Pragmatisme Singapura

GT: Mengapakah falsafah Lee begitu dinilai oleh pemimpin di banyak negara? Apakah pengalamannya di Singapura benar-benar relevan bagi negara-negara yang mempunyai hal keadaan yang begitu berbeza?

Allison: Pemahaman Lee mengenai peranan pemerintah berakar umbi daripada pengalamannya sendiri. Beliau memimpin sebuah negara bandar dari Dunia Ketiga yang miskin, rasuah dan menjadikannya negara Dunia Pertama bertenaga, cekap berfungsi sebagai hab utama di rantau Asia-Pasifik.

Lee tidak mengendahkan sangat tentang ideologi atau teori. Satu-satu kriterianya bagi menilai dasar yang diberi ialah: Apakah ia berfungsi? Seperti yang beliau jelaskan: "Ujian paling getir ialah prestasinya, bukan janji-janji."

Beliau jujur apabila membincangkan ciri-ciri mentadbir urus Amerika yang beliau kagumi kerana ia menonjolkan ciri-ciri yang beliau dapati membimbangkan; sama juga dengan pemerhatiannya mengenai tadbir urus China. Juga, Lee tidak terikat pada sesuatu gaya tadbir urus tertentu.

Sama ada sesebuah negara itu dikendali menggunakan cara demokrasi atau pemerintahan satu parti, pada pandangan beliau, ia memerlukan 'penjaga' - individu yang paling berbakat, terlatih dalam masyarakat - untuk berjaya.

Pragmatisme kejam dan analisis objektif telah membuat analisisnya amat penting kepada para pemimpin selama lebih setengah abad yang lalu.

Lee telah menjadi mentor kepada setiap presiden Amerika sejak Richard Nixon dan setiap pemimpin China sejak Deng Xiaoping.

Sesungguhnya, sebagaimana Ezra Vogel menjelaskan dalam biografi beliau mengenai Deng, ketika Deng sedang menimbangkan mahu berarak ke pasaran terbuka pada tahun-tahun 1970-an, beliau melawat Singapura untuk mendapatkan nasihat Lee.

Sedang Presiden China, Xi Jinping, cuba menentang perusahaan milik pemerintah dan lain-lain yang mempunyai kepentingan dalam menolak peralihan utama kepada model pertumbuhan yang lebih berdasarkan kepenggunaan, beliau akan berjaya jika beliau mengendahkan nasihat Lee: Lakukan apa yang betul, walaupun ia mungkin tidak popular.

GT: Dalam buku itu, Lee berpendapat bahawa China, sebagai kuasa yang semakin kuat, tidak mungkin terlibat dalam peperangan dengan Amerika, sebuah kuasa yang mantap. Tidak seperti Soviet Union dan Amerika dalam Perang Dingin, beliau berkata kedua-duanya, China dan Amerika, akan melihat satu sama lain sebagai pesaing, bukan musuh.

Apakah anda berpendapat China dan Amerika akan mengelak apa yang anda sifatkan sebagai 'perangkap Thucydides' apabila satu kuasa yang semakin kuat menimbulkan kebimbangan dalam kalangan kuasa-kuasa yang sudah mantap yang bergerak ke arah peperangan?

Allison: Seperti yang saya katakan dalam sebuah artikel di Financial Times baru-baru ini, "jika kita bertaruh berdasarkan sejarah, jawapan kepada soalan tentang perangkap Thucydides itu kelihatan jelas. Sejak 1500, 11 daripada 15 kes melibatkan kuasa semakin kuat muncul untuk mencabar sesebuah kuasa yang memerintah, peperangan meletus."

Terdapat beberapa sebab untuk berharap Amerika dan China dapat melakukan yang lebih baik. Kedua-duanya sudah biasa dengan rekod yang menenangkan ini, kedua-duanya mempunyai senjata nuklear, dan kedua-duanya memahami bahawa konflik akan menjejas ke ikatan ekonomi yang membuat kedua-duanya mendapat manfaat amat besar.

