Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

SAJIAN KHAS HARI INI: ILMU

Podcast BH kupas perbezaan konsep wakaf dan sedekah

Episod kelima dari siri enam episod Podcast #NoTapis: Merancang Legasi Anda adalah kerjasama BH-Wakaf Masyarakat S'pura (WMS)
Feb 02, 2023 | 05:30 AM



BANGUNAN-BANGUNAN seperti Masjid Omar Kampung Melaka dan Madrasah Alsagoff Al-Arabiah tidak asing lagi bagi masyarakat Islam di Singapura sebagai harta wakaf.



Pemberian wakaf ini juga selalunya dikaitkan dengan nama-nama seperti Syed Omar Ali Aljunied dan Hajjah Fatimah yang merupakan hartawan atau ahli perniagaan.



Jadi adakah kita perlu memiliki hartanah untuk diwakafkan?



Dalam episod #No Tapis: Merancang Legasi Anda, pegawai eksekutif kanan dakwah Darul Arqam, Ustazah Bushra Habibullah, telah menjelaskan dengan lebih terperinci tentang isu wakaf.



"Wakaf dalam bahasa Arab bermakna menahan, atau memberhentikan, iaitu menahan harta yang kita berikan itu daripada diwarisi atau dihadiahkan atau digunakan untuk dijual beli," katanya.



Menurutnya lagi, apa yang baik tentang wakaf ialah pahala mereka yang mewakafkan itu akan berterusan, meskipun selepas orang itu meninggal dunia, selagi mana harta itu dimanfaatkan.



"Kalau dahulu kita fikir, sekiranya kita ada bangunan, ada tanah barulah kita boleh mewakafkan harta tersebut.



"Tetapi sejak dewasa ini, terdapat lebih banyak peluang untuk melakukan wakaf dan ia tidak hanya tertakluk kepada bangunan sahaja. Malah ia lebih mudah untuk mengeluarkan harta sebagai harta wakaf sekarang," ujarnya.



Tambahnya, meski harta yang ingin diwakafkan itu sedikit, ia boleh dikumpulkan dan dijadikan satu untuk dimanfaatkan.



Jadi, adakah wakaf itu sama dengan bersedekah atau infaq?



Ustazah Bushra berkata persamaannya lebih banyak manakala perbezaannya satu sahaja.



Persamaannya ialah seperti sedekah, wakaf adalah sesuatu yang tidak wajib dan ia merupakan sesuatu cara untuk mendekatkan diri dengan Allah swt.



Perbezaannya bagaimanapun ialah wakaf ini adalah harta yang disalurkan kepada sesuatu yang bermanfaat dan pahala itu akan berterusan.



"Kalau sedekah, kita tidak kisah sama ada ia berterusan atau tidak.



"Tetapi sebaliknya kalau wakaf, ia lebih khusus dan manfaatnya berterusan. Kalau boleh selamanya, walaupun sehingga si pemberi itu telah meninggal dunia," ujarnya lagi.



Di samping itu, dalam episod kali ini seorang lagi tetamu undangan, iaitu pegawai eksekutif di Pejabat Dana Masyarakat Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Ustaz Suffiyan Zainal, menjelaskan tentang salah tanggap mengenai wakaf.



Ustaz Suffiyan berkata kalau diikutkan dalam sejarah Nabi Muhammad saw dan konsep tradisional, wakaf lebih tertakluk kepada aset hartanah.



Tetapi pada zaman ini, para ulama telahpun menfatwakan bahawa wang tunai dibolehkan sebagai wakaf mengikut keperluan masyarakat.



"Wang tunai yang dikumpulkan daripada masyarakat akan dilaburkan dalam satu pelaburan yang menggunakan instrumen yang mematuhi syariah seperti sukuk.



"Dan apabila ia dilaburkan dan terdapat keuntungan, keuntungan itu tadi akan disalurkan kepada badan-badan kebajikan.



"Justeru, wakaf wang tunai itu tadi akan memberi manfaat secara berterusan kepada sesebuah institusi itu untuk mengekalkan dan melestarikan generasi akan datang," katanya.



Podcast ini merupakan episod kelima daripada enam siri podcast yang dilaksanakan bersama Berita Harian dengan Wakaf Masyarakat Singapura (WMS).



Ia bertujuan untuk meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai perancangan kewangan secara Islam, dan perancangan untuk meninggalkan hartanah sebagai legasi demi memanfaatkan masyarakat.



Untuk mendengar podcast ini, anda boleh ke beritaharian.sg/podcasts.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >