DALAM kehidupan Singapura yang berbilang bangsa dan agama, ia menjadi satu perkara yang biasa melihat keluarga menyambut dua perayaan yang berbeza.
Namun tidak ramai yang mampu merasakan kemeriahan perayaan dua kaum berbeza.
Justeru bagi Cik Amanina Nur'iffah Muhammad Yusman, beliau menganggap dirinya bertuah kerana dilahirkan dalam keluarga berbilang bangsa.
"Mungkin tidak ramai yang dapat merasakan sambutan Hari Raya dan Tahun Baru Cina bersama-sama keluarga.
"Oleh itu, ini merupakan satu perkara yang agak istimewa bagi keluarga kami," kata Cik Amanina, 37 tahun.
Meskipun meraikan Tahun Baru Cina menjadi satu tradisi bagi keluarga Cik Amanina, namun sehingga hari ini, beliau masih lagi menerima pertanyaan dari rakan-rakannya tentang mengapa keluarga beliau menyambut perayaan kaum Cina itu.
"Biasanya saya akan memuat naik gambar-gambar yang kami ambil sewaktu kami berkumpul dan meraikan Tahun Baru Cina bersama di media sosial saya seperti Facebook dan Instagram.
"Dari situ, mereka yang tidak tahu tentang latar belakang keluarga saya selalunya akan bertanya 'kenapa keluarga saya juga menyambut Tahun Baru Cina? Bukankah kita keluarga Melayu?'.
"Jadi saya terpaksa menjelaskan kepada mereka bahawa nenek saya sebenarnya seorang wanita Cina dan telah memeluk agama Islam selepas berkahwin dengan arwah datuk saya dahulu.
"Dan disebabkan itu, kami mahu mengekalkan dan meneruskan tradisi ini agar sebahagian daripada budaya nenek saya, yang juga menjadi budaya kami, tidak akan kami lupakan," tambah beliau.
Setiap tahun, keluarga empat generasi itu biasanya akan mengadakan perjumpaan pada malam sebelum Tahun Baru Cina.
Mereka berkumpul di rumah mak cik beliau yang menjaga neneknya, Cik Habsa Abdullah, kini berusia 86 tahun.
Seramai 30 ahli keluarga termasuk tujuh orang cicit Cik Habsa akan berkumpul menyambut Tahun Baru Cina bersamanya.
Seperti keluarga kaum Cina yang lain, tradisi malam Tahun Baru Cina masih dikekalkan.
Mereka akan mengadakan jamuan 'steamboat' dengan bahan-bahan yang halal serta memberikan paket merah.
"Suasana pada malam itu sama seperti apabila kami berkumpul pada hari pertama Hari Raya. Memang seronok," kata Cik Amanina lagi.
Sebagai seorang ibu, Cik Amanina turut berkongsi tentang tradisi keluarganya itu kepada dua orang anak kecilnya yang berusia dua dan tujuh tahun, dengan harapan mereka juga dapat teruskan tradisi ini di masa hadapan.
Memandangkan tahun ini merupakan kali pertama mereka dapat berkumpul ramai-ramai pada Tahun Baru Cina, selepas sekatan Covid-19 dilonggarkan, Cik Amanina berkata mereka telahpun membuat perancangan dan persiapan lebih awal.
"Beberapa minggu sebelum Tahun Baru Cina, mak cik saya sudahpun bertanya siapa yang akan hadir pada perjumpaan itu nanti.
"Beliau mahu membuat persiapan dan membeli bahan-bahan untuk dimasak dan barang keperluan lain.
"Kalau pada ketika tempoh Covid-19 dahulu, hanya beberapa ahli keluarga sahaja yang dibenarkan berkunjung.
"Ini merupakan tradisi yang kami telah lakukan sejak sebelum saya dilahirkan, jadi kali ini memang kami tidak sabar untuk bertemu pada malam Tahun Baru Cina," ujarnya.