Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Buku terbitan tempatan ingin bangkit minat golongan muda dalam bahasa

Ungu Pen lancar dua buku fiksyen bahasa Melayu sempena Pesta Penulis S'pura 2022
Dec 18, 2022 | 05:30 AM



BAGI menyelesaikan masalah kekurangan buku fiksyen Melayu tempatan bagi kanak-kanak dan remaja, penerbit bebas tempatan, Ungu Pen, baru-baru ini melancarkan dua buku cerita sebagai sebahagian daripada Pesta Penulis Singapura 2022.



Buku-buku tersebut bertajuk Telefon Bimbit Puaka dan Bebas: Antologi Fiksyen Remaja.



Pengasas bersama Ungu Pen, Cik Maria Mahat, berharap kedua-dua buku akan dapat menyokong guru dan pelajar dalam usaha mengekalkan dan meningkatkan minat dalam bahasa Melayu.



Telefon Bimbit Puaka yang ditulis oleh Cik Atikah Hakim, seorang pendidik sekolah menengah, disasarkan untuk kanak-kanak berusia lapan tahun ke atas.



Ia menceritakan kisah Haziq, seorang pelajar sekolah rendah yang mempunyai pengalaman aneh dengan telefon bimbit barunya dan mengalami pertemuan misteri semasa berkhemah dengan rakan sekolahnya.



"Saya mahu para pembaca terhibur, mula minat atau menjadi semakin minat untuk membaca buku bahasa Melayu.



"Saya berharap ia akan menjadi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk menulis agar bahan bacaan bahasa Melayu Singapura akan terus berkembang dan menjadi warisan anak-anak muda pada masa akan datang," ujar Cik Atikah.



Cik Atikah juga turut menulis satu lagi buku yang dilancarkan Ungu Pen, iaitu Bebas: Antologi Fiksyen Remaja.



Ia merupakan koleksi 10 cerpen menyelidiki isu-isu yang sering dihadapi oleh remaja seperti konflik dengan rakan-rakan dan keluarga serta, isu-isu sosial yang kurang dibincangkan.



Pantang Dicabar, yang merupakan salah satu daripada sepuluh cerpen tersebut, ditulis oleh penerima Anugerah Pena Emas, Cik Junaidah Baharawi.



"Sebagai ibu kepada dua kanak-kanak, saya ingin menyerlahkan isu-isu yang dihadapi oleh remaja hari ini.



"Cerpen saya adalah mengenai persahabatan antara tiga remaja dan bagaimana mereka mesti bekerjasama untuk menyelesaikan konflik mereka.



"Saya kerap bercakap dalam bahasa Inggeris di tempat kerja dan di rumah, jadi saya mahu menanamkan minat terhadap kanak-kanak dan remaja untuk membaca dan menulis lebih banyak lagi dalam bahasa Melayu," kata pekerja sosial berusia 47 tahun itu.



Koleksi cerpen itu juga berfungsi mendedahkan pembaca kepada penulisan kreatif dan imaginatif.



Begitulah cerpen Cik Zahra Alsagoff, yang berjudul Janji Cakerawala.



"Saya mahu menulis tentang fiksyen sains, dan mendasarkan cerita saya dalam suasana yang menarik.



"Ia adalah mengenai sekumpulan kawan yang perlu mencari planet alternatif untuk hidup kerana perubahan iklim," kata pelajar Universiti Nasional Singapura (NUS) yang berusia 19 tahun itu.



Cik Zahra berharap sastera Melayu akan lebih dihargai pada masa akan datang dan akan mendapat lebih banyak pembaca dari orang muda.



Beliau, bersama-sama dengan Cik Maria, Cik Atikah, dan Cik Junaidah menghadiri pelancaran kedua-dua buku tersebut awal bulan lepas.



Ungu Pen ditubuhkan pada 2016 oleh Cik Maria dan suaminya, Encik Mohd Tahir Talib, dalam usaha menjadikan sastera Melayu lebih mudah diakses bagi golongan muda.



Beliau menjelaskan bahawa terdapat kekurangan buku bahasa Melayu yang relevan untuk gaya hidup semasa.



"Untuk buku-buku yang kini berada di pasaran, mereka sama ada diimport dari Malaysia atau mereka tidak mencerminkan budaya Singapura dengan tepat, dengan itu, menjadikannya tidak relevan bagi pembaca kami.



"Saya ingin menggunakan peluang ini untuk menerbitkan kisah-kisah mengekalkan dan menimbulkan rasa ingin tahu mereka, dan lebih penting lagi mewujudkan platform menjemput pembaca muda memikirkan kemungkinan dan penyelesaian," jelas Cik Maria.



Sejak beberapa tahun yang lalu, beliau telah menjalankan panggilan terbuka bagi orang yang berminat menghantarkan tulisan mereka supaya dipertimbangkan bagi terbitan.



Inilah yang membawa kepada penciptaan dan penerbitan Telefon Bimbit Puaka, Bebas: Antologi Fiksyen Remaja, dan banyak buku lain yang dijual di laman web Ungu Pen.



Mereka yang ingin menyokong sastera Melayu tempatan atau berminat membeli kedua-dua buku tersebut boleh melawat laman web Ungu Pen di https://ungupen.com/.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >