SETULUS KATA

Mengatasi payah jadi ayah

SEBAGAI bapa dua anak remaja lelaki, tentulah saya tersentuh hati dan teruja dengan ucapan Dr Mohamad Maliki Osman dalam satu sidang khas bagi kaum bapa minggu lalu.

Menteri Negara Pertahanan merangkap Pembangunan Negara itu menyeru supaya kita menjadi bapa teladan – iaitu ketua keluarga – yang lebih berkesan.

Banyak aspek disentuh Dr Mohamad Maliki, siap dengan statistiknya sekali.

Cakap ringkas, beliau menyesali sikap sesetengah bapa Melayu yang enggan mempertingkat diri demi mememperbaiki mutu kehidupan keluarga sendiri.

Ia membuat saya merenungi diri – jika dua anak saya itu diberi peluang menilai prestasi saya sejauh ini sebagai bapa, apakah agaknya markahnya?

Kalau difikirkan, dalam zaman ini menjadi bapa menjadi semakin mudah.

Apa tidaknya, sebagaimana kata Dr Maliki, di Singapura, pemerintahnya menyokong dan menyajikan pelbagai inisiatif bagi penglibatan bapa di rumah.

Bukan hanya cuti jaga anak, terdapat banyak kemudahan di serata pulau yang boleh dimanfaatkan untuk mempererat lagi jalinan.

Misalnya, ada kebun bunga, tempat riadah dan bersukan, daya tarikan dan tempat makan.

Namun, maaf cakap, dengan adanya kesemua itu, saya harus angkat tangan – bukan senang jadi bapa, apatah lagi dalam sekitaran begitu bersaing di watan ini.

Ambil contoh diri saya – sekarang ini saja saya menghabiskan masa sekitar 12 jam di luar rumah untuk bekerja.

Sebelum syuruk, saya hantar anak ke sekolah. Beberapa jam selepas itu, saya bertolak ke tempat kerja. Saya pulang lewat malam, jadi berpeluang ‘tengok muka’ anak saya paling banyak dua jam – itu pun kalau mereka belum tidur.

Jadi, ini membawa empat implikasi:

Pertama, saya harus bijak memanfaatkan sepenuhnya apa saja masa yang ada.

Sejam pun, sejamlah – yang penting, bagaimana saya menghabiskan sejam itu bersama mereka tanpa kedua-dua pihak terasa seolah-olah mereka terpaksa.

Kedua, saya harus memanfaatkan masa hujung minggu sebanyak mungkin.

Itu pun berat – memandangkan anak ada kerja sekolah ataupun CCA (kegiatan kokurikulum).

Ketiga, hendak atau tidak, saya terpaksa menyerahkan kebanyakan amanah dan tanggungjawab mengasuh anak kepada isteri.

Keempat, dengan kurangnya kehadiran saya, saya harus memikirkan bagaimana menjadi bapa yang berkesan sungguh pun tidak hadir di sisi anak-anak saya.

Terus terang, salah satu kekesalan saya adalah walaupun Rasulullah saw menjadi contoh teladan paling unggul bagi umatnya, sayangnya kita tidak dapat banyak peluang menyaksikan baginda sebagai seorang bapa kepada anak lelakinya yang meninggal dunia pada usia sangat muda.

Yang banyak ada adalah layanan baginda yang begitu mesra tetapi tetap tegas kepada empat anak perempuannya – sehinggakan baginda ditukil bersabda sanggup menghukum keras anak perempuannya Fatimah jika buat jenayah, sungguhpun beliau darah dagingnya sendiri.

Apa agaknya hikmahnya?

Bagi saya, ia menjadi peringatan bahawa sayalah sebagai bapa yang harus mewujudkan model kebapaan sendiri kepada dua anak lelaki saya itu.

Ia tentulah harus bersandarkan prinsip-prinsip asas keibubapaan yang diwariskan Nabi – misalnya, pendekatan berbeza-beza terhadap anak pada usia tujuh tahun pertama, kedua dan ketiga hidupnya.

Paling mencabar adalah sebagaimana saya sebut tadi – hadir sebagai bapa sungguhpun saya tiada secara jasmani di sisi anak saya.

Ia satu realiti kehidupan yang harus ditimbangkan semua pihak – baik pemerintah, agensi, sekolah mahupun keluarga itu sendiri – dalam menangani dan menyokong isu kebapaan.

Bak simpulan bahasa, ‘ibu’ biasanya digunakan bagi tempat – ibu pertiwi, ibu pejabat, ibu kota dan ibu negeri.

Sebaliknya, ‘bapa’ digunakan bagi perkara yang abstrak, tak nampak, seperti bapa sosialisme dan bapa kemerdekaan.

Sejak Zaman Batu dulu pun, para sejarawan mencatatkan kaum lelaki sebagai pemburu, yang keluar berjam-jam atau berhari-hari meninggalkan tempat kediaman yang dijaga kaum perempuan – bak ayah dan ibu dewasa ini.

Memanglah kaum bapa seharusnya membantu juga kaum ibu di rumah – seperti basuh pinggan mangkuk, lap lantai dan gosok baju.

Ini sebagaimana dilakukan Nabi sendiri dulu.

Namun, pada akhirnya, bagi saya ia peranan bantuan dan sokongan – tanpa bermaksud kaum Adam mengambil alih sepenuhnya peranan kaum Hawa sebagai suri dan ibu.

Jadi, bagaimanakah dapat saya hadir walaupun tidak hadir sebagai bapa?

Bagi saya, caranya adalah menanamkan nilai-nilai moral dan kehidupan asas yang dapat dijadikan panduan anak saya walaupun saya tidak ada di situ.

Bagi saya, itulah peranan realistik yang boleh dan patut sekurangkurangnya saya jalankan.

Dan apabila saya meninggal dunia nanti, besar harapan saya agar kehadiran saya kelak sebagai bapa terus terasa, walau saya tiada.

Bak kata pujangga dari Amerika, Anne Sexton (1928-1974):

“Saya tidak kisah siapa sebenarnya bapa saya; yang penting ialah saya ingat siapa dia.”

 

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:00
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 36
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.