Sekumpulan ulama terkenal dunia lancar badan profesional

LONDON: Beberapa ulama Islam terkenal dunia telah melancarkan sebuah persatuan profesional kawal selia sendiri yang dapat memajukan latihan dan piawaian tingkah laku profesional bagi penjaga kewangan Islam.

Persatuan Ulama Syariah Kewangan Islam (Assif), sebuah badan amal yang berdaftar di Britain, akan menangani masalah yang sudah lama wujud dalam industri ini: kekurangan kelayakan jelas dan yang diiktiraf semua bagi ulama kewangan.

Lembaga ulama syariah di institusi kewangan menentukan apakah sesuatu kegiatan dan produk itu mengikuti prinsip-prinsip agama atau tidak, seperti pengharaman ke atas bayaran faedah dan spekulasi kewangan.

Tetapi, penetapan ulama-ulama itu boleh bercanggah antara satu sama lain hingga mengelirukan pelabur.

Proses kelulusan penetapan itu boleh membawa kepada tuduhan wujudnya pertembungan kepentingan kerana ulama itu dibayar gaji oleh institusi yang produknya disemak mereka.

Persatuan baru itu mahu bekerjasama dengan badan-badan sedia ada dalam industri tersebut di seluruh dunia dan bukannya menggantikan mereka, kata timbalan presiden Assif, Mufti Abdul Kadir Barkatullah, di luar Forum Ekonomi Dunia Islam di London baru-baru ini.

"Assif akan membantu mengaturkan penyedia nasihat mengikut piawaian panduan syariah bersepadu yang ditentukan," kata Mufti Barkatullah.

Dengan ini, persatuan itu boleh menggalak keseragaman dan keselarasan lebih tinggi bagi ketetapan-ketetapan di antara lembaga syariah dan dalam menetapkan piawaian bagi industri tersebut.

"Kami menjangkakan kod tingkah laku profesional dan pembangunan profesional berterusan (piawaian) dikeluarkan pada pertengahan Februari 2014," kata Mufti Barkatullah.

Pada masa ini, piawaian yang ditetapkan badan-badan industri seperti Pertubuhan Perakaunan dan Pengauditan bagi Institusi Kewangan Islam dikuatkuasakan sepenuhnya atau sebahagiannya oleh beberapa negara saja.

Lagipun, piawaian itu memberi tumpuan pada selok-belok instrumen kewangan Islam dan perakaunan mereka, dan bukannya kelayakan ulama itu atau kelakuan profesional mereka.

"Assif akan meningkatkan piawaian profesional dan membantu ke arah kecemerlangan bersama-sama dengan piawaian industri lain seperti peguam dan akauntan," kata Mufti Barkatullah.

Kerja persatuan itu boleh melengkapi usaha pertubuhan seperti Persatuan Penasihat Syariah dalam Kewangan Islam (Asas), yang mempunyai objektif serupa tetapi hanya mendapat mandat tempatan. Asas berpangkalan di Malaysia dan ditubuhkan pada 2011.

Assif akan mempunyai majlis pentadbir antara 10 dengan 30 ulama, dan sudah pun mempunyai ulama terkenal dari Dunia Arab, Malaysia dan Britain sebagai pemegang amanah dan pengasas bersamanya.

Mereka termasuk Sheikh Nizam Yaquby dari Bahrain, Abdul Sattar Abu Ghuddah dari Syria, Mohamed Ali Elgari dari Arab Saudi dan Mohamad Akram Laldin dari Malaysia.

Bersama-sama, mereka duduk di hampir 270 kerusi lembaga syariah di seluruh dunia. - Reuters.

"Assif akan membantu mengaturkan penyedia nasihat mengikut piawaian panduan syariah bersepadu yang ditentukan... Kami menjangkakan kod tingkah laku profesional dan pembangunan profesional berterusan (piawaian) dikeluarkan pada pertengahan Februari 2014.''

- Timbalan Presiden Persatuan Ulama Syariah Kewangan Islam (Assif), Mufti Abdul Kadir Barkatullah.

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:59
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 64
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.