Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Gigih sediakan makanan berkhasiat bagi golongan susah walau terlantar sakit di katil

Jan 30, 2023 | 05:30 AM



KEUPAYAANNYA untuk bergerak semakin lama semakin terhad.



Meskipun sudah beberapa tahun menghadapi beberapa masalah kesihatan - termasuk penyakit kencing manis dan buah pinggang - keadaannya bertambah teruk setelah beliau mengalami serangan jantung ketiga lewat tahun lalu.



Akibatnya, beliau tidak dapat lagi menggerakkan anggota tubuhnya dari paras pinggang ke bawah dan terpaksa menjalani kehidupan harian dari atas katilnya di rumah.



Pergerakannya mungkin terhad, namun ini tidak menghalang minda pengasas badan amal Free Food For All (FFFA) memikirkan cara terbaik membela nasib mereka yang memerlukan, terutama sekali dalam menyediakan makanan harian berkhasiat.



Semasa ditemui di rumahnya baru-baru ini, Encik Nizar Mohamed Shariff - yang terpaksa kekal dalam keadaan baring kecuali jika perlu menjalani rawatan dialisis - baru selesai mesyuarat dengan kakitangannya yang diadakan melalui Zoom, dipaparkan menerusi skrin besar di biliknya.



"Ada juga yang menyuruh saya untuk utamakan kesihatan, fikir tentang keadaan saya.



"Tapi, saya rasa lebih senang apabila dapat melakukan sesuatu secara proaktif, seperti memikirkan tentang FFFA, kerana ia membantu saya dan membawa minda saya keluar daripada kemurungan dan kesedihan," ujar Encik Nizar, 50 tahun, sambil mengakui mengalami kemurungan apabila mendapat tahu beliau mungkin tidak lagi dapat berjalan seperti biasa.



Menurut Encik Nizar, dalam usaha mencapai matlamat pertubuhan itu, FFFA kini menjalankan beberapa program yang bertujuan memastikan setiap isi rumah mempunyai akses kepada makanan berkhasiat.



Ini termasuk melalui program KidsLuvIt! yang menyediakan sarapan pagi berkhasiat bagi kanak-kanak dari keluarga yang tinggal di flat sewa bagi memastikan mereka bersedia untuk hari sekolah dan dapat belajar dengan baik.



Selain itu, mereka turut menyediakan sebuah peti ais masyarakat atau Community Fridge di Yishun Ring Road sejak dua tahun lalu, di mana penduduk Yishun boleh menikmati hasil lebihan atau makanan tidak terjual.



Makanan itu kemudiannya boleh diambil oleh mereka yang memerlukannya, sekali gus mengurangkan pembaziran dan membantu mereka yang memerlukan.



Sajian sedia dimakan (RTE) halal dalam paket retort - sejenis bungkusan gabungan lapisan plastik dan logam - turut disediakan bagi keluarga kurang bernasib baik.



RTE FFFA ini mampu bertahan hingga dua tahun dan boleh dipanaskan menggunakan pek pemanas.



Bagi mempelbagaikan sumber dana yang diperlukan FFFA, pertubuhan tersebut kini mengusahakan supaya RTE tersebut dapat dijual kepada orang ramai melalui mesin layan diri.



Hasil jualan tersebut akan disalurkan kepada program serta inisiatif yang diusahakan badan tersebut.



Selaras dengan usaha tersebut, FFFA akan melancarkan satu kempen mengumpul dana mulai 1 hingga 13 Februari melalui penjualan 'teddy bear' FFFA.



Anak patung beruang tersebut diletakkan dalam beg mesra alam yang dihasilkan oleh kakitangan perusahaan sosial Commenhers dengan mengitar semula cebisan kain terpakai.



Encik Nizar menekankan pentingnya bagi setiap badan amal mempelbagaikan usaha - termasuk untuk memikirkan cara inovatif - bagi menarik perhatian orang ramai menyokong usaha mereka serta untuk menjana pendapatan, terutama sekali dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini.



"Dengan begitu banyak perbualan tentang inflasi, keperluan untuk setiap individu untuk mempunyai daya tahan dalam keadaan yang mencabar, orang ramai juga agak berjaga-jaga.



"Tapi sebagai badan amal, tugas kami adalah untuk memikirkan cara lain supaya orang ramai dapat terus menyumbang. Antaranya adalah dengan menggalak orang ramai menyumbang tanpa merasakan mereka sedang keluarkan wang hanya untuk derma," katanya.



Jelasnya, antara inisiatif yang sedang diusahakan berdasarkan konsep ini adalah untuk menawarkan produk yang boleh dibeli melalui FFFA - contohnya makanan atau sayur-sayuran - di mana hasil jualan tersebut akan disalurkan kepada membiayai inisiatif dan program yang dilaksanakan.



Menurut Encik Nizar lagi, visi FFFA adalah untuk menjadi badan amal yang sentiasa sentiasa mencari idea can cara terbaik untuk berkhidmat kepada masyarakat.



Katanya: "Keadaan sekarang memang mencabar dan ini membuat ada sesetengah orang yang bertanyakan 'Jadi, apa yang boleh kita lakukan?'



"Ini perkataan yang tak boleh saya terima, kerana kita perlu sedar memang sentiasa ada sesuatu yang boleh kita lakukan untuk membantu dan menyumbang.



"(Bagi FFFA) langkah kami seterusnya sekarang adalah untuk memastikan keupayaan kakitangan kami selaras dengan keperluan zaman dan juga dapat memenuhi apa yang diperlukan masyarakat."



- SITI AISYAH NORDIN




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >