakyat di Syria serta memperkukuh keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau itu.

Malah Menteri Luar Jordan, Mesir, Arab Saudi dan Iraq, dalam satu kenyataan bersama pada Mei 2023 bersepakat menyokong usaha Syria menguasai semula wilayah di negara itu, lapor agensi berita Russia, Sputnik.


Syria telah disingkirkan daripada Liga Arab selepas tindakan keras rejim Encik Bashar terhadap penunjuk perasaan pada Mac 2011 mengakibatkan perang saudara tercetus.

Ratusan ribu orang terbunuh manakala berjuta-juta lagi hilang tempat tinggal akibat krisis yang berlanjutan lebih 12 tahun di Syria.

Encik Bashar dan tenteranya berperang dengan kumpulan-kumpulan tempatan dan yang datang dari beberapa negara asing selepas penduduk negaranya mula melakukan tunjuk perasaan antipemerintah pada Mac 2011.

Kebangkitan penduduk Arab atau dikenali sebagai ‘Arab Spring’ yang menentang pemerintahan pemimpin yang bersifat diktator bermula di Tunisia pada Januari 2011 sebelum merebak ke Syria pada pertengahan Mac tahun yang sama.

Pada mulanya, sejumlah penduduk di bandar kecil Daraa, di Syria melakukan tunjuk perasaan bagi menentang penyeksaan dilakukan ke atas para pelajar yang ditahan kerana membuat lukisan grafiti antikerajaan.

Keadaan kacau-bilau itu merebak ke bahagian lain di Syria dengan para penunjuk perasaan menuntut pembaharuan dilakukan di negara tersebut, mendesak Encik Bashar meletakkan jawatan, membenarkan kewujudan parti-parti politik, hak sama rata untuk etnik Kurdistan, kebebasan politik dan bersuara.

Pada April 2011, Syria melancarkan satu siri memerangi para penunjuk perasaan dengan menghantar kereta-kereta kebal ke bandar-bandar terjejas dengan tunjuk perasaan manakala pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah mereka.

Pasukan keselamatan kemudian menggunakan kereta-kereta kebal dan penembak hendap untuk menghalang orang ramai daripada berkumpul di jalanan manakala bekalan air serta elektrik diputuskan.

Pasukan keselamatan mula merampas tepung dan bekalan makanan terutamanya di kawasan yang menjadi lokasi penunjuk perasaan.

Harga makanan meningkat naik dan nilai mata wang menyusut yang mana pemerintah Syria menyalahkan sekatan pihak Barat sebagai punca krisis ekonomi di negara berkenaan.

Konflik itu menjadi lebih rumit apabila Syria terbahagi dengan penduduknya terdiri daripada pelbagai etnik dengan Encik Bashar dan pihak ketenteraan terdiri daripada golongan fahaman Syiah Alawi yang merupakan golongan minoriti di negara yang majoritinya Sunni.

Peperangan saudara di Syria telah mengorbankan lebih 380,000 orang, 37 juta penduduk hilang tempat tinggal dan puluhan ribu lagi penduduk dipenjarakan.

Encik Bashar yang merupakan Presiden Syria ke-19 mula berkuasa sejak 17 Julai 2000 bagi menggantikan bapanya, Encik Hafez Al-Assad, dan merupakan satu-satunya pemimpin yang gagal ditumbangkan dalam kebangkitan ‘Arab Spring’.

Latar belakang sejarah Syria, yang merdeka daripada penjajahan Perancis pada 1945, dan telah diperintah oleh anak bangsa Syria sendiri sehingga zaman Encik Hafez yang telah memerintah selama 32 tahun dan diikuti oleh Encik Bashar hingga hari ini.

Encik Bashar masih lagi berkuasa dan selepas mendapat sokongan dari Russia, tenteranya kembali mengawal semula kira-kira 70 peratus daripada negaranya.

“Bashar mengetahui untuk bermain (politik) bagi tempoh yang panjang. Selepas seluruh dunia beranggapan beliau boleh disingkirkan, kini ia mahu untuk berdamai dengannya (Encik Bashar).

“Beliau berpegang teguh dengan pendiriannya tanpa kompromi dan mampu mendapat balik kebanyakan wilayah Syria dengan kekuatan ketenteraan.

“Tentera Syria juga memainkan peranan penting dalam kelangsungan hidupnya. Inilah yang menjadikan Bashar sebagai satu pengecualian dalam kebangkitan Arab Spring,” kata seorang ahli politik Lubnan, Encik Karim Pakradouni kepada AFP.


Di Tunisia, akibat kebangkitan ‘Arab Spring’, Presidennya, Encik Zine El Abidine Ben Ali, meletakkan jawatan, di Mesir, Encik Hosni Mubarak juga meletakkan jawatan dan pemimpin Libya, Encik Muammar Gaddafi, dibunuh oleh penduduknya sendiri.

Protes menentang Bashar itu turut melibatkan pertempuran antara tentera pemerintah yang mendapat sokongan Russia dengan Iran dengan kumpulan anti-Bashar terdiri daripada kumpulan bersenjata yang disokong Amerika Syarikat, Arab Saudi, Turkey dan lain-lain pihak di rantau berkenaan.

Syria menjadi tempat tumpuan pelbagai kumpulan pejuang yang mendapat bantuan daripada kuasa-kuasa besar dunia dengan matlamat perjuangannya yang tersendiri.

Terdapat juga operasi ketenteraan Turkey untuk menghapuskan para pejuang Kurdistan yang dianggap mengancam keselamatan Turkey di Syria.

Kempen untuk memerangi kumpulan Negara Islam di Syria turut diketuai oleh Amerika.

Pernah mendesak supaya Encik Bashar berundur, kuasa-kuasa Barat kini berusaha untuk mencari satu penyelesaian politik bagi meredakan konflik di Syria.

“Pada hari ini, rejim Syria tidak dapat diterima kembali ke dalam sistem antarabangsa dan tidak boleh berada di luar sistem itu,” kata seorang penyelidik berpangkalan di Damsyik, Syria, Encik Thomas Pierret kepada AFP.


Encik Bashar yang merupakan seorang pakar mata kini berada dalam dekad ketiga kekuasaan dan pemerintahannya kemungkinan berkekalan kerana puluhan ribu penduduk Syria yang menuntutnya supaya berundur daripada tampuk kuasa kini melarikan diri ke luar negara kerana perang, dipenjarakan atau sudah terkorban berikutan peperangan saudara. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >