LANDSKAP media telah berubah sama sekali sejak Zaobao bermula. Globalisasi dan teknologi telah membuat dunia lebih rapat, tetapi membawa kepada perubahan lebih pesat dan ketidaktentuan.
Media sosial sedang merubah hidup kita. Pembaca dan tabiat mengguna telah berubah. Bilangan pembaca Singapura tidak berkembang; umur median mereka semakin meningkat.
Minat lebih berbeza-beza, termasuk permintaan lebih tinggi untuk melihat pandangan berbeza - bukan bagi berita serius sahaja malah hiburan dan gaya hidup.
Ramai orang tidak lagi membaca akhbar atau berita dalam talian, sebaliknya bergantung pada saranan teman-teman melalui media sosial.
Media 'ditarik' atas permintaan dan bukan 'ditolak' kepada audiens tersedia ada.
Kegemaran coretan lebih pendek, cepat berbanding analisis menyeluruh - batas 140 karakter di Weibo dan Twitter menjadikannya satu cabaran mustahil untuk melaporkan cerita serius!
Terdapat lebih banyak sumber berita, kebanyakannya percuma. Lebih ramai pembaca menggunakan pengumpul berita percuma, sekali gus meletakkan tekanan ke atas pembekal berbayar seperti Zaobao.
Trend ini membawa banyak manfaat, tetapi juga cabaran baru.
Manfaatnya - lebih mudah berkongsi maklumat, dapat berhubungan dengan satu sama lain, mengikuti trend terkini. Secara fizikal, orang mungkin berada berjauhan, tetapi mereka boleh berhubungan dengan keluarga, teman dan rakan sekerja dengan segera.
Orang ramai menggunakan media baru bagi mengatur diri mereka bagi tujuan yang sama, sebagai contoh usaha-usaha bantuan bencana taufan Haiyan di Filipina.
Bantuan kemanusiaan boleh cepat dianjur kerana adanya media baru. Apa yang sebelum ini mengambil waktu beberapa hari, kini dapat dilakukan hanya beberapa minit saja.
Cabaran-cabarannya - berita yang paling cepat diterima mungkin bukan yang paling tepat. Pandangan konsensus segera mungkin tidak sejajar dengan analisis yang telah dipertimbang. Selain itu, semakin lebih mudah bergabung dalam kumpulan-kumpulan kecil, dan dengan itu, lebih sukar menjalin konsensus kebangsaan.
Penyalahgunaan media baru adalah satu cabaran besar yang dihadapi banyak negara, termasuk Singapura, sebagai contoh aktiviti jenayah, termasuk menggodam.
Kita menyaksikan beberapa kes penggodaman baru-baru ini, di Singapura dan jiran-jiran kita.
Menggodam adalah satu ancaman serius. Ia bukan sekadar gurauan, malah boleh menyebabkan kerosakan besar, misalnya, dengan mematikan perkhidmatan penting pemerintah, atau meruntuhkan sistem pengurusan hospital.
Oleh itu, kita akan membawa penjenayah itu ke muka pengadilan.
Kes buli melalui ruang siber adalah masalah yang semakin bertambah. Golongan muda lebih terdedah, mangsa akhirnya akan berasa tertekan atau mahu membunuh diri.
Kita memerlukan undang-undang untuk menangani kegiatan membuli melalui ruang siber dan bentuk gangguan lain di Internet.
Seterusnya, troling (trolling), fenomena perbincangan dan perbahasan yang merosot menjadi penyalahgunaan dan menghebahkan kebencian.
Isunya di sini bukan mengenai apakah orang bersetuju atau sebaliknya dalam talian. Trol menghalang pembaca serius mengikut serta, dan merosakkan suasana keseluruhan di ruang siber. Kelakuan seumpama itu tidak diterima dalam kaedah secara bersemuka, dan ia juga tidak harus diterima sama sekali dalam talian.
Satu faktor di sebalik troling ialah dalam talian seseorang tidak dikenali.
Kajian menunjukkan apabila identiti tidak diketahui, tingkah laku tidak beretika dan menghina bertambah kerana mereka berasa bahawa tiada siapa tahu siapa mereka dan, dengan itu, boleh melakukan apa sahaja yang mereka mahu.
Banyak laman web di luar negara telah berhadapan dengan isu ini. Sesetengah mereka telah memasang perlindungan untuk menangani masalah ini, contohnya memerlukan log-in untuk menghantar komen - YouTube, New York Times. Popular Science melarang sama sekali penghantaran komen.
Di Singapura, kita melihat banyak perbincangan membina dalam talian, tetapi kegiatan troling juga bukanlah sedikit.
Kita mesti menentang kegiatan troling dan menyediakan persekitaran dalam talian selamat dan bertanggungjawab yang menggalak penyertaan yang membina.
TODAYonline.com kini menghendaki pembaca log-in laman webnya menggunakan akaun FB-nya (Facebook) sebelum menghantar komen mereka. Langkah itu berjalan dengan baik dan meningkatkan mutu perbincangan.
Pemerintah akan melakukan yang serupa. Reach memerlukan log-in mulai pertengahan bulan depan.
Cabaran-cabaran ini bukan mudah diatasi. Tetapi media baru sudah menjadi realiti dan menjadi bahagian penting dalam kehidupan kita. Kita harus terus berusaha memanfaatkan potensinya bagi meningkatkan kehidupan kita dan, pada masa yang sama, mengurangkan kelemahan-kelemahannya.
Pemerintah sedang menyelaraskan peraturan media baru dengan peraturan kita bagi media arus perdana, sebagai contoh, menghendaki laman berita dalam talian yang melebihi jumlah pembaca tertentu mendapatkan lesen di bawah Akta Penyiaran, dan menghendaki laman web berita dan hal ehwal semasa tidak menerima dana asing.
Pemerintah juga berharap mendapat manfaat daripada media baru untuk melibatkan rakyat Singapura dengan lebih baik lagi. Hampir setiap kementerian dan Anggota Parlimen mempunyai akaun Facebook, termasuk saya (serta Twitter dan Instagram juga!)
Kerana rakyat muda Singapura memberitahu saya, "Facebook ialah untuk generasi lebih tua (20-30 tahun)", saya menggunakan Instagram!
Saya mendapati ia saluran berkomunikasi berkesan, yang membolehkan saya berhubungan dengan rakyat Singapura secara langsung dan cepat. Pos saya baru-baru ini di Facebook mengenai burung hantu bangsal yang terbang masuk ke dalam Istana mendapat 500,000 tontonan dalam masa sehari!
Kita sedang mengalami satu peralihan strategik dalam landskap media. Peraturan dan kebiasaan kita belum lagi sejajar dengan realiti baru ini.
Lama-kelamaan, kita perlu membangunkan satu rangka kerja yang dapat membantu kita menggunakan dengan sepenuhnya media baru ini untuk meluaskan ruang bagi wacana dan penyertaan membina di kalangan rakyat Singapura.
Ia membolehkan perspektif alternatif muncul, bukan pandangan kumpulan minoriti yang bersuara lantang saja, dan melindungi pengguna yang bertanggungjawab daripada mereka yang menyalahgunakan ruang siber, terutama mereka yang tanpa nama.
Selain pemerintah dan media, individu juga perlu menyesuaikan diri dengan landskap baru itu.
Belajar dan belajar semula untuk menyesuaikan diri dengan perubahan pesat, dan tidak tercicir digital.
Tingkatkan 'darjah digital' kita dan belajar mensintesis dan memahami maklumat daripada pelbagai sumber yang luas, terutamanya kerana jumlah maklumat yang kita terima akan hanya bertambah.