Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

SEKITAR RAMADAN: KAMPUNG LORONG BUANGKOK

Kampung tunggal... berat mata memandang berat lagi bahu memikul

Apr 16, 2022 | 05:38 AM



KELIHATAN seekor tupai sedang berlari-lari di sepanjang kabel telefon di hadapan sebuah rumah kampung berwarna hijau terang. Ada juga dua tiga ekor ayam yang sibuk menguis-kais di sekeliling tapak surau yang berdekatan.



Penghuni-penghuni rumah yang selainnya langsung tidak kelihatan. Pintu-pintu papan mereka tertutup rapat, biarpun sinar mentari sudah galak mengasak yang menandakan waktu tengah hari sudah menjengah rupa.



Dan di satu sudut, tubuh lemah seorang wanita tua kelihatan sedang perlahan-lahan menyapu takungan air hujan yang bercampur debu, ranting dan daun kering di hadapan pintu rumahnya dengan sapu lidi, dek hujan yang turun dengan lebatnya pagi tadi.



Senario ini bukanlah daripada sebuah rancangan drama dari negara seberang. Inilah realiti seharian Mak Itam, salah seorang penghuni rumah kampung terakhir di Singapura di Kampung Lorong Buangkok yang sering mengalami banjir dan kebocoran.



Kampung Lorong Buangkok merupakan kampung terakhir di Pulau Singapura, yang pada asalnya merupakan sebuah kawasan paya yang dibeli oleh seorang penjual ubat cina Sng Teow Koon pada tahun 1956. Satu lagi kampung yang masih wujud ketika ini terletak di Pulau Ubin.



Mak Itam, atau nama sebenarnya, Habsah Binti Roheng, 76 tahun, ialah empunya rumah kampung berwarna hijau dan telah menetap di situ sejak kecil lagi bersama keluarganya. Beliau adalah antara salah seorang daripada 12 pemilik rumah Melayu yang masih tinggal di kampung itu.



Satu demi satu adik beradiknya meninggalkan rumah itu setelah mendirikan rumahtangga. Apabila orang tuanya telah tiada, Mak Itam terus menetap di situ bersama suami dan anak-anaknya. "Masa kecil dulu memang seronok kita main tingting, main 'rounders'…" imbas Mak Itam sambil menunjukkan parut lama akibat terpukul batang kayu sewaktu bermain 'rounders'.



Secara mata kasar, mereka yang tidak mengenali rumah kampung, memang tidak dapat membayangkan masalah yang dihadapi Mak Itam di dalam rumah hijaunya yang telah lapok ditelan zaman ini. Hakikatnya, apabila hujan turun, Mak Itam akan bergegas mencari baldi atau besen untuk menadah air hujan yang menembusi atap zinknya yang rapuh.



Air hujan juga akan masuk dari tepi dinding kayu yang kebocoran, lantas membanjirkan lantai ruang tamu. Dari dalam rumah, sebahagian daripada penutup bumbungnya yang diperbuat daripada kadbod tampak terjuntai - akibat resapan air dan hanya menunggu masa untuk jatuh.



Yang membimbangkan ialah keretakan di celah-celah tiang yang juga merupakan lokasi suis lampu dan perkakas elektrik yang lain. Beroti kayu yang suatu masa dahulu mengukuhkan struktur rumah ini, semakin lemah dimakan rakus anai-anai.



Keadaan rumah Mak Itam memerlukan pembinaan semula dan pengubahsuaian yang besar, sekali gus memakan perbelanjaan kos yang tinggi. Setelah ditanya beberapa kontraktor, anggaran kos untuk perbaiki rumahnya akan mencecah tidak kurang daripada $80,000.



"Dulu rumah ni rumah panggung, tapi bapak turunkan, jadi rumah bawah, tapi sebab rumah kita kawasan tanah rendah, apabila hujan, air naik," keluh Mak Itam yang tinggal di rumah itu berduaan dengan cucunya sekarang, setelah bapanya, anak sulung Mak Itam meninggal dunia akibat serangan jantung dua tahun lalu. Mak Itam mempunyai dua lagi anak yang telah pun tinggal berasingan setelah mendirikan rumah tangga.



"Aslam, arwah anak Mak Itam, suka bawa kawan-kawannya datang ke rumah dan mereka kalau ke sini, akan duduk lama sampai malam," kata Mak Itam yang sangat merindui anaknya sulungnya Allahyarham Muhammad Aslam. "Semenjak dia tak ada, rumah ni sunyi, sebab dialah peneman Mak Itam kalau hendak ke mana-mana".



Namun begitu, Mak Itam masih lagi menerima lawatan daripada teman-teman arwah anaknya yang rajin bertanya khabar. Mereka juga prihatin dengan keadaan rumah Mak Itam dan ingin membantu.



Apabila ditanya jika beliau mahu berpindah ke rumah pangsa seperti ahli keluarga yang lain, Mak Itam dengan tidak berfikir dua kali menolak saranan itu sama sekali. "Mak Itam tak nak pindah. Mak Itam nak duduk sini sampai bila-bila", tegas Mak Itam yang sudah terbiasa dengan kawasan rumahnya dan selalu menerima tetamu pada hujung minggu.



Selain menerima tetamu, Mak Itam juga mengaku rumahnya sudah banyak kali digunakan syarikat penerbitan untuk pembikinan drama tempatan. Antara yang terbaru ialah dalam siri drama 'Bidadari' yang baru saja menemui penonton Suria.



Kadangkala juga, cikgu-cikgu sekolah akan datang membawa anak murid mereka untuk mengenal secara dekat tentang kehidupan di kampung. "Kalau budak-budak sekolah datang, mereka akan tanya bermacam-macam soalan mengenai rumah kampung dan Mak Itam seronok melayan mereka", katanya dengan nada riang.



Pada hujung minggu, Kampung Lorong Buangkok ini tidak lekang dengan pengunjung-pengunjung yang ingin merasakan suasana kampung yang hampir pupus di Singapura yang sekarang dikelilingi dengan jalan raya dan estet perumahan pangsa yang telah didirikan berdekatan.



Tiada siapa yang tahu berapa lama lagi Kampung Lorong Buangkok akan dibenarkan wujud, tetapi dengan adanya lagi kampung ini, generasi muda akan meraih pendidikan selain pengalaman yang mereka tidak pernah rasakan sebelum ini.



Inilah antara cebisan sejarah Melayu yang tinggal untuk kita mengimbau nostalgia Singapura pada suatu masa dahulu yang perlu dipertahankan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >