Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Usah jadi artis ‘mi segera’

Dec 11, 2013 | 12:08 AM



BAGAIKAN cendawan tumbuh selepas hujan, berpusu-pusu bakat baru membanjiri persada seni Nusantara.


Hampir setiap hari, ada sahaja penyanyi, pelakon, pengacara, model atau pelawak ‘hijau’ yang kisahnya menjadi santapan mata di surat khabar, majalah atau media sosial.


Kadangkala pening lalat juga saya dibuatnya apabila mendapati nama-nama yang asing tapi diuar-uarkan bagai nak rak.


Siapa Kaka yang kini dikaitkan bercinta dengan Zizan Razak? Apabila saya google, jawabnya: “Ooohhh... Penyanyi dan anak saudara Ratu Rok, Ella, rupanya...baru saya tahu!”


Er... Fattah Amin dalam drama popular TV3, Playboy Itu Suami Aku... Siapa tu?


Jawab sahabatku, Encik Google: “Dialah juara Hero Remaja 2011/2012, peraduan bakat baru yang menghasilkan pelakon seperti Esma Daniel, Zed Zaidi dan Kamal Adli.”


Maklumlah, dalam era meledaknya program realiti di setiap pelosok dunia, dengan sekelip mata saja, si penjual burger atau pekerja pengiriman boleh bergelar bintang.


Ahad lalu, saya terbang ke Stadium Negara, Kuala Lumpur, untuk membuat liputan final Akademi Fantasia 2013.


Pemuda Sabah, Mohd Faizul Sani, yang bekerja sendiri dan tampil dengan bermacam prop termasuk sampan dan pari-pari menjuarainya dengan persembahan cukup artistik.


Dan saya pasti sedang bahang keputusan AF2013 belum reda, nama-nama seperti Azhael, Amira, Indah, Nabila dan Aisyah Aziz akan tetap bermain di bibir.


Saya ingin lihat mereka Menuju Puncak (judul lagu tema AF) seperti juara atau naib juara AF terdahulu, Hafiz Suip, Stacy dan Adira.


Tidak mustahil kalau suatu hari nanti, finalis AF2013 berjaya, asal saja mereka rajin, merendah hati dan berjiwa waja menghadapi badai industri hiburan.


Peluang terbentang di mana-mana. Buat saja lagu cover dan muat naikkan di laman YouTube dengan aksi-aksi lucu atau senario dramatik, tahu-tahu ‘dipancing’ penerbit album yang galak memerhatikan.


Lewat tahun lalu, saya bertemu penerbit dan komposer Canada, David Foster, yang memiliki sentuhan emas sehingga mampu ‘memetik’ bintang di kalangan ramai penggiat muzik.


Celine Dion, Whitney Houston, Peter Cetera, Charice bahkan penyanyi seberang, Yuna, ‘menjadi’ dek lagu-lagu indahnya.


Di sebalik kehebatan Foster sebagai The Hit Man (jejaka dengan lagu ciptaan hit), beliau teruja membimbing bakat-bakat baru termasuk yang ligat menyanyi di media sosial.


“Saya bahkan mengambil serius saranan teman-teman yang meminta saya melungsuri klip lagu penyanyi YouTube! YouTube – itulah gedung raksasa bintang-bintang akan datang,” jelasnya.


Cuma mungkin ada yang kata, kebanyakan bintang muda sekarang nikmati ‘populariti mi segera’ – cepat dipuji dan dipuja. Sekelip mata, hilang begitu saja!


Perkara ini juga membimbangkan juara The Final 1, Farisha Ishak. Sebagai penyanyi yang baru mencipta nama dalam arena muzik, beliau enggan jadi penyanyi ‘tenggelam-tenggelam timbul’. Sekejap ada, sekejap tak ada.


Justeru, beliau rajin mengutus pesanan tweet, memberikan butiran terkini mengenai aktiviti hariannya.


Begitu juga dua juara Singapore Idol, Taufik Batisah dan Sezairi Sezali.


Taufik rajin muat naikkan fotonya. Sezairi pula memiliki laman YouTube, #RoomToBreathe, yang berfungsi bak program televisyen, merakam perjalanan seni atau karya terkininya.


Ada kalanya, saya pilu mengamati situasi di Singapura. Kasihan melihat sebilangan pemenang adu bakat Anugerah setakat menghiasi kaca televisyen dalam program-program Raya, kerjasama dengan Brunei, Malaysia atau Indonesia selepas kemenangan.


Rakam satu single atau buat satu album, lepas tu, habis cerita. Ada yang kemudian gantung mikrofon dan tumpukan perhatian pada bidang lain kerana payah cari makan sebagai penghibur sepenuh masa di sini.


Padahal, jika diberi peluang, penyanyi-penyanyi bersuara emas seperti Rudy Djoharnaen dan Sarah Aqilah boleh mencapai kejayaan lebih besar.


Lainlah di seberang dengan pasaran luas, tajaan banyak serta permintaan bertimbunan.


Juarai AF saja dapat RM100,000 ($38,862). Jadikan nyanyian sebagai kerjaya sepenuh masa. Ada peluang, cuba-cuba berlakon, melawak atau mengacara.


Hafiz yang sentiasa santai dan merendah hati menebarkan sayapnya, meminjamkan suara pada beberapa animasi termasuk Madagascar 3 dan The Smurfs.


Apabila nama dah naik dan menang pula gelaran Bintang Paling Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), ada peluang menang kereta. Lumayan!


Walau apa pun keadaannya, pengamat dunia hiburan seperti saya mengalu-alukan proses menjana bakat, asal saja hasilnya ada umph!


Apabila banyak pilihan di depan mata, pendengar dan penonton pun harus memilih yang terbaik, terlunak atau terkesan di hati.


Mengapa raja segala band K-Pop, Super Junior, dengan sembilan anggota mampu bertahan lapan tahun lamanya, hingga ke detik ini?


Nama mereka disebut-sebut, bukan saja di rantau Asia malah di Iran, Slovenia, Mexico dan Brazil.


Walhal, mereka yang dipanggil Kings of the Hallyu (Korean) Wave tidak mengenali sesama sendiri dan disatukan bak mi segera oleh penerbit album, Lee Soo-man, selepas beberapa sesi uji bakat pada 2005.


Sebabnya, projek mereka berterusan, baik secara individu mahupun berkumpulan.


Ada yang berlakon dan ada juga yang mengacara. Mereka muncul dengan kelainan setiap kali album dilancarkan.


Band J-Rok, Scandal, yang dianggotai empat sekawan di Sekolah Vokal dan Tarian Caless di Osaka, Jepun, pula terkenal bukan kerana skandal anggota-anggotanya.


Sebaliknya, perjuangan tujuh tahun mereka membawa lagu-lagu mereka digunakan dalam animasi mahupun pelbagai iklan – daripada kosmetik Cecil McBee hinggalah kasut Nike.


Band dengan gitaris yang pantas menggentel gitarnya ini juga sudah sampai sejauh Perancis dan Amerika.


Bakat baru perlukan sokongan dan peluang, baik daripada penganjur acara, media mahupun orang ramai.


Mereka juga perlu miliki kelainan agar tidak pudar ditelan zaman. Dan yang penting, pandai jaga diri dan anggap media sebagai teman, bukan sebagai lawan.


Kalau dengan media nak beraksi (seperti beberapa artis yang naik tocang selepas menang satu dua anugerah), sedangkan kita bukan paparazi, jawabnya sorry, kalau awak dah tak popular lagi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >