Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

SETULUS KATA

Maaf, Cik Kak, perlu beli atau sekadar mahu?

Dec 11, 2013 | 12:14 AM



APAKAH yang boleh dilakukan dengan wang sebanyak $60,000?


Bagi seorang wanita, wang itu boleh ‘lenyap’ dalam masa tiga bulan hanya untuk membeli pakaian dan kasut!


Ehhh... kerja gila itu! Adakah ia satu keperluan atau kemahuan?


Bagi wanita berusia 30 tahun dan bertugas sebagai arkitek itu, kemahuannya telah berubah menjadi keperluan.


Ini bukanlah cereka tetapi kisah sebenar yang berlaku di Singapura.


Sebagai seorang yang gila kasut, saya begitu terkejut dengan maklumat yang dikongsi Pakar Ketagihan, dari Promises Winslow Clinic, Dr Munidasa Winslow.


Sama seperti ramai wanita, saya juga jenis yang suka berkunjung ke pusat-pusat beli-belah. Pantang rasanya kalau terdengar berita tentang promosi jualan di gedung atau sebagainya, kami ghairah berkongsi informasi malah sampai mengatur pelan untuk ‘menyerbunya’.


Apabila di sana, tengok yang itu rasanya nak! Tengok yang ini pun nak! Pendek kata, asyik nakkkk aja!


Kalau kaum lelaki pantang nampak perempuan berdahi licin, kaum wanita pula (sila tarik nafas panjang dulu ya) mudah rambang mata apabila terpandang pakaian cantik, beg berjenama, kasut, koleksi barangan dapur yang terkini serta kelengkapan rumah.


Godaannya sentiasa ada di hadapan mata apatah lagi di musim perayaan hujung tahun.


Di sana sini terdapat promosi jualan dengan pelbagai barangan dengan potongan harga.


Kalau dihujani dengan tarikan diskaun sebegitu memang kadangkala sukar untuk berfikir secara waras.


Mak saya selalu berpesan: “Biar ada (duit) untuk makan, untuk pakai, untuk simpan. Dah penat-penat kerja. Kalau nak beli, belilah.”


Eh... eh... macam dapat lampu hijau ‘gitu! Best ‘kan?


Tetapi saya lebih cenderung cuci mata daripada terus berbelanja.


Mengapa? Mungkin kerana saya tidak dibesarkan dalam kemewahan. Semasa di sekolah, saya telah mula bekerja sambilan di kedai buku, mencuci periuk di gerai makan dan sebagainya. Malah, saya terpaksa mengumpulkan wang sendiri untuk belajar memandu ketika itu.


Maka ia sekali gus mengajar saya supaya memberi keutamaan berdasarkan apa yang lebih perlu. Sebelum saya berbelanja, biasanya saya akan mempunyai semacam senarai dalam fikiran apa yang saya perlukan.


Tetapi ia tidak membuat saya kalis godaan.


Pernah juga beberapa kali (banyak kali jugalah tu), saya TER-beli apa yang tidak perlu.


Pembelian itu biasanya berlaku ketika saya melalui proses retail therapy – di mana saya cuba mencari saluran pereda tekanan dengan berbelanja. Proses pembelian saya ada kitarannya. Ada ketika, saya akan membeli sebegitu banyak pakaian atau berpasang-pasang kasut sekali gus. Kemudian, ia disusuli pula dengan ‘tempoh bertenang’.


Maka itu, dapat saya fahami mengapa sesetengah wanita berasa nikmat ketika berbelanja. Ia ibarat saluran penyalur stres dan cara memanjakan diri. Cuma masalah timbul apabila ia sampai ke tahap yang disifatkan sebagai keterlaluan iaitu berdasarkan kemahuan dan bukan keperluan.


Apakah yang berlaku dalam pemikiran golongan yang suka berbelanja ini?


Konsultan psikiatri di Winslow Clinic, Pusat Perubatan Novena, Dr Winslow, menambah: “Sama seperti alasan mengapa seseorang itu didesak dorongan nafsu yang kuat dan menjadi ketagih pada alam siber, bahan lucah dan permainan interaktif atau game, begitu juga dengan shopping.


“Tingkah laku itu akan membuat seseorang berasa amat berkuasa, hebat atau di dalam kawalan. Namun di sebalik semua itu, jiwanya mungkin sebenarnya lemah dan tidak berdaya, tidak berkemampuan atau kurang pencapaian.


“Ia adalah satu cara mengebaskan diri secara emosi atau melarikan diri daripada apa jua perkara yang tidak membahagiakan. Inilah dunia fantasi di mana anda menjadi kaya dan berkuasa memandangkan dunia fantasi tampak jauh lebih hebat daripada dunia sebenar.”


Maka itu, sebelum anda menghulurkan wang tunai mahupun kad kredit, apa kata anda mengambil masa buat seketika memikirkan sama ada pembelian anda itu didorong emosi semata-mata atau barangan itu memang anda perlukan. Jadikanlah ia semacam garis panduan dalam usaha membuat pembelian yang lebih bijak.


“Adalah perlu mengenal pasti apakah isu-isu di sebaliknya,” nasihat Dr Winslow.


Menyentuh kes yang beliau ketengahkan awal sebelum ini, ternyata wanita yang kemaruk membeli-belah dalam talian itu sedar beliau memerlukan rawatan. Apabila dikaji, rupa-rupanya beliau berhadapan masalah dengan pasangannya sehingga menyebabkan beliau memasuki ‘dunia fantasi’ dan bertindak sedemikian.


Kes itu kemudian ditangani secara lebih realistik melalui garis panduan berbelanja tanpa penggunaan kad kredit.


Mudah-mudahan kes itu dapat membuka mata kita agar lebih menyedari dan mempersoalkan tindakan kita sendiri.


Berbalik kepada diri sendiri, bilakah kali terakhir saya membeli sesuatu yang ‘manis’? Mmm... sejujurnya, saya tidak ingat! Mungkin sudah tiba masanya saya ke pusat beli-belah untuk membelikan hadiah buat diri sendiri!


Tetapi nak beli apa? Kejap ya, saya fikirkan dulu... perlu atau sekadar mahu?


 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >