Senarai tujuan skim bantuan pemerintah

SAYA merujuk kepada laporan bertajuk Ada perbezaan untuk Melayu dari segi bantuan pemerintah. (BM, 24 November)

Menteri Ehwal Luar merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, berkata pemerintah komited sepenuhnya dalam membantu masyarakat Melayu agar dapat mencapai kesaksamaan dengan masyarakat lain.

Komitmen ini akan berterusan tanpa ada tempoh hadnya selagi masyarakat Melayu dikenal pasti masih memerlukannya.

Bahkan, beliau menyatakan ada banyak kelebihan bantuan pemerintah kepada masyarakat Melayu berbanding masyarakat lain di Singapura.

Namun, bantuan pemerintah tidak akan berkesan jika tidak dimanfaatkan oleh masyarakat Melayu yang masih dibelenggu masalah-masalah sosial.

Dari segi politik, pemerintah tidak boleh membiarkan masyarakat Melayu jauh ketinggalan berbanding kaum lain. Ini akan menimbulkan masalah sosial kerana jurang yang luas.

Dari segi ekonomi pula, masyarakat Melayu/Muslim Singapura menabung dan menyimpan hasil kutipan zakat fitrah setiap tahun dalam bank perdagangan, yang dapat menggunakan wang simpanan itu bagi pelaburan perdagangan.

Mengenai skim-skim bantuan pemerintah, ada baiknya jika ia, termasuk tujuan dan kumpulan sasar bagi setiap skim itu, dapat disenaraikan.

Ini akan dapat memudahkan lagi individu dan kumpulan sasar mendapatkan dan memanfaatkannya.

Akhir sekali, masyarakat Melayu harus sedar dan tidak menyalahertikan skim-skim bantuan itu hingga menyebabkan mereka terlalu bergantung pada skim bantuan pemerintah tanpa berusaha.

Diharapkan masyarakat Melayu dapat melakukan satu anjakan paradigma, yakni lompatan gergasi, supaya dapat merapatkan jurang perbezaan dengan kaum lain yang jauh lebih maju.

FESAL IDRIS

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:58
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 41
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.