Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

'Kejutan budaya' pasangan kahwin campur sambut Tahun Baru Cina

Sambutan Tahun Baru Cina bagi kebanyakan keluarga di Singapura tidak semeriah sejak sekitar dua tahun lalu apabila pandemik Covid-19 melanda. Dengan tiadanya sekatan serta langkah jarak selamat, ramai yang akan mengambil kesempatan ini untuk berdampingan dan mengeratkan talian keluarga, termasuk pasangan antara kaum yang diwawancara Berita Minggu.
Jan 23, 2023 | 02:20 PM



DARIPADA mengamalkan tradisi baru hingga mempelajari tentang pantang larang yang harus atau tidak seharusnya dilakukan sebelum dan semasa menyambut Tahun Baru Cina (CNY).



Ini merupakan beberapa penyesuaian yang perlu dibuat oleh Cik Maisharaqh Mustajab sewaktu beliau menyambut Tahun Baru Cina buat pertama kali dua tahun lalu.



Walau bagaimanapun, disebabkan penularan Covid-19, sambutan perayaan itu tidak semeriah seperti yang Cik Maisharaqh harapkan, lebih-lebih lagi ia merupakan kali pertama beliau menyambutnya bersama suami, Encik Jason Abdullah Liw dan keluarga mertua.



"Sambutan CNY pertama kami secara kebetulan berlaku semasa permulaan pandemik Covid-19. Jadi ia bukanlah sambutan yang meriah seperti biasanya



"Namun begitu, saya rasa ia masih merupakan satu pengalaman pertama yang amat menarik bagi saya," kata beliau.



Dengan penularan Covid-19 menjadi semakin membimbangkan, sambutan Tahun Baru Cina turut terjejas selepas beberapa sekatan dilaksanakan seperti menghadkan bilangan pengunjung ke rumah, sejajar dengan langkah yang diambil pemerintah untuk membendung penularan virus itu.



Cik Maisharaqh, 31 tahun, dan Encik Liw, 32 tahun, kedua-duanya bekerja dalam industri kreatif, mendirikan rumah tangga pada 2020. Encik Liw telah memeluk agama Islam sekitar dua tahun sebelum perkahwinan mereka dilangsungkan.



Sejak beliau memeluk Islam, Encik Liw berkata walaupun kebanyakan amalan Tahun Baru Cina kekal sama, sebagai seorang Muslim, beliau akan memastikan bahawa makanan dan kuih-muih yang beliau ambil adalah halal.



Beliau juga bersyukur kerana kedua ibu bapanya memahami akan keperluan ini apabila menghidangkan sajian pada malam Tahun Baru Cina ketika mereka sekeluarga berkumpul.



"Ibu bapa saya hanya memakan sayur-sayuran jadi memandangkan keutamaan Tahun Baru Cina adalah mengadakan jamuan makan malam bersama keluarga, kami tidak menghadapi sebarang masalah dan tidak perlu bimbang tentang pemakanan.



"Saya juga akan periksa makanan jika ia halal atau tidak sebelum mengambilnya," jelas beliau.



Berkongsi tentang beberapa perkara yang beliau pelajari tentang perayaan Tahun Baru Cina sejak menjadi sebahagian daripada keluarga suaminya, Cik Maisharaqh berkata:



"Banyak perkara baru yang telah saya pelajari antaranya tentang kuplet yang sering dipasang di dinding rumah ketika musim perayaan ini.



"Dalam pada itu, saya juga belajar tentang pantang larang seperti mengelak daripada menyapu rumah sewaktu malam Tahun Baru Cina."



Kuplet yang dimaksudkan merujuk kepada dua baris puisi pelengkap, selalunya ditulis pada kertas merah atau diukir pada tiang kayu. Ia melambangkan tuah dan kemakmuran.



Dalam pada itu, Cik Maisharaqh juga perlu mengingatkan dirinya untuk tidak memakai pakaian yang berwarna hitam atau gelap pada Tahun Baru Cina ketika keluar beraya.



Jika terlupa, suaminya, Encik Liw yang akan mengingatkan beliau.



Mempelajari tentang perkara-perkara ini memberi Cik Maisharaqh penghargaan yang lebih mendalam tentang budaya dan tradisi Cina.



"Melalui beberapa perbualan kami sekeluarga, saya mendapati bahawa terdapat banyak amalan yang agak serupa antara budaya Melayu dan Cina juga," tambahnya.



Seperti kebanyakan golongan mualaf Cina lain, Encik Liw berkata beliau sering ditanya sama ada beliau masih menyambut Tahun Baru Cina.



"Ya saya banyak terima pertanyaan ini. Orang ramai sering keliru tentang bab agama dan budaya, oleh itu ramai yang bertanggapan bahawa saya tidak lagi menyambut Tahun Baru Cina selepas memeluk Islam.



"Saya akan menjelaskan bahawa tanggapan mereka itu tidak tepat.



"Saya seronok apabila dapat menyambut Tahun Baru Cina bersama keluarga, dan juga isteri saya yang gemar dengan makanan 'steamboat' ketika kami sekeluarga berkumpul pada malam perayaan."



Ditanya mengenai nasihat yang akan mereka berikan kepada pasangan antara kaum lain yang meraikan Tahun Baru Cina bersama buat kali pertama, Encik Liw berkata:



"Ia sebenarnya masa yang baik untuk berhubung dengan orang yang anda sayangi dan meluangkan masa dengan mereka.



"Sama seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri - kami juga banyak melakukan kunjungan, memberikan paket merah dan juga menikmati kuih-muih." - FAKHRURADZI ISMAIL




"Banyak perkara baru yang telah saya pelajari antaranya tentang kuplet yang sering dipasang di dinding rumah ketika musim perayaan ini.
Dalam pada itu, saya juga belajar tentang pantang larang seperti mengelak daripada menyapu rumah sewaktu malam Tahun Baru Cina."
- Cik Maisharaqh Mustajab.



"Ibu bapa saya hanya memakan sayur-sayuran jadi memandangkan keutamaan Tahun Baru Cina adalah mengadakan jamuan makan malam bersama keluarga, kami tidak menghadapi sebarang masalah dan tidak perlu bimbang tentang pemakanan.
Saya juga akan periksa makanan jika ia halal atau tidak sebelum mengambilnya.''
- Encik Jason Abdullah Liw.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >