Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

SEKITAR RAMADAN

Terubat rindu Bazar Raya

Mungkin anda antara orang yang tidak mahu terburu-buru berkunjung ke Geylang Serai bagi melepaskan rindu terhadap bazar Raya. Kini setelah seminggu berpuasa, anda baru rasa bersedia meredah lautan manusia untuk menikmati pelbagai juadah yang disediakan. Bagi membantu anda, BERITA HARIAN telah berkunjung ke bazar Raya di Wisma Geylang Serai untuk membawakan anda saranan juadah yang harus anda cuba, selain pengalaman mereka bersiar-siar di situ. .
Apr 11, 2022 | 05:30 AM



 



Puas walau tak banyak gerai



BAZAR Ramadan Geylang Serai diadakan semula!



Seronok dan ghairah apabila saya membaca berita yang mengesahkan setelah dua tahun ditiadakan dek Covid-19, bazar Raya kembali tahun ini di Wisma Geylang Serai.



Namanya berbeza - Pengalaman Beli- -Belah Hari Raya Geylang Serai (GSHRSE) - namun mereka yang seronok dah ghairah hanya mahu tahu satu perkara: makanan yang dijual gerek tak?



Ramai ragu-ragu.



"Cukup ke lapan gerai saja... meriah ke macam dulu?" Tanya mereka. Malah soalan ini pun bermain di fikiran saya.



Justeru, apabila saya ditugaskan meninjau hidangan yang disediakan di zon makanan di baar itu Selasa lalu, saya ghairah untuk ke sana.



Suasana bazar Raya terus menyambut saya tatkala saya sampai di WGS.



Sesak. Panas. Tak sanggup.



Dengan tubuh yang baru sahaja menyesuaikan diri dengan berpuasa, itulah perkara pertama yang terlintas di benak saya.



Namun, setelah melepasi barisan panjang pengunjung, dan sudah hampir waktu berbuka, apatah lagi dengan pelbagai jenis juadah, saya tidak dikecewakan oleh zon makanan di situ!



Malah, jika sebelum ini saya tertanya-tanya apakah lapan gerai makanan mencukupi, setelah masuk dan meninjau-ninjau, saya tidak dapat membuat pilihan.



"Kita cuba semua je lah," kata Harith, rakan sekerja saya.



Jenis makanan yang dijual dibahagikan kepada dua kategori: tradisional dan moden, yang lebih sering dipanggil hipster.



Di bahagian depan zon makanan terletak gerai burger Ramly, kuih-muih, kebab dan vadai - makanan yang sering terdapat di pasar malam.



Seterusnya, pengunjung akan melihat beberapa kedai air dan makanan barat, hipster, fusion dan satu kedai beriani di hujung.



Secara lazim, saya lebih tertarik pada makanan lebih moden, dan juga kerana barisannya tidak sepanjang di kedai-kedai di depan.



Dari gerai T Bob's Corner, kami dapat mencuba angus beef burger dan lamb shoulder. Walaupun hidangan di gerai ini mahal sedikit, ia sungguh lazat!



Satu lagi gerai yang menjual masakan ala barat ialah Rancho Meats, dengan hidangan khas mereka, daging perap. Kami dapat mencuba daging ribeye sos lada hitam dengan nasi dan daging ribeye sos bulgogi bersama kentang.



Fuh! Perisa daging perap itu membawa saya ke suatu tempat berbeza, tidak tahulah tapi di mana. Sangat memuaskan!



Seterusnya, Praffles! Hidangan ini menjadi tular pada 2019, gabungan prata dan waffle, kembali menyelerakan ramai.



Perisa soft shell chilli crab, iaitu sos cili dengan ketam kulit lembut dan keju truffle yang kami santap senang kata, sangat enak.



Jika ikut cita rasa saya, praffle itu pun cukup sedap untuk dinikmati tanpa kuah atau sos.



Satu gerai yang anda tidak akan terlepas pandang ialah gerai menjual paella, nasi goreng versi Sepanyol. Ia dimasak di atas pan besar dengan diameter lebih kurang satu meter, penuh dengan makanan laut seperti udang, kupang dan sotong. Jika anda tidak minat makanan laut, ada juga pilihan paella bersama ayam.



Ini suatu hidangan eksotik dan terpulang jika ingin mencuba. Maklumlah, tidak selalu kita dapat lihat hidangan Sepanyol di bazar.



Bulan puasa ini, saya lebih dahaga daripada lapar. Jadi, air yang menggoda nafsu sebaik saja tiba di bazar ialah air segar kelapa. Ia yang membuka puasa saya maghrib itu, dan puas saya meminumnya.



Selain itu, pengunjung dapat menikmati pelbagai minuman menyegarkan dari gerai Alley dan Sweet Tooth Addiction.