Bagaimanapun, kemalangan dan perhitungan salah boleh berlaku. Bagaimana kesudahan pertikaian wilayah di Laut China Selatan dan Laut China Timur akan memaparkan keupayaan kedua-dua negara menangani pergeseran dalam hubungan mereka dan menjalin apa yang Xi sifatkan sebagai "hubungan kuasa besar jenis baru".

GT: Sistem politik Singapura telah diasaskan oleh Lee sendiri. Ia bukan satu rejim demokratik biasa, tetapi sebuah negara de facto satu parti. China juga telah membangunkan sistem politiknya sendiri. Mengapakah Singapura mendapat kritikan yang kurang berbanding China?

Allison: Singapura sebuah negara kecil bersifat serantau. China sebuah negara bersaiz benua yang menjadi tempat tinggal satu perlima penduduk dunia, dan ketika ini merupakan satu-satunya pesaing yang kredibel bagi keunggulan global.

Jika kedudukan kedua-dua negara itu diterbalikkan, terdapat sedikit keraguan Singapura akan mendapat kritikan yang setanding, atau serupa.

Sementara Singapura adalah sebuah negara satu parti, para anggota parlimennya terlibat secara aktif dengan penduduk di kawasan masing-masing, mendengar rintihan mereka dan bersaing bagi mendapatkan undi mereka. Berselang waktu, pilihan raya di Singapura dijangka menjadi lebih sengit.

GT: Walaupun Beijing menekankan ia mahukan "peningkatan aman", masih terdapat kebimbangan di banyak negara, terutamanya negara-negara jirannya, bahawa China merupakan ancaman. Mengapakah India, satu lagi kuasa yang semakin meningkat di Asia, jarang dilemparkan kritikan seperti itu?

Allison: Tahap kepantasan kenaikan China adalah salah satu faktor. Belum pernah ada sebuah negara yang bergerak naik tangga dunia sebegitu jauh dengan sebegitu pantas di semua dimensi kuasa.

Dalam satu generasi, negara yang Hasil Dalam Negeri Kasarnya (GDP) lebih kecil berbanding Sepanyol itu, kini telah menjadi ekonomi kedua terbesar dunia.

Satu lagi faktor ialah sejarah. India tidak pernah menganggap negara jirannya sebagai tanah jajahannya sementara China, ya, bagi sebahagian besar sejarahnya. Oleh itu, jiran-jirannya mempersoal apakah China yang lebih kuat dan lebih mendesak akan berusaha untuk memulihkannya.

GT: Lee pernah mengatakan bahawa China akhirnya akan menjadi negara paling berkuasa di rantau ini, Amerika pula perlu lebih aktif pada masa ini. Bagaimanakah keseimbangan ini boleh dilakukan?

Allison: Amerika telah menjadi kuasa ulung di rantau Asia-Pasifik sejak akhir Perang Dunia Kedua. Oleh itu, China tidak boleh menjangka Amerika akan bersetuju jika ia dikecualikan dari rantau ini.

Sebaliknya, memang menjadi lumrah bahawa China yang semakin kuat akan menuntut lebih banyak suara dan penguasaan yang lebih besar dalam geopolitik sekitarannya dan, tidak lama lagi, dunia pula.

Kedua-dua negara itu akan berada dalam keadaan lebih baik untuk menyemak pernyataan mereka yang ditandatangani pada 1972: Mereka bersetuju bahawa "kedua-duanya seharusnya mendapatkan hegemoni di rantau Asia-Pasifik" atau berusaha "membahagikan dunia menjadi beberapa bahagian menarik".

Seperti yang dikatakan: Memang susah membuat ramalan, terutama mengenai masa depan.

Sementara kekuatan Amerika dianggap seolah-olah sedang berkurangan, dunia China yang unipolar seolah-olah tidak mungkin terjadi pada garis trend semasa.

Apa yang mungkin boleh berlaku ialah Amerika dan China kekal sebagai dua tiang bagi sistem antarabangsa untuk tempoh berterusan jika kedua-duanya cukup bijak mengelakkan 'perangkap Thucydides' ini.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 22
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.