Secara keseluruhan, bazar tahun ini tidaklah segah tahun-tahun sudah, tetapi sekurang-kurangnya dapat juga merasa kemeriahan Ramadan.



Sikit atau banyak juadah yang disediakan, mahal atau murah, lama atau sekejap menunggu, inilah detik-detik nostalgia yang dapat dirasakan hanya ketika bazar Ramadan.



Sekarang, saya tidak sabar untuk mengunjungi bazar di Kampong Glam. Bagaimana pula anda?




Ada cebisan 'vibes' bazar lama 



NAK masuk bazar Hari Raya di Geylang Serai tahun ini kena beratur panjang.



Kalau kepingin burger Ramly juga harus beratur panjang.



Nak sebut nama bazar tahun ini pun panjang: Pengalaman Beli-Belah Hari Raya Geylang Serai, atau GHRSE.



Jadi, bagi memendekkan cerita, berbaloi ke turun ke bazar di Geylang Serai?



Jangan dengar cakap saya, dengar cakap pengunjung.



Kebanyakan yang saya temui ketika menjalankan tinjauan bagi akhbar ini di bazar itu berkata mereka akan datang - bukan sekali, malah berkali-kali.



Antara sebabnya? Suasananya yang meriah, kekecohan di bawah kemah sepanjang 100 meter di luar Wisma Geylang Serai itu, dan pelbagai pilihan barang di dalam bangunan itu.



Ia menawarkan rasa nostalgia yang menjadi tarikan bagi pelanggan di situ.



"Sudah tentu saya akan datang lagi, sebab... makanannya satu hallah, tapi its more of the vibeslah!" kata Cik Siti Rahayu Othman, 43 tahun, menceritakan mengenai suasana bazar Ramadan yang dirinduinya itu.



"Makanan di sini memang menarik... walaupun tidak banyak gerai, cukup memuaskan sebab ada pilihan baru dan lama," ujar pula suami Cik Rahayu, Encik Mohd Gai Abdullah.



Ramai rakan sekerja saya tanya, "Bazar tak banyak gerai eh? Sama ke suasananya?"



Rakan-rakan saya ini membayangkan keadaan prapandemik.



Berjalan-jalan di bawah khemah merah putih itu membuat badan berpeluh dek bahang yang teramat sangat daripada lampu LED kuning silau, tetapi suasana syiok dipenuhi jeritan lelong sana, lelong sini serta asap pelbagai jamuan, daripada hidangan hipster hinggalah ke juadah klasik.



Dahulu, saya sekeluarga selalunya mengunjungi bazar Raya satu atau dua kali pada minggu pertama Ramadan. Minggu kedua dan ketiga diperuntuk bagi solat tarawih.



Pada minggu terakhir, atau pun pada Malam Raya, kami akan berkunjung lagi dalam satu lawatan yang dikenali ramai sebagai bazar last kopek.



Jadi tahun ini bagaimana?



Jom kita reviu.



Dari segi suasana, memang ada cebisan bazar dahulu.



Meskipun juadah yang perlu dimasak menggunakan api terbuka, atau open-fire, tidak dibenarkan, bau dan asap daripada beraneka hidangan, seperti dengdeng, burger Ramly, vadai dan lain-lain lagi memenuhi sekitaran GHRSE, membawa kita kembali ke bazar 'dulu-dulu'.



Dari segi kepelbagaian makanan pula, memang menarik. Bahkan mengkagumkan.



Abang-abang daripada gerai Rancho, yang menjual daging perap premium pelbagai perisa - dihidangkan dengan nasi atau sandwic serta ubikentang goreng dalam 'bucket' - adalah idea sangat kreatif.



Burger daging Angus daripada T Bob's Corner dan waffle prata, atau Praffles, lengkap dengan ketam kulit lembut masak merah pula sungguh menggoda.



Minuman air kelapa segar dan asli daripada gerai Coconut Kelapa pula satu pilihan yang baik untuk berbuka puasa. Kalau tak ada idea lain, boleh berbalik kepada burger Ramly - taat pada slogannya, halal, bersih dan bermutu.



Jadi adakah saya akan datang lagi?



Saya akan lihat dulu apabila kemudahan ditawar pihak WGS, seperti tempahan terdahulu menerusi menu dalam talian, dan juga sistem bagi memantau keadaan pengunjung di bazar sudah lengkap seperti dirancangnya.



Mujur, saya juga berharap dengan lebih banyak gerai diadakan sepanjang Sims Avenue tidak lama nanti, kesesakan di bazar dapat dikurangkan.



Buat masa ini, keadaan masih terlalu sesak, jadi untuk bawa isteri dan anak saya yang masih bayi lagi ke bazar mungkin belum lagi.



Namun, dengan adanya lebih banyak gerai dan kemudahan bagi pelanggan saya yakin pengalaman bazar akan menjadi mudah dan tetap meriah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >